BAB 2

82 1 0
                                    

Ikhtiar.

"Cubalah berhenti tanya orang, bang," saran Akma apabila mereka sesat ketika dalam perjalanan hendak ke Darussyifa' yang terletak di Bangi. Seperti ada yang menghalang perjalanan mereka ke sana. Karim memberhentikan kereta.

Dia keluar dari kereta.

"Patutnya di kawasan ini," kata Karim yang sudah puas berpusing di tempat itu namun belum berjumpa di mana bangunan Darussyifa' itu.

"Bismillahirrahmanirrahim... Ya Allah, permudahkanlah perjalanan kami," doa Akma berharap penuh sungguh. Dia benar-benar mahu mencari penawar bagi penyakit misterinya itu.

Mereka kembali meneruskan pencarian. Sesampai di bangunan Darussyifa', Akma mengambil nombor giliran. Ini kerana bukan dia seorang sahaja yang datang mahu berubat, tetapi ramai juga yang datang. Kalah klinik swasta.

Saat itu, Daniel sudah mula lasak. Dia mahu berlari ke sana dan ke mari. Memang begitu tabiatnya jika berada di tempat orang ramai. Tetapi tidak sesuai pula jika anaknya itu berlari di tengah-tengah ramai pesakit di sana.

"Abang bawa dia keluar dulu, ya? Kejap lagi abang datang," kata Karim yang tidak mahu kelasakan anaknya mengganggu suasana di dalam pusat rawatan itu.

Menurut perawat Islam di sana, memang ada gangguan dalam diri Akma. Dia merukyah di kepala dan telinga Akma, menepuk-nepuk belakangnya juga mendoakan sebotol air mineral. Air mineral itu dibeli di situ juga. Memang disediakan begitu banyak air mineral untuk didoakan di pusat rawatan Islam itu.

"Apa punca sakit saya ni, ustaz?" tanya Akma ingin tahu.

"Emmm... Sama ada gangguan saka, ada orang hantar, atau mungkin sebagai ujian buat kamu," kata perawat itu.

Akma terdiam. Adakah dia cuba merahsiakan sesuatu daripadaku? Tidak mungkin dia tidak tahu. Saat itu, Akma tidak tahu tidak semua perawat Islam dapat scan punca permasalahan pesakit melainkan yang benar-benar diberi kelebihan oleh Allah S.W.T.

"Kamu mandi air ini selama tiga petang dan juga meminumnya. Bila tinggal separuh, kamu boleh tambah air lagi," kata perawat Islam itu.

"Baiklah... Terima kasih ustaz," kata Akma. Dia bersyukur tidak seperti pesakit lainnya. Ada yang meraung kesakitan dan ada juga yang kerasukan apabila dirukyah. Akma agak takut melihat dan mendengarnya. Dia bersyukur kerana tidak pernah mengalami kerasukan seperti itu.

Pada malamnya, apabila sudah sampai di rumah sendiri, Akma mula minum air itu dengan lafaz bismillah. Dia tidak sempat mandi air itu sebelum maghrib kerana mereka sampai di rumah pun sudah malam.

Malam itu juga, kedua-dua belah kakinya terasa sakit. Sakit, ketat dan panas sehingga Akma tidak dapat tidur semalaman. Jika sebelum ini pukul empat pagi baru dia boleh tidur. Tetapi malam itu dia tidak dapat tidur langsung. Seolah-olah kesakitan itu menggantikan peranan menghasutnya dengan menghantar bayangan bunuh-bunuhan sebelum ini.

Pada siang esoknya, Akma mula rasa sakit-sakit di seluruh badannya sehingga Akma jadi takut mahu mandi air yang dirukyah itu. Dia hanya sanggup meminumnya sahaja. Walaupun dia hanya perlu memasukkan sedikit sahaja ke dalam besen mandian, namun hatinya berbolak-balik hendak melakukannya.

"Apa akan jadi selepas aku mandi air ini?" tanya Akma sendirian. Dia berasa bimbang dan takut.

Namun, kerana besar harapannya untuk sembuh, dia kuatkan hati menuang sedikit air rukyah itu ke dalam besen mandian. Dia melawan desakan dalam diri yang melarang dirinya berbuat demikian.

Gayung demi gayung air diambil untuk dijirus ke seluruh tubuhnya dari atas kepala. Dia benar-benar berserah kepada Allah.

Selepas mandi air Darussyifa' pada petangnya, menjelang malam, sekali lagi Akma tidak dapat tidur kerana dia merasai ada benda bergerak dalam badannya. Kadang-kadang ia menyusur, kadang-kadang ia berlari. Ia menjalar dan berhenti di satu-satu tempat dan kemudian menyakitkan Akma. Seperti ada makhluk kecil melakukannya tetapi tidak kelihatan. Dan makhluk itu seperti membalas dendam kerana Akma mandi dan meminum air yang telah dirukyah itu.

PENDAMPING MALAMWhere stories live. Discover now