KERETA Mercedes Benz berwarna biru firus berhenti di hadapan sebuah rumah agam yang tersergam indah. Pintu kereta di bahagian penumpang terbuka. Seorang wanita elegan menapak keluar dari perut kereta dengan penuh gaya. Angin sepoi-sepoi bahasa di kawasan bukit itu meniup lembut tudung yang dipakai oleh wanita itu.
Wanita yang berusia dalam lingkungan 50-an itu membetulkan letak duduk cermin mata hitamnya lalu dengan langkah yang berkeyakinan, wanita itu berjalan ke arah pintu utama rumah agam yang sudah terbuka luas. Kasut tumit setinggi dua inci itu berkeletak-keletuk mengetuk lantai.
Seorang lelaki yang lengkap bersut hitam tersenyum manis ke arah wanita itu lalu dengan suara yang lembut, dia mempersilakan wanita bekerjaya itu masuk ke dalam rumah.
"Saya Adrean. Jemput masuk, Puan Sri," ucap Adrean sambil menundukkan sedikit kepalanya. Tangan kanannya diletak ke dada manakala tangan kiri diunjurkan ke dalam rumah.
"Hmm." Hanya itu jawapan balas Puan Sri Naina. Dia hanya menjeling sekilas pembantu peribadi kepada pemilik rumah agam ini. Memang adat di dalam rumah ini tidak perlu membuka kasut jadi Puan Sri Naina terus saja berjalan masuk ke dalam.
Di dalam, seorang pembantu rumah berpakaian seragam hitam dan merah menegur lembut, "Puan Sri, dipersilakan duduk. Tuan Besar masih di dalam bilik untuk bersiap. Harap Puan Sri dapat menunggu sebentar ya." Penuh hemah, gadis yang manis bersanggul itu berkata dengan segaris senyum mesra. Kedua-dua tangannya diletak elok ke perutnya.
Dalam hati, Puan Sri Naina sempat memuji penampilan pekerja di dalam rumah agam ini yang seperti pekerja di hotel bertaraf lima bintang. Namun cepat saja wanita itu menghalau rasa kagum itu. Dia tidak boleh terbuai dengan layanan mereka padanya. Ini semua hanya dusta untuk menutup matanya tentang penipuan mereka!
"Tengah bersiap lagi? Saya ni tetamu dia. Dia perlu hormatkan saya sebagai tetamu. Kenapa saya yang perlu tunggu dia? Kalau dia tu tuan besar dalam rumah ni, sepatutnya... dia tahu adab dia untuk hormatkan orang yang lagi besar dari dia!" Lancang sekali mulut Puan Sri Naina menyoal. Sengaja dia menguatkan suaranya agar penghuni rumah agam itu mendengar sindirannya.
Gadis pembantu rumah itu hanya menundukkan kepalanya. Dengan gaya yang sangat tenang, dia membalas, "Maafkan saya, Puan Sri. Puan Sri boleh duduk di sofa sementara menunggu Tuan Besar. Saya harap Puan Sri boleh bersabar."
Puan Sri Naina memberikan jelingan tajam pada gadis bersanggul itu. "Sabar, sabar. Eh, saya ni penat tau! Ada banyak kerja lain yang saya nak selesaikan dari bazirkan masa dan tenaga saya dengan menunggu tua bangka tu." Pedas kata-kata yang keluar dari mulut wanita elegan itu. Bibirnya meleret senyum sinis.
Pembantu rumah itu akhirnya hanya mampu senyap. Mungkin menyangka dengan cara membisukan dirinya adalah pilihan terbaik untuk mendiamkan mulut lancang wanita bergelar Puan Sri itu.
"Wah, kata-kata kau makin lama makin panas ya, Naina?" Tiba-tiba ada suara tua menegur dari atas tangga. Ketawa si tua itu meletus, geli hati dengan kata-kata wanita itu meskipun jelas sekali Puan Sri Naina sedang mengutuknya.
Puan Sri Naina terkaku. Dia menelan liur mendengar suara itu garau itu. Bulu romanya tiba-tiba saja meremang sendiri. Dirinya yang selama ini cuba menepis jauh perasaan gerun yang datang akhirnya tewas. Mukanya terus saja berubah pucat pabila terdengarkan suara itu.
Namun, Puan Sri Naina cuba berlagak tenang. Riak mukanya dikawal sehabis baik. Dia berpaling ke arah Tuan Besar Malik yang sedang berjalan menuju ke sofa dengan tongkat berwarna emas di tangan. Badan itu masih tegap dan kelihatan sasa meskipun sudah semakin berusia. Wajah itu sudah hilang tegasnya namun mata kuyu itu masih tersimpan bengis.
Lebih-lebih lagi apabila mata berwarna biru kehijauan itu galak merenungnya yang berdiri kaku di ruang tamu. Sebuah senyuman lebar dileretkan.
Setelah Tuan Besar Malik sudah selesa duduk di tempatnya, dia bersuara, "Kau apa khabar, Naina? Sihat?" soal Tuan Besar Malik, lembut.
YOU ARE READING
Lelaki Bertopeng Putih (HIATUS)
Acción[KARYA KEDUA - REWRITE VERSION AVAILABLE] Tajuk : Lelaki Bertopeng Putih Previously known as : The After Story Genre : Romance Action Status : Hiatus Maklumat tambahan : Sequel Hacker 426 Cover by : @azleyanaaa ×××× HARIES NAIM. D...