TUK! TUK! TUK!

27 2 2
                                    

Hari Minggu

Orked mencapai begnya. Dia menuruni tangga dengan laju. Dengan pantas, dia mencapai kasut di rak. Kasut dipakai.

       "Nak pergi mana, tu Orked?" Laung Mama dari dapur.

       "Jumpa kawan." Tipunya.

Belum sempat Mama memesan, Orked sudah laju berlari keluar dari rumah.

       'Dah kenapa, budak ini?' – detik hati Mama.

Orked berlari. Hari ini, dia mahu menghabiskan masanya seharian di ruang peribadi. Sudah beberapa hari, aktivitinya terganggu kerana lelaki bernama Adam.

Semenjak dari hari itu, Adam seringkali menunggunya di hadapan sekolah untuk pulang bersama. Sedangkan, dia sama sekali tidak mengenali lelaki itu. Lelaki itu, terlalu banyak cakap dan agak mengjengkelkan. Tambahan pula, setiap kali Adam berjalan dengannya, Orked dapat rasakan pelajar-pelajar perempuan sekolahnya, kerap kali memandang Orked dengan aneh. Dia bencikan pandangan itu.

Apatah lagi, Orked dimaklumkan tentang status Adam yang sangat berpengaruh. Ini menambahkan lagi, rasa tidak selesa Orked terhadap Adam. Adam dikatakan sebagai seorang pelajar yang sangat berpengaruh di sekolahnya, mahupun sekolah Orked. Pelajar yang aktif dalam sukan, kelab catur, bijak dalam pelajaran dan datang dari latar keluarga yang hebat – ibunya seorang doktor, manakala ayahnya ahli perniagaan ternama. Orked faham, mengapa dia seringkali menjadi tumpuan rakan-rakan di sekolahnya.

'Mana mungkin, Adam mahu berkawan dengannya.' – itu yang seringkali terdetik di fikiran Orked.

Sehingga dia merasakan, setiap kali Adam mendekat, dia seolah-olah dipermainkan oleh lelaki itu.

       'Ah! Dia bencikan Adam!' – detik hatinya marah.

Orked melangkah laju ke ruang peribadi. Dia tidak sabar, mahu menghabiskan masa dengan dirinya.

Tap! Tap! Tap! – langkah diatur.


Siang – Ruang Peribadi

Orked terkejut. Dia benar-benar terkejut. Sudah beberapa hari dia meninggalkan tempat ini, tetapi keadaannya tetap sama.

Kemas. Bersih.

Tidak! Bila difikirkan semula, apa yang lebih pelik adalah sewaktu kali pertama dia menjejakkan kaki ke ruang ini. Ruang ini, bersih dan terjaga seperti yang dilihat sekarang. Seperti ada yang menjaga.

       'Mustahil! Ini merupakan taman terbiar. Mustahil ada yang menjaga.' – fikir Orked.

Seperti biasa, Orked mengambil tempat di pondok. Dia memulakan kerjanya. Tanpa sedar dia terleka. Sesekali dia melukis, sesekali dia sambung menulis.

Tiba-tiba, dia merasakan balingan batu kecil tepat terkena kepalanya. Orked berpaling.

Kosong. Sunyi.

Orked kembali menyambung kerjanya. Dia tidak mengendahkan kejadian itu. Berkali-kali dia ulang dalam hatinya :

       'Tak ada apa-apa. Tak ada apa-apa'

Kosentrasinya sedikit terganggu.

       Puk! – sekali lagi, batu dibaling.

Bulu romanya meremang. Dia dapat rasakan sesuatu, sesuatu yang memerhati. Orked berpaling perlahan. Dia melihat kiri... kanan... depan... belakang... bawah...dan atas...

       "AHH!!" Orked menjerit kuat.

Dengan spontan, dia menapak beberapa langkah ke belakang. Kedengaran suara Adam gelak membingit di telinganya. Sedar siapa yang berada di atas pokok, Orked melaung kuat.

       "HEI!" Dia benar-benar marah.

Adam masih ketawa terbahak-bahak. Wajah lelaki itu memerah, air matanya jatuh kerana terlalu lucu. Apabila reda, dia melompat turun, betul-betul tepat di hadapan Orked.

       "Apa awak buat dekat sini? Kenapa awak dekat sini? Apa awak nak dari saya? Siapa awak?!" Tanpa amaran, Orked menghamburkan marahnya. Lelaki itu dipandang benci. Wajah tampannya, seperti mahu ditampar oleh Orked.

       "Hei, hei relaks..." Kata Adam lembut.

       "Saya tak rasa awak layak marah, sebab saya yang sepatutnya tanya, awak buat apa dekat sini?" Kata Adam selamba.

Orked hilang kata-kata. Berani sungguh! Sudah terbukti, lelaki ini yang mengintipnya!

       "INI . RUANG . PERIBADI . SAYA!" Kata Orked sambil menolak dada bidang lelaki itu berkali-kali dengan jari telunjuknya.

Adam menangkap pergelangan tangan Orked. Wajah gadis itu, dipandang serius. Wajahnya di dekatkan pada Orked. Orked tidak berpaling, dia membalas pandangan Adam dengan rasa marah dan benci.

       "Ini ruang saya." Kata Adam ringkas.

Wajahnya kembali dijarakkan.

       "Saya duduk kawasan ni, hampir tujuh belas tahun. Saya jumpa ruang ini, sudah hampir enam tahun. Dan awak baru datang ke sini tak sampai setahun bukan? Jadi, ini adalah ruang saya." Kata Adam.

Orked tergamam. Tidak mungkin! Jadi selama ini, Adamlah yang menjaga ruang ini? Orked sekali lagi, tergamam.

       "Tapi, saya tak kisah untuk kita berkongsi ruang." Kata Adam dengan senyuman manis di wajah.

       "Saya tak perlukan ruang ini. Dan saya tak mahu berkongsi." Kata Orked tegas.

Adam memandangnya, masih tersenyum. Agak lama mereka diam.

       "Jadi, silakan pergi." Kata Adam memecah sunyi. Tangannya didepakan, seperti memberi laluan buat Orked beredar.

Orked mengambil begnya dan mengemas barang-barangnya. Dia marah. Benar-benar marah. Tetapi, ini bukanlah ruangnya lagi. Dia melangkah kasar, mahu meninggalkan Adam. Tetapi, hatinya terasa berat. Ruang ini... Ruang ini...

       "Baiklah, kita kongsi." Kata Orked. Adam tersenyum. Orked berhenti melangkah. Badannya dipaling menghadap Adam. Lelaki itu, masih berdiri tersenyum berpeluk tubuh. Seperti menanti ayat seterusnya.

       "Tapi, ia akan menjadi rahsia kita berdua." Kata Orked.

       "Selama enam tahun, tiada siapa pernah tahu." Balas Adam. Tangannya dihulur, sebagai tanda janji. Adam tersenyum manis. Salamnya disambut Orked, kuat.

Angin lembut menyapa, dua tubuh yang kini sedang menjalin hubungan sebagai penghuni ruang peribadi.

       Tuk! Tuk! Tuk! – tanpa sedar, pintu hati mereka diketuk perlahan.

RUANG PERIBADIWhere stories live. Discover now