TUALA disangkut di atas kepalanya yang masih basah. Tangan Haries mencapai telefon pintar dari meja kerjanya lalu peti mesej dibuka. Daripada Raihanah.
Assalamualaikum, Haries. Maaf ganggu. Kalau tak menyusahkan awak, boleh tak awak beritahu Aunty Naina yang saya duduk rumah awak sekarang ni? Saya takut aunty terkejut kalau tahu daripada saya.
Haries menggosok rambutnya yang basah dengan tuala. Macam mana dia boleh terlupa perkara penting sebegini? Nasib baiklah Raihanah seorang yang peka dengan keadaan sekarang.
Andaikan saja Puan Sri Naina tahu perkara ini bukan dari mulutnya, memang habislah dia! Boleh cair tahi telinganya mendengar bebelan panjang daripada mamanya itu. Silap-silap, kena tarik telinga sekali!
Okey. Terima kasih sebab ingatkan. Nasib baik awak beritahu.
Baru saja ibu jarinya ingin menekan butang 'send', terlintas rasa ragu-ragu. Perlakuannya terhenti seketika. Haries berfikir sejenak sambil membaca kembali ayat yang ditaipnya.
"Hish, macam terlebih baik pula ayat aku," getus Haries lalu pantas memadam kembali dua ayat terakhir daripada mesejnya tadi. Setelah berpuas hati, barulah dia menghantar mesej ringkas itu.
Lima saat kemudian, balasan daripada Raihanah terlayar di skrin telefon pintarnya.
Terima kasih. Maaf sebab selalu susahkan awak.
Lelaki itu menggaru-garu keningnya. Sakit pula kepalanya apabila melihatkan mesej Raihanah yang kedengaran ikhlas dan jujur itu.
Bukannya dia sakit kepala kerana tak suka, tapi sebenarnya lebih kepada rasa bersalah yang telah lama bersarang dalam hati lelakinya.
Gadis itu terlalu baik walau sudah bermacam-macam perkara kejam dia buat terhadap Raihanah.
Haries melihat mesej yang ditaipnya tadi. Ringkas, kedengaran acuh tak acuh saja. Kalau perempuan biasa, mesti dah sakit jiwa melayan perangainya tapi Raihanah masih berlagak tiada apa-apa. Masih mahu berbaik dengannya meski berkali-kali ditolak.
Sebab memang dia bukan gadis biasa, Haries Naim. Hati kecilnya berdetik.
Ya, sebab dia bukan gadis biasa. Haries terpaksa mengakuinya.
Lelaki itu tidak mahu terus hanyut dengan fikiran terhadap Raihanah semata. Dia perlu memberitahu Puan Sri Naina segera tentang keberadaan Raihanah di rumah sewanya.
Percaya atau tidak, tuan rumah itu merupakan sahabatnya sendiri, Farhan. Disebabkan itulah rumah itu telah dibina bilik rahsia di bawah tanah. Farhan jugalah yang membenarkan Haries menyewa di rumah itu.
Haries mencari nombor Puan Sri Naina di dalam senarai panggilannya lalu ia ditekan. Beberapa saat kemudian, panggilannya berjawab.
"Assalamualaikum, ma."
"Waalaikumussalam. Kamu ni kenapa malas sangat ni?" sembur Puan Sri Naina usai menjawab salam.
Haries tertawa kecil mendengar suara tegas itu memerlinya dari hujung talian. Lelaki itu melabuhkan punggungnya di kerusi meja kerjanya.
"Ala, ma. Dah ada teknologi. Lagipun, Haries sibuklah nak turun bawah jumpa mama." Alasan diberi bersama sisa ketawanya.
"Allahu Akbar, kamu ni tau! Sibuk sangat sampai tak sempat turun jenguk mama? Agaknya, kalau kamu duduk jauh nanti, bila mama dah masuk kubur, barulah terhegeh-hegeh datang rumahkan?" sindir Puan Sri Naina.
Tak percaya dengan alasan remeh yang diberikan satu-satunya anak lelakinya itu. Walhal, mereka berada di bawah satu bumbung. Bukannya kena rentas benua pun hendak bercakap dengannya.
![](https://img.wattpad.com/cover/190583457-288-k232348.jpg)
YOU ARE READING
Lelaki Bertopeng Putih (HIATUS)
Acción[KARYA KEDUA - REWRITE VERSION AVAILABLE] Tajuk : Lelaki Bertopeng Putih Previously known as : The After Story Genre : Romance Action Status : Hiatus Maklumat tambahan : Sequel Hacker 426 Cover by : @azleyanaaa ×××× HARIES NAIM. D...