“Weh...menung jauh nampak!” sergah Harith. Dari tadi dia perhatikan sahabatnya itu.
“Kurus semangat aku.” Ryzal mengurut dadanya. Langsung dia tidak sedar kemunculan Harith di hadapannya. Sergahan daripada Harith memecahkan khayalannya.
“Aku betul-betul nak pikat Arleena la..” Ryzal berterus terang. Muka habis serius memandang Harith.
Kah .. kah.. kah... Harith memuntahkan gelak. “Itulah dulu berlagak sangat. Kan dah kena jilat ludah sendiri.” ujar Harith yang masih galak ketawakan Ryzal.
“Woi.. pengotorla ko ni... Ini bukan jilat ludah. Ini soal hati dah tertawan.” Ryzal masih tidak mengalah. Senyuman mekar terukir di bibirnya.
“Ko kena ingat. Dia tu bukan macam perempuan-perempuan yang ko kenal sebelum ini. Dia ni bukannya kaki clubbing macam Rebecca, Irene or yang lain-lain tu aku sendiri pun tak ingatlah.” Harith mengingatkan Ryzal.
“Aku tahulah. Takkan la pakai tudung kaki clubbing. Ko pun agak-agakla. Aku nak buat isteri. Yang lain-lain tu stok geli-geli aku jer.” Ujar Ryzal.
“Tengkorak ko stok geli-geli.” Mereka ketawa kuat apabila Harith melontar pen yang berada di tangannya ke arah Ryzal.
“Bro.. dah sampai masanya aku nak berubah. Aku rasa Arleena mampu bimbing aku.” Mengenali Arleena menimbulkan keinginannya untuk berkeluarga. Memikul tanggung jawab sebagai ketua keluarga. Mungkin Arleena adalah pembimbingnya.
Harith menarik nafas dalam. Tidak pernah sahabatnya itu berperangai sebegitu. Syukur kalau Ryzal ingin berubah. Meninggalkan gaya hidup sosialnya.
“Aku suka kalau ko nak berubah. Tapi ingat pesan aku. Kita lelaki, kita sepatutnya menjadi pembimbing. Lepas ni ko titik beratlah soal agama.” Walaupun Ryzal seorang yang suka bersosial, sahabatnya itu belum pernah menodai perempuan yang didekatinya.
“Apa plan ko?” tanya Harith. Playboy seperti Ryzal pastinya mempunyai banyak idea. Kalau tak manis mulut, manakan dia boleh bertukar perempuan setiap minggu.
“Adalaa...” Ryzal menjungkit keningnya. Menayangkan aksi berlagaknya kepada Harith.
Harith mencebik. “Malas aku nak layan. Jom makan. Aku dah lapar la.” Ajak Harith.
Ryzal melihat jam Tissot di pergelangan tangannya. Patutlah Harith datang ke biliknya. Sudah masuk masa makan tengah hari. “Jomlah..” bingkas Ryzal bangun. Mereka beriringan keluar daripada bilik Ryzal.
Salam Sunshine... how your day?- Ryzal
Busy!! – Arleena
Ryzal tersengih membaca balasan pesanan ringkas daripada Arleena. “Punyalah panjang aku mesej, ini je dia jawab. Betul-betul sibuk ni...” omelnya. Ryzal mula melancarkan sesi mengayatnya.
Dah makan?- Ryzal
Arleena membaca pesanan yang baru sahaja diterimanya. Alahai mamat ni tak mengalah nampaknya. Hari ni panggil dia Sunshine. Semalam Sweetie. Lepas ni ape pulak. Jangan panggil dia bucuk sudahla. Mau mutoh ijo dia nanti. Arleena membiarkan sahaja mesej Ryzal. Tidak berniat untuk membalasnya. Dia tahu perangai Ryzal. Kalau dilayan akan melarat seperti semalam. Gara-gara membalas mesej yang dihantar Ryzal, hampir satu jam dia terpaksa melayan Ryzal. Tidak cukup dengan mesej, Ryzal menghubunginya pula.
Take care. Jangan lupa makan – Ryzal
Sekali lagi mesej daripada Ryzal masuk ke telefon Arleena. Arleena mengeluh. Bukannya dia tidak faham apa yang dimahukan Ryzal, tapi hatinya masih belum terbuka untuk menjalin hubungan yang lebih serius. Dia tidak mahu memikul komitmen yang lebih berat. Belum masanya lagi.
