Bab 6 - Abang Sheikh

722 45 2
                                    

"Kakak buat apa tu?" Tanya Nazira apabila melihat aku menyelongkar beg pakaian. Dia masuk ke dalam bilikku setelah selesai saja membantu mummy di dapur. Selepas makan malam tadi, cepat-cepat aku naik ke bilik untuk menjalankan misi mencari barang lama.

"Kakak nak cari baju..." Jawabku pendek sambil tangan masih bekerja mengeluarkan semua baju di dalam beg tersebut. Melilau mataku mencari baju yang lawa.

Nazira kerut dahi.

"Baju kakak kan banyak dalam almari tu..." Nazira memandang aku dengan pelik. Matanya terarah pada almari baju aku yang sedikit terbuka.

"Baju kat dalam tu semua T-shirt la dik.."

"Laa... memang itu kan baju yang selalu kakak pakai?"

Terhenti semua kerja aku. Aku garu kepala sambil tersengih malu melihat riak wajah Nazira yang jelas kebingungan. Mesti dia fikir kakak dia dah buang tebiat.

"Kakak nak cari baju lama kakak."

"Baju lama yang kakak simpan tu semua dress kut. Mana ada T-shirt." Ujar Nazira.

Aku gigit bawah bibir. Tabiat yang aku lakukan bila aku resah gelisah. Tak tahu bagaimana nak khabarkan kepada Nazira. Nazira adalah satu-satunya adik aku dan dia muda dua tahun daripada aku. Semua tentang aku, Nazira tahu sebab kami memang tak simpan rahsia. Semua dikongsi bersama termasuklah perihal hati perasaan ni. Tapi tentang hubungan aku dan Rafiqi, aku belum beritahu Nazira lagi.

"Kakak nak cari dress kakak." Ujarku terus-terang.

Nazira jelas terkejut. "Hah? What for? Kakak nak berubah balik ke?"

Soalan Nazira berjaya membuatkan aku kaku seketika. Aku faham apa maksud Nazira. Dulu, aku tak adalah berpakaian ala-ala tamboy seperti sekarang. Boleh katakan aku tahu berfesyen dan memperagakan pakaian yang lawa-lawa persis seorang Fashionista. Namun, semuanya berubah bila aku dikecewakan oleh seseorang. Aku berubah seratus peratus. Tiada lagi dress terpasang di badan aku, tiada lagi mekap terhias di wajah aku. Tiada lagi kasut bertumit tinggi tersarung di kaki. Dan tiada lagi perangai perempuan aku. Semuanya lenyap sekelip mata.

Rasa sakit di hati ini usah dicakaplah. Sehingga kini masih berdarah. Masih teringat bagaimana hidup aku dihancurkan oleh seseorang yang digelar lelaki. Aku bencikan dia.

Sebab itulah aku memilih untuk berubah. Kasar dan berpakaian umpama lelaki. Biarlah apa orang kata asalkan tak ada lelaki yang berani dekat dengan aku. Aku dah serik untuk bercinta lagi. Tidak mahu membuka hati untuk mana-mana lelaki diluar sana.

Tapi akhirnya tersangkut juga pada Mr. sheikh itu. Aku tak sangka pula Rafiqi mahukan aku. Terima aku seadanya. Katanya jatuh cinta sebab perangai aku yang kasar dan brutal.

Namun ada rasa takut sedikit jika Rafiqi mengetahu perangai sebenar aku. Adakah lelaki itu masih mencintai aku?

Hari tiap hari aku makin perasan akan perubahan sikap aku sejak bercinta dengan Rafiqi. Sedikit masa saja lagi, Nayla yang dahulu akan muncul kembali.

Aku senyum kepada Nazira yang masih setia menanti jawapanku.

"Tak adalah nak berubah balik. Cuma, rasa nak pakai aje untuk esok."

"Kakak nak ke mana esok? Siap nak pakai dress bagai." Soal Nazira separuh mengusik.

Aku tersengih malu dengan usikkan Nazira.

"Kakak nak keluar dating esok." Aku berterus terang lagi. Aku tahu mesti Nazira terkejut. Buktinya, budak yang duduk di atas katil aku tu tengah melopong sambil mata membulat memandang aku. Terkejut pastinya.

#heartstealerWhere stories live. Discover now