BAB 6

236 4 9
                                    

Sebaik sahaja pintu gelangsar shoji terbuka, Reina sudah nampak figura Kiryu. Dia sedang berdiri tegak membelakangi mereka, dengan kedua-dua tangannya bertaut di belakang. Bahu Kiryu nampak keras dan bersegi di bawah sut mahalnya. Lagak Kiryu yang begitu memberitahu Reina bahawa Kiryu sedang marah.

Reina terus jatuhkan lututnya ke lantai, membuat 'dogeza'. Dia menunduk lama, kedua-dua tangan tertib di hadapannya. Itu ialah cara memohon keampunan secara khusus di kalangan yakuza. Ia dilakukan apabila mereka berasakan mereka telah melakukan kesalahan yang sangat besar.

Tanpa berpaling atau bergerak, tangan kanan Kiryu direntang ke sisi. Koga yang memahami, mengambil katana sepanjang 66 cm yang ditempah khas untuk Kiryu lalu meletakkan pedang tersebut di dalam tangan ketuanya.

Hondo dan Kenji pula sedang membuat aksi saikeirei, iaitu menunduk seolah-olah mereka sedang rukuk dalam 45 darjah. Semua pengawal peribadi Kiryu melakukan aksi yang sama.

"Kiryu san, maafkan kami!" kata mereka serentak.

Mereka masih tercatuk, tanpa sedikit pun mengangkat kepala. Manakala Reina pula, sudah menggigil-gigil. Kemanisan selama beberapa hari bersama lelaki budiman yang kacak itu nampaknya tidak berbaloi.

Jeda.

Semua orang masih menunggu dengan rasa gemuruh. Tindak tanduk Kiryu yang seterusnya masih menjadi tanda tanya.

Kiryu masih lagi begitu. Diam. Senyap. Tidak bergerak.

Tiba-tiba...

"Reiii....naaa!!!!" pekikan Kiryu begitu kuat, memecah hening.

Reina yang berada di belakangnya menjawab, dengan kepala tertunduk.

"Hai!" Reina mohon maaf sekali lagi, dengan kepala ditundukkan. Kepala dibiarkan tertunduk begitu, selagi Kiryu tidak berkata apa-apa.

"Kau tahu apa yang kau dah lakukan?" Petiran dari suara Kiryu menggegar seluruh ruang. Bilik khas yang digunakan oleh Kiryu untuk berlatih bermain pedang itu dibiarkan kosong, dengan lantai judo tatami yang mula terasa hangat. Kemarahan Kiryu yang membuak-buak buat semua orang berdiam diri.

Bilik itu adalah antara 3 bilik yang berkonsepkan tradisional, di rumah mewah dan moden Kiryu yang terletak di pinggir Ginza.

"Maafkan aku!" Jika berhadapan dengan ketua yakuza, perkara pertama ialah jangan melawan. Kemudian, terus memohon maaf. Itu pun, dia belum tentu akan selamat.

Kiryu pusingkan tubuh, menghadap mereka semua. Pedang masih di tangan. Wajah masih ketat dan merah.

"Reiiinaaaaa!!!"

Kiryu menderam. Nama Reina dipanggil dalam nada yang amat marah. Mata mencerlung ke arah Reina yang sedang menikus.

"Kau dah buat aku marah!"

Urat-urat hijau kelihatan di leher dan dahi lelaki itu. Pedang diayun-ayun di hadapan Reina dalam keadaan laju.

Sreetttt.

Zing!

Zas zas zas!!!

Beberapa kali Kiryu berbuat begitu. Dia tidak pernah naik gila seperti itu. Matanya merah dan menyorot membakar. Dia kelihatan seperti seekor naga yang sedang memgamuk.

Tiba-tiba Kiryu melompat lalu mendarat di hadapan susunan katana kesayangannya. Sebilah pedang samurai sepanjang 64 cm diambil lalu dibawa kepada Reina.

"Bangun! Ambil pedang ni! Lawan aku!"

"Hah?" Reina pandang Kiryu. Jika Kiryu mengajak sesiapa sahaja untuk berlawan pedang, ia bermaksud...

"Reinaaa!!!" Kiryu bertempik sekali lagi, apabila Reina masih belum berganjak.

"Jika kau menang, aku akan maafkan kau!" Mulutnya terketar-ketar dalam kemarahan.
"Jika kau kalah..." Kiryu angkat pedangnya. Nafas dihembus sebelum dia sambung ayatnya.

"Kiryu san!" pintas Hondo.

Terkocoh-kocoh Hondo berjalan ke arah Kiryu. Dia umpama seekor naga yang sedang naik gila. Menderam dan menggelupur sambil menghembuskan nafas berapi.

"Kiryu san! Tolong jangan lakukan ini. Aku merayu!" kata Hondo, cuba memujuk.

"Kau jangan masuk campur, Hondo! Ini antara aku dan perempuan tak guna ini!"

Lagak tenang Kiryu selama ini sudah hilang dek amarah yang membuak. Rupa paras Kiryu yang kacak itu juga sudah berganti. Dua keningnya berkerut-kerut dan berkatup. Butir mata Kiryu sudah terjegil. Bibirnya mendengus dan mengetap. Merah. Marah.

"Dia betul-betul dah malukan aku!"

"Kiryu san..." Hondo panggil nama Kiryu dalam nada memujuk.

Hondo dan Kiryu merupakan kawan baik sewaktu mereka menyertai yakuza. Namun disebabkan kehebatan Kiryu dalam menakluki kawasan-kawasan di Tokyo, dia telah dipilih menjadi orang kanan Akitai-sama.

Akitai-sama merupakan pemimpin yang ketujuh dalam klan yakuza yang terbesar di Jepun. Di bawah pimpinan Kiryu, mereka berjaya bertapak dengan teguh di Tokyo. Kumpulan tersebut juga telah berkembang ke Asia Tenggara dan telah muncul di Thailand dan juga Filipina hasil keberanian Kiryu yang berpandangan jauh.

Kiryu juga telah dilantik menjadi pengerusi bagi syarikat-syarikat milik klan Shiro di Tokyo. Kuasa Kiryu berdiri megah setanding Empire Tower milik mereka di Ginza, Tokyo. Reputasi Kiryu di kalangan yakuza bukan rahsia lagi. Kerana itu juga dia digelar The Dragon of Kanto.

Kiryu telah berkecimpung di dalam dunia yakuza sejak dia masih mentah lagi. Kehidupannya yang membesar di jalanan di pelabuhan Kobe, telah membina karektor Kiryu yang berani kerana dia sudah terbiasa dengan keganasan.

"Kiryu san! Kau tahu apa yang kau buat ini?" Hondo tahu betapa Kiryu menyayangi perempuan yang bernama Reina itu. Dia bukan sekadar perempuan simpanannya. Reina ialah cinta sebenar Kiryu yang tulus ikhlas. Jarang dia jumpa yakuza yang tidak melayan perempuan dengan kejam. Dia tidak boleh biarkan Kiryu memulakannya!

"Jangan peduli! Kau... pergi!!!" Kemarahan Kiryu sudah meledak! Kiryu terlalu marah dengan Reina sehingga dia ambil pedang dan mencabar.
"Ingat! Jika kau kalah... aku tak akan teragak-agak untuk letakkan kau di rumah pelacuran!"

"Kiryu san..." tegur Hondo lagi. Jantungnya berdetik risau. "Kau akan menyesal!" Mereka mempunyai beberapa pusat hiburan dan kelab di Ginza dan Shinjuku. Jika itu terjadi, ia bukan sahaja akan memusnahkan perempuan itu, tetapi hidup Kiryu juga.

"Kau pergi, Hondo!"

Hiyaaak!!!

Tiba-tiba sahaja Kiryu angkat pedang tinggi-tinggi, kemudian menjatuhkannya pada tengkuk Reina.

Ting!

Sebilah pedang panjang telah menahan pedang Kiryu. Pedang tersebut patah, kerana tidak setanding dengan kehebatan katana Kiryu yang ampuh.

"Hondo!" Terlepas nama pengawal peribadi tersebut dari mulut Reina. Dia tidak sangka lelaki itu sanggup menggadai nyawanya begitu.

"Hondooo!!!!" Kemarahan Kiryu semakin melahar. Matanya terjegil. Dia bergegas ke arah Hondo, pedangnya masih terhunus.

"Kiryu san!" Reina datang dan memeluk kaki Kiryu. "Kiryu san..." Dia masih bersimpuh dan memeluk erat kedua-dua kaki lelaki itu sambil merayu untuk Hondo. Dia tahu buruk faedahnya bagi sesiapa pun yang melawan katanya. Bukan dia. Bukan juga Hondo, sahabat sehidup dan semati Kiryu.

"Maafkan aku! Maafkan dia! Hondo tidak bersalah!"

Kiryu diam, mengatur nafasnya yang naik turun tidak menentu. Dia masih berdiri kaku di situ dengan pedang tergenggam di tangan. Sut kelabu muda yang dipakai, langsung tidak terusik.

PEREMPUAN YAKUZA ITUWhere stories live. Discover now