"Saudaraku, apakah wabak ini yang mematikan kita, manusia?" Tanya saudaraku,
Lantas ku merenung jauh melintasi dimensi dan rasional,
"Tidak" aku menjawab,
"Wabak ini hanya sebuah mikroskop untuk menunjukkan wabak-wabak sebenar yang membunuh kita manusia"
"Jadi apakah wabak-wabak itu wahai saudaraku?', dia menanya lagi.
"Marilah aku perihalkannya satu per satu wabak-wabak itu."
.
Kuasa, itulah wabak yang pertama,
Yang menjadi rebutan sang penguasa,
Kau takluki kuasa maka kau akan hilang rasa,
Yang hanya dirasakan satu kehausan yang tiada sudah,
Dimana semakin diminumnya semakin hilang rasa dalam hatinya.
.
Harta, itulah wabak yang kedua,
Dikumpul segala bentuk harta seluruh pelosok dunia,
Di bumi dan di lautan tidak akan pernah cukup,
Apabila matinya, dek tinggal menjadi perebutan di antara kalian,
Maka kau mati tanpa amal dan apakah bekalanmu hidup di barzakh?
.
Kasta, itulah wabak ketiga,
Kenapa perlu mencipta kelas diantara kita?
Bukankah kita semua dilahirkan dari Adam dan Hawa,
Yang dijadikan asalnya dari tanah dan matinya juga kepada tanah,
Dan masih juga manusia lupa akan itu maka dibahagikan kelas-kelas.
.
Akhirnya, ada lagi wabak yang kita namakan cinta,
Di mana manusia mencintakan wabak-wabak tersebut hingga nyawa dicabut,
Kerana cinta itulah segala penyakit jiwa telah menular ribuan tahun tanpa rawatan,
Segala yang haram menjadi halal dan yang halal segalanya segera ditinggalkan,
Jadi jangan tanyakan apa wabak yang membunuh kita, manusia.
.
"Saudaraku, inilah wabak-wabak yang patut kita takuti. Ribuan tahun sudah menular, jutaan jiwa menjadi korban. Namun tiada yang ingin merawat apatah lagi membendungnya." Aku memberi jawaban akhir.
-AA