RUANG SUNYI

16 1 0
                                    

Siang – Ruang Peribadi

Orked memandang lama tangga di lorong kecil itu. Tatapannya kosong. Yang kedengaran hanya desah nafasnya berhembus lembut. Dia masih ragu-ragu untuk menapak dan mendekat ruangan itu. Dia terasa asing.

Angin menderu lembut.

Orked memalingkan badannya. Dia melangkah pergi, meninggalkan ruangan asing itu.

       'Itu bukan ruang peribadinya. Adam bukan temannya lagi.' – Detik Orked.

Dia semakin jauh dan semakin menjauh.


Waktu sama – Ruang Peribadi

Adam duduk sendiri di pondok. Sesekali, dia menjeling jam di tangan.

       'Di mana Orked.' – Detik Adam.

Kerja yang mahu dilakukan tergendala, memikirkan gadis itu yang tidak hadir dalam ruangan ini. Panggilan dan pesanannya tidak dibalas.

       'Patutkah dia pergi ke rumah gadis itu?' – Fikirnya.

Tetapi dari mana, dia mahu mendapatkan alamat Orked. Kawan? Adam tidak tahu, kawan yang mana harus dia tanya untuk dapatkan alamat gadis itu.

Akhirnya, Adam memutuskan untuk menunggu gadis itu sendiri. Siang berganjak malam. Ruang peribadi semakin sunyi. Gelap. Tetapi kali ini, ia sunyi lain dari kebiasaan.

       12.50 malam

Haruskan dia menunggu? Atau pulang? Mungkin esok, gadis itu akan tiba membawa harapan seperti kebiasaan. Adam mengemas barangnya, kemudian melangkah perlahan meninggalkan ruangan itu.


Malam – Rumah Orked

Seleranya mati. Apa yang terhidang di hadapannya, lansung tidak membangkitkan selera.

       "Kenapa termenung je Orked?" Soal Mama.

Papa sekadar memandang. Hairan juga, dia melihat anaknya begitu. Walaupun, dia tahu Orked bukanlah sejenis yang banyak bercakap. Tetapi, dia dapat rasakan ada yang menganggu anak perempuannya.

       "Putus cinta tu." Gurau Rose.

Mama sekadar tersenyum, manakala Papa masih memandang Orked. Wajah gadis itu menunduk, lansung tidak diangkat. Kemudian dengan perlahan dia berkata

       "Papa, Orked nak pindah." Katanya.

Semua yang berada di meja makan memandangnya sepi.

       "Orked, bergaduh dengan kawan tu perkara biasa." Kata Mama cuba memujuk.

Wajah gadis itu diangkat. Dia memperlihatkan air mata yang jatuh tidak dapat ditahan.

       "Orked nak pindah Pa. Orked nak pindah." Katanya dengan rayuan dan esakkan. Dia malu, dia terdesak, jiwanya retak.

Dia sudah membuka pintu ruang peribadinya, untuk Adam duduk. Tetapi, mengapa? Mengapa, di akhirnya dia yang terluka? Dia cuba belajar untuk berhubung dengan makhluk yang bernama manusia. Tetapi mengapa? Di akhirnya, dia yang dikhianati?

Orked merintih di meja makan. Semua yang berada di situ terdiam. Mereka memandangnya dengan sayu.

       'Ya, mereka pasti Orked sudah buat yang terbaik. Mungkin dia benar-benar terluka' – Detik mereka, yang lebih memahami gadis itu.

Makan malam pada hari itu, hanya ditemani dengan rintihan dan esakkan Orked.


Siang – Sekolah Orked

Pelajar perempuan berpusu-pusu keluar dari pagar sekolah. Sesekali, Adam menjengah melihat kelibat yag dicari. Satu persatu pelajar beransur pulang. Sekolah sudah hampir kosong. Tetapi, Orked masih tidak hadir.

       'Apa yang berlaku pada gadis itu?' – hatinya mula dihurung bimbang.

Dua jam sudah berlalu. Adam mengambil keputusan untuk berlari ke ruang peribadi.

Setibanya di sana, Adam kelelahan. Tetapi, ruang itu tetap kosong dan sunyi.

Dia berdiri sendiri. 'Di mana, gadis itu?' – Adam sekali lagi bertanya.

       Tik! Tik! Tik! – rintik hujan mula hadir.

Lebat dan semakin lebat. Tetapi, Adam tetap berdiri. Tanpa dia sedar, badannya sudah basah ditimpa hujan.

       'Di mana, gadis itu?' – soalan itu diulang ibarat satu doa.

Waktu terus berlalu dan Adam tetap menunggu.


Sebulan kemudian

Siang – Sekolah Adam

Keadaan kelas riuh dengan gelak tawa dan borak rakan-rakan sekelas. Adam tiba. Tanpa menyapa, dia terus mengambil tempatnya. Tanpa dia sedar, kelas menjadi sunyi. Semua yang berada di situ memandang Adam terkejut.

       "Siapa yang pukul kau?!" Terpa Maya ke arah meja Adam. Suara gadis itu bergetar, wajahnya berkerut, kelopak matanya mula bertakung.

Kesan luka, lebam, melecur semuanya semakin teruk. Bukan seperti kebiasaan yang pernah dia lihat.

       "Adam jawab!" Jerkah Maya. Kesabarannya sudah mencapai tahap. Tetapi, Adam masih tetap membisu. Yasmin dan Malik mula memegang gadis itu.

Tanpa bicara, Adam meletakkan kepalanya di meja. Dia melelapkan diri.

       'Dia terlalu penat. Malam semalam, terasa panjang.' – detik hatinya.

Dada Maya berombak kasar. Kenapa? Lelaki itu, sangat sukar dia fahami. Adam tidak pernah memberi ruang untuk rakan-rakannya fahami dan alami apa yang berlaku dalam hidupnya. Dia terus-terusan mengunci ruang peribadinya.

Nafasnya dihela kasar. Sebelum bergerak meninggalkan lelaki itu.


Siang – Ruang Peribadi

       'Adam!' – suara Orked menyapa, membelah sunyi.

Adam masih memejamkan matanya. Dia membawa dirinya jauh, ke dalam bayangan sewaktu Orked masih hadir dalam ruangan ini. Tetapi kemudian, apabila dia membuka mata, dia sedar bahawa dia hanya sendiri.

Adam tersenyum kecil.

Sejak kebelakang ini, tubuh, jiwa dan fikirannya lemah. Dia terasa mahu berehat panjang. Jika dulu, dia merasakan ruang peribadi adalah syurganya. Tetapi kini :

       Rumah dan ruang ini, adalah neraka.

Kedua-duanya menyeksakan. Nafas sekali lagi, dihela perlahan. Dia mendongak. Ingatannya terbawa pada memori gadis itu.

Dia dan Orked, sama. Tiada beza.

Keduanya-duanya sunyi. Dan kedua-duanya mengisi kesunyian.

Tanpa dia sedar, air matanya tumpah. Jiwanya kosong.

Dia masih mahu tetap berada di ruang itu. Untuk kali terakhir.

Seperti hari-hari yang biasa, waktu bergerak laju meninggalkan dia keseorangan.

RUANG PERIBADIWhere stories live. Discover now