Diserang Dukun.
Langit tidak selalu cerah. Sekiranya hujan yang turun, tidak tersangka ada petir mencelah sekali-sekala. Akma terpempan membaca mesej daripada perawatnya. Hidup memang ada kawan dan lawan. Hanya perit apabila menjadi mangsa kepada yang sanggup menyekutukan Tuhan-Nya.
"Saya diserang seorang dukun dari utara selepas merawat puan tempoh hari. Saya syak dukun itu ada kaitan dengan puan. Kemungkinan puan disihir," kata Tuan Maza.
"Terima kasih tuan beritahu punca penyakit saya ini. Saya minta maaf disebabkan saya, tuan diserang," kata Akma yang sudah menangis hatinya. Siapakah yang tega menzaliminya?
Tiba-tiba terbayang wajah seorang wanita dalam fikirannya.
"Kenapa hatiku asyik mengatakan perempuan itu dalangnya? Ya Allah, tolonglah hindari diriku daripada fitnah," rintih hatinya. Akma memandang lantai dengan rasa kosong. Ujian yang tidak pernah terfikir olehnya dialami oleh dirinya kini.
"Puan ada buat business ke?" tanya Tuan Maza.
"Saya tulis buku saja, tuan. Itu saja kemahiran yang saya ada," jawab Akma.
"Suami puan?"
"Juga tidak, tuan. Dia hanya kerja makan gaji," jawab Akma.
"Begini, sebenarnya puan bukan sahaja ada gangguan saka, tetapi juga disihir. Selama ini saka telah menutup jin-jin sihir sebab itu ramai perawat tidak dapat mengesan yang puan disihir," kata Tuan Maza lagi. Benarlah dari mana pun asal laknatullah ini, mereka tetap berkomplot sesama mereka.
"Astaghfirullahaladzim..."
Akma beristighfar. Sungguh dia tidak pernah menerima ujian seberat ini.
Puan ada syak sesiapa?" tanya Tuan Maza lagi.
"Hati saya asyik mengesyaki seorang yang cuba mengganggu rumah tangga saya pada Ramadan lepas," jawab Akma sejujurnya.
"Dalam kes puan ini, saka tidak membantu mempertahankan puan daripada disihir tetapi membuka ruang pula disihir," kata Tuan Maza.
"Tak mengapa, saya tak perlukan mereka," kata Akma. Ah, aku memang tidak memerlukan bantuan laknatullah! Pelindungku hanya Allah! Bukankah Allah sebaik-baik penolong?
"Bagus, puan. Begitu lebih baik."
Pada keesokan harinya, Tuan Maza memaklumkan memang ada orang yang menyihir dirinya. Dia telah memeriksa dukun yang menyerangnya sebelum ini adalah dukun yang diupah untuk menyihirnya.
"Patutlah setiap kali saya merawat puan, lepas semua jin keluar atau mati, tidak sampai setengah hari masuk yang baru. Rupa-rupanya tok bomoh yang tidak berhenti menghantar rombongan jin yang baru," kata Tuan Maza.
Akma terdiam lagi. Patutlah setiap kali selepas dia dirawat, setelah dikeluarkan semua jin dalam badannya, tidak lama kemudian dia dapat merasai ada rombongan jin memasuki tubuhnya semula apabila dia berasa badannya sakit bagai dicucuk jarum yang tidak terkira banyaknya.
"Pengupahnya adalah seorang perempuan dan seorang lelaki. Tetapi saya masih belum jelas siapa lagi," kata Tuan Maza lagi.
Malam itu, Akma resah. Dia benar-benar ingin tahu siapa yang menzalimi dirinya? Siapakah perempuan dan lelaki yang dimaksudkan Tuan Maza? Esok paginya Akma mendesak perawatnya supaya beritahu siapa yang mengupah bomoh untuk menyihir dirinya.
"Tuan, beritahulah siapa pengupah itu," rayu Akma.
"Puan, memberitahu siapa yang menyihir pesakit, bukan prinsip perubatan saya, kerana takut mengundang fitnah. Begini, puan buat solat hajat, lepas salam, baca ayat 65 surah Yasin. Kemudian, ketika hendak tidur, baca surah al-Kautsar sebanyak 10 kali sambil niat minta Allah tunjukkan siapa yang buat dajal pada puan," balas Tuan Maza.
YOU ARE READING
PENDAMPING MALAM
Korku"Aku sudah gilakah? Tapi mengapa? Aku tidak tertekan pun sebelum ini," - AKMA Dalam melayari bahtera rumah tangga bersama Karim dan anaknya, Akma tidak menyangkaTuhan menguji dirinya saban malam akibat disihir oleh seseorang. Hasutan syaitan yangdit...