Part II - Bab I

62 3 0
                                    

Setahun kemudian...

Adam menghampiri Makeda. "keluar makan tengahhari dengan saya hari ni, Makeda,"pinta Adam.

"minta maaf, Adam. Saya ada kerja yang perlu saya email sebelum pukul 2. Lepas kerja boleh?" cepat Makeda memotong. Makeda langsung tidak memandang Adam. Matanya ralit dengan lukisan pelan menggunakan software Revit dan keduanya tangannya lincah menekan keyboard. Adam tahu Makeda tidak menipu dan tingkahnya membenarkan kata-kata yang diucapnya.

"Dinner tempat biasa. Saya tunggu," jawab Adam lemah. Adam memandang Makeda sebelum pergi. Hatinya resah.

Makan malam Adam dan Makeda adalah dikedai kebab. Adam tahu Makeda suka makan kebab. Adam juga tahu Makeda lebih suka kebab kambing berbanding kebab ayam. "saya dengar awak nak berhenti kerja. Kenapa Makeda?" Adam terus bertanya tanpa kata-kata pendahuluan.

Makeda berhenti mengunyah. Dia tersentak. Makeda tidak terus jawab. Makeda memandang Adam sekilas sebelum dia mengeluh. "saya terpaksa. Ayah jatuh sakit. Ibu saya juga kurang sihat. Tiada yang boleh tengokkan mereka." Jelas Makeda.

"adik beradik awak yang lain?" Adam bertanya lanjut. Dia terkejut dan risau.

"Raihan masih ada setahun setengah untuk habis. Abang Firdaus akan ke German. Permohonannya untuk ke sana berjaya. Kak Mariah sudah berkahwin dan ikut suaminya. Kak Mariah juga sedang menjaga mentuanya. Jadi tiada siapa yang boleh jaga Ibu dan ayah saya. Lagipun, saya saja tiada komitmen selain kerja," terang Makeda.

"kenapa tidak minta cuti tanpa gaji sahaja?" Adam seperti tidak setuju dengan keputusan Makeda. Dia sebenarnya tidak ingin melepaskan Makeda.

"Adam, Australia – Malaysia bukan macam Sydney – Gosford. Lagipun, inilah peluang saya berbakti kepada mereka. Peluang untuk saya jadi anak yang baik," Sebenarnya Makeda sudah fikir sedalamnya dan dia juga sudah berbincang adik-beradiknya. Boleh saja Makeda upah jururawat peribadi menjaga ibu ayahnya. Bukan Makeda tiada duit tetapi bagi Makeda layanan jururawat tidak sama layanan seorang anak pada ibu dan ayahnya. Kalau berlaku kecemasan, ahli keluarga juga yang dicari. Makeda tidak sanggup mengalami rasa cemas jauh dari Malaysia. Baginya kalau apa-apa yang berlaku biarlah berlaku didepan matanya. Supaya dia tidak rasa bersalah. Tidak ralat.

Ayah Makeda diserang strok pada tiga bulan lepas. Ibu pula memang sudah lama tidak sihat. Ibu ada sakit darah tinggi dan kencing manis. Firdaus pula tidak sangka permohonan dia ditukarkan ke German diluluskan dengan kadar segera. Dia ingin menangguhkan ke German tetapi Makeda menggalakkan Firdaus pergi. "peluang ini bukan senang. Lagipun dua tahun sahaja. Lepas tu, Firdaus boleh balik jaga Ibu dan Ayah."

Adam tidak tahu tujuan Makeda bekerja di Australia kerana bawa diri. Bawa diri kerana terasa dengan ibu bapanya. Ayah dan Ibu tidak peduli tentang perasaannya. Ayah dan Ibu lebih berbangga dengan pencapaian anak lelaki mereka yang berjaya. Walaupun Makeda sudah berjaya melanjutkan pelajaran peringkat Sarjana di Australia, Ayah dan Ibu langsung tidak berbangga. Bagi mereka, pencapaian yang diperoleh Makeda biasa sahaja. Sebab itu selepas tamat belajar, Makeda tetap di Australia. Ayah dan Ibu juga tidak peduli Makeda bekerja di Australia. Bila Makeda jatuh sakit, tiada siapa yang tahu. Kalau dimaklumkan pada Ayah dan Ibu, Ayah akan nasihat supaya makan ubat dan Ibu pula akan berleter pada Makeda kerana tidak menjaga kesihatan. Itu sahaja.

Bila Makeda mendapat khabar ayah diserang strok dan ibu kurang sihat baru-baru ini, Makeda jadi tidak senang hati. Hatinya sentiasa berdebar. Setiap hari Makeda akan menelefon ayah dan ibunya. Makeda akan merasa lega apabila dapat bercakap dengan ayah atau ibunya. Sekiranya talian tidak berangkat, Makeda tidak boleh focus dengan kerjanya.

Apabila Abang Firdaus memaklumkan dia ditawarkan ke German, terus Makeda menyokong Abang Firdaus untuk pergi. Makeda punya alasan untuk kukuh untuk kembali ke pangkuan keluarganya. Walaupun Makeda makan hati dengan sikap ayah dan ibunya, bagi Makeda anak tetap anak. Anak soleh perlu berbakti pada ibu bapanya selagi ibu bapanya tidak berpaling dari ajaran Islam.

Sejak tinggal di Australia, Makeda ada menyertai kelas agama dan membaca tentang peranan seorang anak. Sebagai mengisi masa lapang. Surah Luqman sarat dengan nasihat dan peranan seorang anak. Makeda juga mula memahami bahawa kasih sayang ibu bapa diterjemahkan dengan cara berbeza. Mungkin layanan yang Makeda terima dari ayah dan ibu selama ini adalah terjemahan kasih sayang mereka.

"awak tahu Adam, selama saya di Australia saya sentiasa marahkan ayah dan ibu saya," sesi makan malam Makeda dengan Adam masih belum berakhir.

"maksudnya?" soal Adam tidak faham. Kenapa?

"sejak saya sambung belajar di sini, ibu dan ayah saya tidak hiraukan saya. Mereka tidak peduli kalau saya balik atau tidak. Saya kecewa dengan ibu dan ayah saya. Pada masa yang sama juga, saya marahkan mereka," Entah kenapa malam itu Makeda terbuka untuk bercerita masalahnya pada Adam.

"bila mereka jatuh sakit, saya rasa ini balasan mereka. Pada yang sama, saya berperang dengan perasaan saya sendiri. Biarkan mereka atau saya patut balik menjaga mereka. Saya sanggup lepaskan kerjaya saya," sambung Makeda tanpa perasaan.

"Makeda..." Adam terkedu. Tidak sangka dengan masalah dihadapi Makeda.

"awak tahu, Tuhan tunjukkan saya melalui projek yang kita buat sekarang. Sejak saya mula kerja, saya hanya terima projek untuk Pusat penjagaan orang-orang tua. Hati saya jadi lembut. Rapuh. Saya tak sanggup ayah dan ibu saya dijaga oleh orang lain. Sedangkan saya masih ada dan mampu menjaga mereka," Luah Makeda. Airmata mula jatuh ke pipinya.

Adam tidak mampu berkata-kata. Dia ingin menyapu airmata Makeda tetapi dia tidak berani. Nampaknya, dia harus membiarkan Makeda kembali ke Malaysia. Antara Adam dan ibu bapa Makeda, sudah tentu ibu bapa Makeda lebih penting. Adam bukanlah sesiapa dalam hati Makeda. Perlukah Adam kejar Makeda sehingga Malaysia? Adam tiada jawapan. Yang pasti dia akan terus rindukan Makeda.

"kalau saya nak jumpa Makeda, saya boleh ke Malaysia kan?" ujar Adam setelah Makeda tenang. Makeda ketawa.

"sudah tentu. Saya akan kenalkan Adam dengan ayah dan ibu saya. Kalau saya ada masa, saya akan bawa Adam jalan-jalan." Makeda kembali ceria. Tetapi tidak hati Adam. Kelam.

p/s: masih lagi dalam proses penulisan. Bahagian dua ini berlaku rombakan plot, jadi ia mengambil masa untuk saya teruskan bab yang seterusnya. maafkan saya kalau lambat tambah bab baru untuk bahagian dua ini. Kalau PKP masih bersambung, saya akan cuba tambah beberapa bab lagi. selamat membaca. terima kasih untuk vote, komen dan share. RAMADHAN KAREEM, semua. :)

Seribu Tahun Satu KebahagiaanWhere stories live. Discover now