Lupa aku nak kenalkan diri. Aku Iman. Nama penuh aku Iman Afzan Bin Rayyan Iskandar. Ya aku seorang lelaki. Aku adalah anak tunggal kepada Encik Rayyan Iskandar dan Puan Dahlia Diannova. Aku sering bermimpi aku hidup bersama keluarga tiri aku sedangkan ibu bapa kandungku masih hidup. Pelik bukan? Nama pun mimpi. Apa sahaja boleh berlaku. Agak membosankan duduk berseorangan di rumah. Ibu bapa ku sibuk bekerja mengendalikan syarikat mereka yang kian membangun. Aku? Duduk di rumah sambil melayan komputer riba aku. Matahari sudah berada di atas kepala. Perutku berkeroncong. Aku terus ke dapur untuk mangambil makanan. Tiba-tiba aku lihat seseorang nenek yang berjalan di hadapan aku tanpa menghiraukan aku. Aku terkaku. “Nenek yang aku mimpi semalam! Kenapa dia ada di rumah aku?”, kata aku di dalam hati. Aku mula ketakutan dan terus lari ke dalam bilik aku. Tiba-tiba kedengaran suara seperti orang tua. “Akan ku jaga kau sepenuh hatiku pada setiap masa. Akanku jadikan kau cucu kesayangan ku selamanya”,kata nenek tua itu. Aku menangis. Aku rasa tubuh aku dipeluk seseorang tapi aku tak dapat melihatnya. Ada hembusan nafas di dahi ku. “Akan ku jadi cucu kau yang menurut perintah.” kataku tanpa aku sedari.
Sedang aku terleka, mulutku seolah tersenyum sendiri, ibuku menyergah aku. “IMAN!!!”. Aku terjaga. Aku tidak perasan ibu bapaku sudah pulang dari pejabat. Nak perasan macam mana kalau aku ni sibuk berangan. Aku mula ubah posisi aku dari duduk lalu terus baring di atas katil. Belum sempat aku baring dengan tenang ibu aku mula membebel. “Dah pukul 11pg dah. Tak siap lagi? Nak gerak pergi sekolah pukul berapa?”, kata Ibu. Ya. Aku pelajar tingkatan 2 dan aku berada di sesi petang. Aku terus ke bilik mandi untuk membersihkan diri. Kepala aku ligat memproses maklumat tentang nenek. “Nenek? Bukan nenek aku dah meninggal 4 tahun lepas ke? Ni nenek mana pulak dah? Ah lantaklah! Imaginasi aku je ni.” Keluar dari bilik air aku terkedu melihat lembaga putih melintasi aku. “Ah sudah! Berapa banyak makhluk yang ada dalam rumah aku ni sebenarnya. Aku ni ada sakit mental ke? Nampak macam-macam. Serabut.”
Sampai sahaja aku di sekolah aku terus letak beg sekolah aku. Aku betulkan rambut aku yang kusut disebabkan tidak disikat. Tiba-tiba Kasyaf menyergah, “Oi mangkuk!!! Lambat datang.” Oh ya. Aku lupa sekali lagi untuk kenalkan geng aku. Aku ni asyik lupa sahaja, mungkin aku dah mula nyanyuk. Aku kenalkan geng aku dari kelas mana. Aku, Kasyaf, Afiq dan Wan dari kelas 2C. Daus dan Shahrul dari kelas 2B. Amir dari kelas 2A. Kami bertujuh. Kenal satu sama lain atas dasar persatuan geografi. Tak perlu aku bercerita panjang tentang mereka. Lain kali sahaja.
Semasa di dalam kelas, Kasyaf mencuit pinggangku. “Weyh asal panas semacam badan kau ni? Tu orang tua belakang kau dok pegang bahu kau dari tadi? Mana kau kutip dia?”. Aku menghembus nafas untuk tenangkan diri. Ni aku benci tentang Kasyaf. Dia ada deria keenam. Aku balas “Mangkuk! Kau boleh sabar tak? Kita dalam kelas. Kang kantoi dengan cikgu kita tak focus.”
Cikgu Hairi yang perasan dari tadi aku dan kasyaf sedang bercakap, lalu dia terus memanggil kami. “Iman. Kasyaf. Bangun. Jawab soalan kat depan ni”. Apalagi? Aku dan Kasyaf terpingga-pingga. Hanya mampu membuat muka meminta simpati sahaja. “Kamu berdua berdiri sampai waktu rehat. Sekarang!”, kata Cikgu Hairi.
“Kau la ni ajak aku borak. Kan kita kena denda”, kata aku. Kasyaf balas,”tenang loceng lagi 5,4,3,2,1”.
Tiba-tiba kedengaran loceng menandakan waktu rehat sudah tiba. Cikgu Hairi pun keluar tanpa menghiraukan kami berdua yang sedang berdiri.
“Woi man. Macam mana kau boleh dapat nenek?”, tanya Kasyaf. Aku balas denga tenang, “Aku sebenarnya……”. Tiba-tiba telinga aku berdesing. Aku cuba menekup telinga aku dengan tapak tangan aku dengan niat mahu mengurangkan bunyi berdesing tersebut. Aku mula pening kepala. Mataku berpinar. Tanpa aku sedari aku terus rebah menyembah bumi.