Bab 27

3.4K 451 81
                                    

RAIHANAH membawa dirinya keluar dari wad dewasa itu. Dah tak sanggup rasanya nak terus berlama-lama di dalam satu bilik dengan Jazlan.

Meskipun rasa rindu, tapi saat melihatkan keadaan Jazlan, rindu itu hilang. Lelaki tua itu tidak habis-habis menggila, meronta-ronta ganas minta dilepaskan. Deraman suara garau itu benar-benar menakutkan hati Raihanah.

Gadis itu merasakan yang berada di dalam bilik hospital itu bukan lagi ayah yang dia kenal. Entah-entah, memang lelaki tua itu bukan ayahnya.

Raihanah membuka pintu kecemasan lalu anak tangga dituruni perlahan-lahan. Dia kini hanyut dengan dunianya sendiri walaupun kakinya terus melangkah.

Hampir saja dia ingin tersadung di anak tangga namun cepat-cepat palang besi di sepanjang tangga kecemasan hospital dipegang. Setelah itu, dia meneruskan perjalanannya.

Dia terus menapak hingga tiba di lobi. Tak perasan tiada lagi anak tangga yang perlu dia turuni. Raihanah membuka pintu dan gadis itu biarkan kakinya membawanya ke mana saja. Tanpa arah tuju. Tanpa destinasi yang pasti.

Apa yang Raihanah tahu adalah apa yang dalam fikirannya saja. Air matanya sudah tidak mampu mengalir lagi. Penat untuk biarkan matanya bengkak. Lelah untuk terus hanyut dirundung duka. Letih rasanya untuk membenarkan diri ini menjadi lemah.

"Encik Jazlan perlukan rawatan lanjut di hospital sakit jiwa. Ni hospital biasa, Cik Raihanah. Hanya hospital khas yang merawat pesakit seperti Encik Jazlan saja yang mampu sembuhkan dia. In Syaa Allah, apa-apa pun, pihak kami sentiasa berikan yang terbaik. Jangan risau, Encik Jazlan ada harapan untuk sembuh. Dia cuma perlukan rawatan dari yang lebih pakar. Saya harap cik faham ya?"

Suara lembut daripada Doktor Anita tadi kembali terngiang-ngiang di lubang telinga, bergema di kepala seperti radio rosak yang tidak dijumpai punat 'off'nya.

Sudah beberapa hari dia bermalam di hospital, dengan harapan Jazlan akan menunjukkan perubahan positif tapi tiada guna menyimpan harap.

Lelaki itu takkan sembuh dalam masa seminggu dua. Ia mungkin akan berlarutan hingga ke bulan atau mungkin juga tahun.

Tanpa sedar, dia kini kembali di ruang tangga kecemasan. Setelah merasakan lutut kakinya sudah terlalu penat, Raihanah mencangkung di lantai. Perbualan ringkasnya bersama Doktor Anita kembali terbayang di mata batin.

"Kenapa dengan ayah saya, doktor? Kenapa dia jadi sampai macam tu?" soal Raihanah, resah sambil badannya mendekat ke meja doktor yang memisahkan mereka berdua.

Doktor Anita terdiam lama. Sedang mencari ayat yang sesuai untuk dilontarkan kepada Raihanah. Rasanya, dia sudah pun merangka mukadimah yang akan dimulakan tapi kerana emosi, dia jadi kelu.

Sesuatu yang berdefinisikan profesionalisme tak mampu diguna pakai tika ini.

Wanita berusia lewat 30-an itu berdehem beberapa kali sebelum menghela nafas pendek. Tangan dibawa ke meja lalu dicantumkannya rapat.

"Cik Raihanah tahukan yang Encik Jazlan dah lama terkurung dalam bilik bawah tanah tukan?" duga Doktor Anita, lembut.

Gadis itu pantas mengangguk. Tidak menjawab dalam bentuk lisan.

"Dua tahun lebih Encik Jazlan di bawah tu. Tanpa sumber matahari. Tanpa makanan atau minuman. Tanpa apa-apa. Hanya beberapa orang yang telah menjadi tawanan saja duduk dalam tu. Itu pun kebanyakannya mati kebuluran. Hanya Encik Jazlan dan seorang tawanan baru yang hidup. Cik Raihanah tak rasa pelik macam mana Encik Jazlan boleh hidup dengan keadaan macam tu? Bertahun lamanya?" Sekali lagi, Doktor Anita cuba berteka-teki dengan gadis itu supaya gadis itu berfikir dahulu.

Lelaki Bertopeng Putih (HIATUS)Where stories live. Discover now