Osaka, Jepun
Dia tiada mood untuk berbual-bual, tetapi gadis yang sedang duduk di sebelahnya ini agak peramah. Rafique jeling ke tempat duduk di sebelahnya sekilas.
Skirt pendek hitam sejengkal. Jaket yang dipakai lebih panjang daripada skirtnya. Kaki yang cantik ditutupi sepasang boots hitam sehingga paras lutut. Parka hitam menyembunyikan rambutnya yang berwarna platinum blonde. Ranggi penampilannya. Setakat ini, dia belum nampak gadis yang berpenampilan moden dan ranggi begitu sepanjang dia berada di Osaka.
Rafique senyum sekerat. Hanya hujung bibirnya yang bergerak, menyinis. Di Jepun, seperti juga Korea, satu perkara yang pelik ialah mereka tidak kisah untuk memakai skirt yang tersangat pendek, tetapi baju yang mendedahkan dipandang serong. Memakai skirt pendek begitu tidak dianggap seksi, malah dikira comel. Kononnya.
Wajahnya kecil dan cantik, dengan solekan yang secukupnya. Matanya dikira besar berbanding gadis-gadis Jepun lain. Gadis anime! Rafique sengih dalam hati. Berapa banyak pembedahan plastik yang gadis di sebelahnya telah lalui untuk kelihatan cantik begitu? Dia nampak sempurna. Kulitnya putih bersinar-sinar, seperti iklan SKII.
Rafique kembali kepada peta di tangan. Dia sebenarnya sedang meneliti peta pengangkutan di Tokyo kerana dia tidak sempat untuk berbuat sebarang persediaan sebelum ini. Yang dia tahu, di Tokyo nanti dia akan ambil subway. Kata orang, untuk berjalan-jalan di Tokyo, tak susah. Peta tren dan subway yang berselirat ditanda dengan pelbagai warna.
Di Osaka, dia sengaja memilih tour group kerana dia malas untuk berfikir tentang itu. Mana dia ada masa! Dapat peluang untuk bercuti ini pun sudah dikira bagus.Dia dah muat turun aplikasi tren di Osaka dan Tokyo ke dalam Iphonenya awal-awal sejak di Kuala Lumpur lagi.
"Where are you from?" Gadis itu bertanya ramah, dalam bahasa Inggeris yang lancar. Dia tentunya pernah belajar di luar negara. Teka Rafique.
"I'm from Malaysia. Have you heard of it?" Sengaja dia menduga, dalam berseloroh, kerana kebanyakan orang luar tidak pernah mendengar nama Malaysia.
"Yes, I have."
"Surprisingly, though."
"Why?" Gadis itu bertanya.
"Well... not many would actually realise that our country is on the map."
Gadis itu ketawa. Manis sekali. Dia turut ingin ketawa dengan jenakanya sendiri.
"I don't expect you could pull out that humour," kata gadis itu. Lelaki di sebelahnya tidak nampak seperti seseorang yang mampu membuat jenaka yang sarkastik begitu.
"Oh, why is that?" Haha! Nak gelak pun ada. Tak mengapa, gadis itu belum mengenalinya.
"You seem so...umm... quiet. Like... you just don't want to be bothered." Reina berhenti apabila menyangka yang dia telah tersasul. "Err... sorry." Dia minta maaf. "I don't mean to pry."
"No... no problem at all."
Di Tourist Information Centre semalam, berhempas-pulas dia cuba menerangkan kepada mereka dalam bahasa Inggeris supaya mereka mudah faham. Akhirnya datang seorang staf yang sudah berumur yang selayaknya berehat di rumah yang datang membantunya.
Sekarang ini, seronok juga apabila ada orang yang dia boleh bawa berbual. Lagipun, siapa tidak mahu berbual dengan awek Jepun yang cantik? Ia seperti bulan jatuh ke riba!
"You speak good English." Akhirnya Rafique berkata, kerana terlalu sukar untuk berjumpa dengan orang tempatan yang mampu bertutur bahasa Inggeris.
YOU ARE READING
PEREMPUAN YAKUZA ITU
Mystery / ThrillerCerita tentang Rafique Edruce, seorang pegawai polis di D9 yang cuba mengimbangi konflik hidup dan kerjaya, sehingga dia bertemu dengan seorang perempuan milik yakuza. Note : this is a light thriller, perhaps more suited for action drama comedy. How...