BAB 2

328 4 2
                                        

Dari rumah, Rafique terus ke pejabatnya. Panggilan yang dibuat kepada beberapa orang semalam meyakinkannya tentang pendapatnya tentang kes tersebut.

"Kumar, awak call makmal, tanya tentang bahan bukti yang kita hantar minggu lepas. Dah dapat ke tidak keputusannya?" Rafique memberi arahan kepada Inspektor Kumar setelah dia sampai di pejabat pada pagi itu.

"Semalam saya dah tanya, mereka kata beberapa hari lagi baru akan dapat." Setiap hari dia menelefon ke makmal. Rasanya pegawai sains forensik yang bertugas pun sudah muak mendengar suaranya yang tak merdu itu.

"Apa kata dia orang?"

Rafique kuak rambutnya. Dia suka buat begitu apabila rambut yang agak panjang itu berjuntaian menghampiri matanya.

"Dia orang kata, ini bukan drama CSI!" Kumar mengajuk kata-kata pegawai tersebut dengan rasa geram.

Rafique berhenti secara tiba-tiba. Dia pandang Kumar. Mukanya ketat, seperti tidak puas hati.

"Aku tahulah! Bukan aku expect dia orang dapat bahan hari ni, esok dah dapat keputusan! Tapi kalau dah seminggu dapat keputusan, tapi dia orang buat pekasam kat makmal tu, nak kasi alasan apa pula?"

Apabila Tuan Rafique dah ber'aku engkau' dengan suara bernada tinggi begitu, maksudnya dia dah marah.

"Betul tu, tuan!" Bahagian ini, Kumar sangat bersetuju dengan Tuan Rafique. Minggu lepas, Tuan Rafique naik angin. Dia jarang marah-marah begitu. Tapi jika dah buat kesalahan besar seperti itu, tetapi masih mencari alasan, memang nahas!

"Ada ke patut, dia orang ni tak tahu ke, kita berhempas pulas menyiasat kes sana-sini? Kita follow up selalu, dia orang tak suka. Janji kata nak hantar keputusan dengan segera, tapi tak hantar pun! Ini, kalau tak ditanya, dia orang buat tak tahu je... Buat pekasam!" Kumar ulang balik perumpamaan yang dipakai oleh Rafique tadi. Sekarang gilirannya pula untuk membebel. "Buang masa orang!"

"Tahu takpe..." kata Rafique dalam nada yang sebenarnya menyindir. Dia memang tak puas hati sejak dari minggu lepas.

Kumar kerling ke arah Rafique. Dia nampak pegawai muda itu menyelerakkan kertas-kertas yang bersusun di atas meja, seperti mencari sesuatu. Kemudian dia capai satu helai kertas. Diangkat dan baca.

Tuan Rafique, apabila bekerja, kadang-kadang dia dah tak ingat dunia. Tidak hairan jika dinaikkan pangkat menjadi Asisten Superintenden Polis dalam usia yang sangat muda. Menyertai PDRM dengan pangkat Inspektor setelah tamat pelajaran dalam Ijazah Undang-Undang, dalam beberapa tahun sahaja dia telah menyandang pangkat ASP.

Ada juga yang berbisik mengatakan bahawa Tuan Rafique hanya bernasib baik kerana ayahnya, seorang peguam terkenal, sangat rapat dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan juga Inspector General PDRM. Tidak kurang juga yang berkata bahawa pegawai muda itu suka mengipas.

Semua tu kata-kata orang yang busuk hatinya. Kalaulah mereka tahu bagaimana perangai Tuan Rafique, mereka akan malu sendiri. Pegawai muda itu tidak akan beri muka kepada sesiapa pun. Dia adalah 'no nonsense cop'. Jika mereka lihat ketekunan dia menyiasat dan menyelesaikan kes-kes, mereka akan terus diam. Malu untuk berkata apa-apa lagi.

"Tuan dah sarapan?" Kumar bertanya. Sengaja ingin menyejukkan suasana.

"Belum." Rafique berkata. Lurus sahaja jawapannya. Mata langsung tidak dialih dari kertas tadi. Kemudian dia capai sehelai kertas lain. Keningnya berkerut.

Kumar sudah agak, pegawainya itu terus datang ke pejabat dari rumah tanpa bersarapan. Terus berteleku di meja, menganalisa data dan maklumat.

"Apa kata tuan pergi sarapan dulu? Masih awal ni. Saya akan follow up dengan dia orang."

PEREMPUAN YAKUZA ITUWhere stories live. Discover now