BUKA PINTU INI!

27 3 0
                                    

Siang – Kawasan Sekolah

Malik dari belakang berlari memaut bahu Adam. Di belakangnya kelihatan Maya dan Yasmin.

       "Adam jom hari ni, kita main bowling. Yasmin kata, dia jumpa kafe baru dekat kawasan perumahan kita." Ajak Malik. Tangannya masih memaut bahu Adam.

       "Maaf. Aku tak dapat ikut." Kata Adam, sebelum berjalan laju meninggalkan rakan-rakannya hairan.

Lima minit kemudian, datang yusuf.

       "Mana Adam?" Tanya Yusuf, melihat rakan-rakannya muram.

       "Macam biasalah." Kata Yasmin, kemudian menapak beberapa langkah ke hadapan, diikuti Malik dan Maya. Yusuf sekadar mengeluh perlahan.

Mereka berempat, berjalan bersama seperti hari-hari yang biasa.

Hanya mereka, tanpa Adam.


Siang – Ruang Peribadi.

Tamat sahaja waktu persekolahan, Orked berlari menuju ke ruang peribadi. Harinya? Sama sahaja. Tiada apa yang berubah. Cuma kini, Adam tidak lagi mengambilnya di hadapan sekolah.

       Tap! Tap! Tap! – Orked berlari menaiki tangga di lorong kecil itu. Nafasnya mengah.

Tiba sahaja di ruang peribadi, dia sudah melihat Adam duduk di pancuran air dengan papan catur. Dia bermain sendiri.

Sudah hampir dua minggu, ruang ini dikongsi. Mereka banyak menghabiskan masa sendiri tanpa cuba menganggu peribadi masing-masing. Orked seperti biasa, dia akan leka melukis dan menulis. Manakala, Adam sesekali akan melakukan kerja sekolahnya, bermain catur atau video game. Semuanya dilakukan sendiri.

Orked terus-terusan memerhati lelaki yang duduk bertentangan dengannya. Matanya jatuh pada balutan di pergelangan tangan Adam dan jari-jarinya yang memerah dan luka. Hampir setiap hari, ada sahaja luka atau lebam yang bertambah di badan lelaki itu. Adakah dia bergaduh? Tidak pula, Orked tanya. Kerana, dia merasakan Adam dan dirinya, belum cukup rapat untuk berkongsi cerita atau masalah. Mereka sekadar berkongsi ruang sahaja.

Tanpa sedar, tangan Orked bergerak lembut melakar sisi wajah Adam. Adam memandangnya. Sedar, yang dia terlalu leka memandang dan melukis wajah lelaki itu, Orked dengan laju mengalihkan pandangan.

       'Aduh! Apa yang aku buat ni?' – dia memandang lukisan wajah Adam yang dilakar. Kertas dironyok. Orked mengeluh lembut.

Ruang ini, ruang mereka. Tetapi, entah kenapa, seperti ada pintu yang memisahkan mereka untuk memasuki ruang peribadi masing-masing. Pintu yang menjadi penanda bahawa, ini adalah ruang 'Aku'.

Orked mendekati Adam perlahan. Dia duduk di pancuran air, bersebelahan Adam. Dia melihat Adam bermain catur, lukisannya ditinggalkan di pondok.

       "Seronok ke?" Tanya Orked, sambil memandang papan dan buah catur.

       "Nak cuba?" Soal Adam kembali.

Orked sekadar menggeleng. Dia masih terus melihat Adam mengerakkan buah catur. Sekali lagi, matanya jatuh pada jari-jari Adam yang memerah dan luka, seperti dipijak.

       'Teruk' – detik hati Orked

Adam menyorokkan jari-jarinya dengan berhenti bermain catur. Orked sekadar diam.

Setelah puas menghabiskan masa sendiri di ruang peribadi, Adam dan Orked memutuskan untuk pulang. Mereka berborak di sepanjang jalan, sewaktu menuruni anak tangga. Tiba di tangga terakhir, mereka membawa haluan sendiri.

RUANG PERIBADIWhere stories live. Discover now