BAB 5

176 3 0
                                        

Ginza, Tokyo.

"Hiyakkk!!!"
Zas! Zas! Zas!
Pokok bonsai yang menjadi hiasan bilik terputus di beberapa bahagian. Pedang samurai Kiryu itu bukan sekadar tajam. Tajamnya, boleh membelah tubuh manusia dengan sekali cantas. Mereka semua berdiri tegak, dengan kepala tertunduk.
"Kau dah jumpa dia?" bentak Kiryu pada Hondo dan Kenji. Matanya merah, begitu juga dengan wajahnya. Aura panas membuak-buak terbit dari tubuh Kiryu.
"Maaf, kami masih mencari," jawab Hondo, selaku ketua pengawal peribadi.
"Dah dua hari!!! Kiryu membentak. Seperti guruh suaranya membelah bilik. Dia menderam, seperti harimau yang sedang marah.
"Kamu semua mesti cari dia! Dia tak pernah ke mana-mana sendirian!"
"Kiryu san! Kami akan cari sampai dapat!"
"Kamu sudah cari di tempat lain?"
"Jepun ini luas Kir..."
"Bodoh! Kau ingat aku tak tahu? Cuba kau tanya kawan-kawannya. Mereka mesti tahu!"
"Kami sudah tanya! Mereka semua tak tahu!"
"Huh!" Kiryu mendengus lagi. Pedang yang digunakan tadi telah disisip pada tempat letaknya di pinggang.
Hondo dan pengawal-pengawal lain hela nafas lega. Risau juga jika kepala mereka dipancung.
"Aku mahu kau cari dia sampai dapat! Kau jangan kembali ke sini jika kau tak dapat dia! Aku nak lihat muka Reina di sini sebelum hari esok!"
"Hai!" Hondo tundukkan kepala serta tubuhnya sebagai tanda menurut perintah. Di dalam, perutnya sudah kecut dan berpintal-pintal!
'Jangan kembali ke sini' mungkin bermaksud dia akan dibunuh. Jika jari kelingkingnya dipotong, dia masih terima sebagai balasan kerana gagal menjalankan tugasnya. Tetapi Kiryu telah menyatakan secara terang begitu tadi.
Hondo dan beberapa pengawal peribadi mula beredar. Mereka perlu pastikan Reina kembali ke kediaman Kiryu secepat mungkin.
Reina san! Ke mana kamu telah pergi? Bisik Hondo dalam keresahan.

***
Kerana gadis Jepun yang kawaii, dia telah mengubah perjalanannya. Langsung dia batalkan niatnya untuk ke Aokigahara, sebuah hutan yang dipanggil the Sea of Trees atau pun the Suicide Forest.  Tak mengapa, lain kali dia boleh datang lagi. Sekurang-kurangnya rancangannya untuk ke Istana Edo untuk melihat peninggalan 47 ronin masih belum terganggu.
"Di Tokyo nanti, aku akan bawa kau ke satu restoran yang menyediakan sushi yang sangat sedap," janji Reina.
Dia sentiasa kelihatan ceria. Gadis tersebut benar-benar buat dia tidak ingin tinggalkan negara matahari terbit itu. Jika dia bawa balik gadis Jepun itu ke Malaysia. daddy pasti akan mengamuk teruk!
Secarik senyuman terbit dari bibir. Rafique cari wajah gadis itu. Ada dalam 25 minit lagi sebelum mereka sampai di Tokyo. Dia sudah teruja untuk meronda di Akihabara. Tak sabar untuk menjejakkan kakinya ke Shinjuku, Ginza dan Shibuya. Istana Edo tentu sekali berada pada nombor satu di wishlist.
"What?" tanya Reina, matanya membulat memandang Rafique. "Kenapa kau tenung aku macam tu?"
"Oh, apologies. It was really rude of me to stare." Rasa bersalah pula kerana merenung anak gadis orang lama-lama begitu. Tidak dapat disangkal, dia terkenangkan seseorang, apabila melihat Reina.
"You like me?" tanya Reina selamba.
Terpempan dengan pertanyaan yang sangat selamba, dia curi sedikit waktu sebelum menjawab. Memang dia suka gadis itu. Rafique buka mulut untuk menjawab, apabila pengumuman berbunyi, menyatakan bahawa shinkansen telah sampai di Tokyo.
"Kereta api dah sampai," kata Rafique sebaliknya, seraya bangun untuk menuju ke pintu keluar.
***
Ketika mereka sedang melalui satu lorong, kedengaran bunyi seperti orang sedang berkelahi. Seorang lelaki yang agak besar tubuhnya sedang berkata sesuatu dengan agak kasar pada seorang wanita tua.
"Jangan masuk campur! Itu yakuza." Reina menahannya daripada berbuat apa-apa. Dia bercakap dengan cara berbisik.
"Yakuza?"
"Tentu kamu tahu tentang mereka, kan?" kata Reina. "The Japanese mafia."
"Yeah... but I don't expect to see them here."
"Mereka berada di mana-mana. Mereka langsung tak bersembunyi, kecuali oyabun mereka. Oyabun ialah ketua yang paling besar di dalam hierarki organisasi yakuza. Ia seperti godfather bagi mafia Itali."
Reina berkongsi beberapa perkara lagi dengannya tentang dunia yakuza, yang sebahagiannya, dia tidak pernah tahu.
"Banyak yang kau tahu tentang mereka."
"Siapa yang tak tahu? Kalau kamu tak tahu tentang yakuza, kamu bukan penduduk Jepun."
"Betul juga tu."
"Japan is yakuza. Yakuza is Japan." Ringkas sahaja perumpamaan Reina.
"Mereka ini memainkan peranan penting dalam masyarakat. Memang mereka banyak buat aktiviti yang salah, tetapi mereka jugalah yang menolong apabila terjadinya malapetaka. Tahun 2011, sewaktu Tohuku dilanda tsunami, Akitai sama ialah orang pertama yang berada di tempat kejadian. Bantuan daripadanya yang sampai dahulu, bukan dari kerajaan! Nak kata bagaimana? Mereka ada duit dan mereka nak tolong? Nak kata mereka baik pun tak boleh juga sebab ketara apa yang mereka lakukan itu menyalahi undang-undang," terang Reina bersungguh-sungguh.
"Yakuza sekarang dah tak seperti yakuza 400 tahun dahulu. Sekarang, mereka mempunyai bisnes yang besar-besar. Contruction, real estates, manufacturing... Sebut apa sahaja, mereka ada."
"Organised crimes?" Rafique sengaja bertanya, menjadikan perbualan mereka lebih menarik dalam dua hala begitu. Setahunya yakuza banyak terlibat dalam aktiviti jenayah terancang.
"Yup. It's part of their activities. See..." Reina kerling ke arah sebuah kedai. "Makcik ramen itu pun akan mencari yakuza apabila ada orang buat kacau di kedainya."
"Habis tu, pihak polis buat apa?" Dia memang tertanya-tanya juga, sebab hubungan antara geng yakuza dan pihak polis di Jepun ini agak menarik. Menerusi pembacaannya, dia dapat tahu serba sedikit. Melalui penceritaan penduduk Jepun sendiri, apabila diceritakan dari kacamata mereka, adalah lebih menarik.
"Mereka akan memantau. Jika ada yakuza yang membuat kacau mereka akan ambil tindakan juga."
"Oh, macam tu..."
"Mereka ni walaupun jahat, mereka juga yang datang membantu apabila berlaku bala bencana seperti tsunami dahulu. Jadi, kerajaan pun seperti dalam dilema."
"Tapi ia masih dikira menyalahi undang-undang, bukan?"
"Betul. Kebanyakan hasil daripada kegiatan mereka ialah melalui kegiatan pelacuran, judi dan pelbagai kegiatan haram lagi. Jadi, sukar bagi pihak berkuasa untuk mengambil tindakan ke atas mereka kerana masyarakat seperti memerlukan mereka juga."
"What a dilemma..."
"Yup, you're right."
Mereka berjalan-jalan dari lorong-lorong yang agak lenggang sehingga jalan yang sesak. Reina bertindak sebagai pemandu pelancong.
"Oh, kita dah sampai sini! The famous Shibuya Crossing!" kata Reina dengan teruja. "Jika dah sampai Tokyo, wajib datang ke sini!"
Mereka berdiri di tepi jalan, bersama dengan ramai lagi orang yang sedang menunggu untuk melintas. Takjub dengan jumlah orang yang ramai di lintasan tersebut. Keempat-empat penjuru penuh dengan manusia yang sedang menunggu lampu isyarat dengan sabar.
Rafique sangat teruja untuk melintas buat kali pertama. Dia perlu rekod perjalanan tersebut. Iphone dikeluarkan dari kocek seluar. Lampu merah akan bertukar warna tidak lama lagi. Dia tidak jumpa satu perkataan yang tepat untuk meluahkan rasa yang sangat mengujakan itu. Terasa teruja dan gembira pada waktu yang sama. Giddy with excitement, kata orang putih!
Dari merah, lampu bertukar hijau. Dengan bersemangat, dia jatuhkan kaki ke atas jalan raya. Iphone di tangan sudah berada dalam mod video. Semua kereta berhenti serentak. Manusia bergerak serentak. Sangat mengujakan! Wow!
Namun, baru sahaja empat langkah kakinya berada di atas jalan, terasa bahunya dicekup dari belakang. Cengkaman yang kuat dalam keadaan tidak bersedia buatnya hampir terdorong ke belakang. Rafique berpaling, nampak dua orang lelaki yang berbadan besar dan garang di belakangnya. Seorang lelaki lagi, yang berkot warna hitam, telah memegang Reina dengan kejap.
Terkejut, secara automatik Rafique sudah bersiap siaga. Namun dia tidak mahu mendedahkan identitinya. Dia batalkan hasrat hati untuk buka langkah silat. Tangannya yang telah menepis tangan lelaki tadi ditahan. Rafique tidak melawan. Dia telah beritahu gadis itu bahawa dia bekerja di sebuah syarikat swasta, bukan anggota polis.
"Hey! What are you doing?" tanya Rafique, sambil cuba menepis tangan lelaki itu.
Dia lihat kedua-dua lengan Reina telah dipegang oleh dua orang lelaki, kiri dan kanan. Manakala lelaki yang bertubuh besar yang mencekupnya tadi sedang menghalangnya dari bergerak.
Dia ingin memanggil dan membuat sesuatu, tetapi apabila dia dengar Reina menyuruhnya pergi, nalurinya telah mengesan sesuatu yang lebih bahaya.
"Go! Go!"
Reina menjerit menyuruhnya pergi, diselang-seli dengan perkataan di dalam bahasa Jepun, yang ditujukan kepada lelaki-lelaki yang sedang menangkapnya. Dia langsung tidak melawan.
"Go!"
Dia faham bahasa isyarat dan mimik muka gadis itu. Wajahnya nampak kerisauan, bukan ketakutan. Waktu itu, Rafique tersedar akan sesuatu. Reina lebih risaukan dirinya berbanding diri sendiri. Gadis itu mungkin kenal mereka semua.
Lelaki-lelaki bersuit itu bukan calang-calang orang. Dia nampak Reina diheret pergi dengan sebuah kereta berwarna hitam bercermin gelap. Dia hanya mampu berdiri, memandang kereta yang melintasi Shibuya Crossing yang sibuk dengan hati yang berbelah bagi.
Ya Allah! Apa yang sedang berlaku?

PEREMPUAN YAKUZA ITUWhere stories live. Discover now