Bab 28

3.1K 435 74
                                    

PINTU bilik papa dan mamanya diketuk bertalu-talu bersama mulutnya bising memanggil Tan Sri Hazman dan Puan Sri Naina yang berada di dalam bilik tidur mereka.

"Mama! Mama!! Bukalah pintu!" laung Haries, kedengaran resah. Tangannya tidak berputus asa mengetuk-ngetuk pintu kayu itu. Sehinggakan pintu daripada kayu jati itu bergegar ditumbuk Haries.

Puan Sri Naina yang baru saja lepas berbual-bual dengan suaminya, tersentak. Kelam-kabut wanita itu berlari ke muka pintu saat mendengar suara Haries yang menjerit-jerit seolah-olah kiamat sudah tiba.

"Ya, ya. Mama datang ni. Mama datang!"

Manakala Tan Sri Hazman masih tenang di atas kerusi sedang membaca buku perniagaannya. Dibiarkan saja ketukan daripada anaknya itu. Bukan Tan Sri Hazman tak tahu, Haries sengaja.

Pintu terkuak lebar. Wajah gelisah Haries menjadi santapan mata Puan Sri Naina sebelum tiba-tiba saja tubuhnya dipeluk erat oleh anak lelaki keduanya itu.

Puan Sri Naina terpinga-pinga sebentar. Tak faham punca Haries tiba-tiba mendakapnya. Namun dia biarkan saja apabila kepala Haries mendarat di bahunya.

Suara itu bergetar halus, seperti sedang menahan esakan yang bakal keluar dari bibirnya.

"Mama, saya..."

Bicara anak lelakinya itu tersekat. Dada Puan Sri Naina semakin diburu resah melihatkan perlakuan ganjil anaknya ini. Tapi tidak pula wanita itu bersuara sebaliknya hanya tangan tua itu yang setia menepuk-nepuk belakang tubuh Haries. Ingin memujuk.

Haries menggigit bibir. Mata dipejam rapat sebelum dia kembali menyambung kata,

"Mama, saya tahu saya berdosa buat mama macam ni. Saya tahu saya banyak sangat susahkan mama selama ni... Tapi," Suara garau itu tenggelam dalam kesedihan.

Nafas ditarik dalam-dalam sebelum dihembus lemah. Rasa tak berdaya tubuhnya saat ini.

Esakan kecil mulai kedengaran, meruntun sekeping hati Puan Sri Naina yang bergelar ibu. Pedih hatinya mendengar rintihan kecil Haries yang jarang sekali menunjukkan perasaan sedihnya. Namun petang ini perangai Haries benar-benar berubah.

"Tapi, ma... Saya harap mama dapat tunaikan permintaan terakhir saya."

Puan Sri Naina memeluk erat tubuh tinggi lampai Haries seraya menyoal lembut,

"Haries cakap apa ni, sayang? Nak minta apa?"

"Mama janji untuk tunaikan hajat terakhir saya? Janji?" Haries menagih janji dari wanita itu dengan suara yang mulai serak. Dagunya masih elok di bahu wanita yang paling dia sayang.

Meskipun dia akan beristeri nanti, wanita yang bergelar mama itu akan sentiasa berada di carta tertinggi dalam hidupnya yang singkat ini.

Mendengarkan bait bicara Haries, Puan Sri Naina bertambah keliru. Keliru yang diadun dengan perasaan sebak. Dia tak tahu menahu punca Haries jadi begini tapi dia tak sanggup untuk mendesak anaknya untuk meluahkan perkara yang sebenarnya.

"Mama... Saya,"

Haries tak mampu untuk menghabiskan ayatnya saat esakannya mula terhambur. Sungguh-sungguh dia menangis di bahu si ibu seperti seorang anak kecil yang terjatuh dari buaian.

Puan Sri Naina turut ingin mengalirkan air matanya. Pilu menjentik tangkai hati apabila mendengar suara anak lelakinya meluahkan kesedihan.

Kesedihan yang berpunca daripada siapa dan kenapa?

"Mama, izinkan saya..." Bicara itu terhenti lagi.

"Pinjam gazebo bilik mama?"

Haries meleraikan pelukan dan menatap wajah mamanya yang sudah tercebik kecil. Melihatkan itu, Haries ketawa terbahak-bahak. Geli hatinya kerana berjaya mengenakan wanita tegas itu.

Wah, dia memang boleh menang anugerah pelakon air mata terbaik. Sempat Haries memuji dirinya dalam hati.

Puan Sri Naina terpinga-pinga sebelum tak semena-mena, air mukanya mula menyinga. Perut Haries dipulas kuat sehingga lelaki itu terjengket-jengket sakit.

Dahi itu berkerut menerima cubitan berbisa daripada Puan Sri Naina.

"Ma, sakitlah. Tengok ni, merah dah kulit saya," rungut Haries seraya menyelak sedikit bajunya. Bahagian kulit Haries yang dicubit itu mempunyai kesan merah-merah yang sebesar saiz duit syiling 50 sen.

Memang pedih yang amat!

"Hah, tulah! Nak main-main lagi! Eee... Dia ni! Boleh pula buat drama air mata. Sukakan? Memang suka kenakan mama! Penat je mama sendu depan pintu tadi. Budak bertuah ni! Rasa nak sepak je biar bergolek sampai ke tangga bawah!" bebel Puan Sri Naina lalu perut anak terunanya itu ditumbuk sekali.

Bukan tumbukan manja dalam drama tapi memang tumbukan padu hingga Haries terbongkok-bongkok sendiri. Senak perut!

"Naina," tegur Tan Sri Hazman yang dari tadi sedang membaca. Dia meletakkan bukunya di meja lalu mendekat ke arah isterinya yang sudah memuncung panjang.

Sakit hati kerana dipermainkan bulat-bulat tadi.

Tan Sri Hazman merenung Haries sebelum menggeleng perlahan. Nak marah lebih-lebih, menang Haries jenis suka mengusik. Anak terunanya yang merupakan anak kedua itu memang jarang untuk serius.

Bahu si isteri dipegang lembut. "Dahlah, sayang. Haries gurau je. Awak ni pun, tak perlulah sampai nak tumbuk dia. Kan dia sakit tu," pujuk Tan Sri Hazman sambil menunjuk ke arah tangan Haries yang masih berbalut.

Wanita elegan itu terdiam saat teringatkan kecederaan yang dialami oleh Haries. Lenyap terus marah di hatinya, berganti dengan rasa simpati.

Puan Sri Naina melepaskan keluhan panjang. Mengalah akhirnya. "Yalah, yalah! Ries nak gunakan gazebo mama tu? Duduk jelah. Tapi setengah jam saja. Jangan lama!" pesan pereka fesyen tersohor itu. Meskipun masiy tersisa rasa geram namun dia abaikan.

Bukannya tidak kenal perangai anak keduanya itu. Memang sangat suka bergurau ekstrem sebegitu. Tapi masalahnya, asyik dia saja yang terkena. Suaminya tidak pula termakan umpang Haries tadi.

"Hah, dah... dah! Turun bawah, jom! Layan abang makan." Tubuh kekasih hatinya ditolak dari belakang, memaksa untuk berjalan pergi ke dapur.

"Aik, bukan abang dah makan ke?"

"Abang lapar lagi. Awak masak sedaplah, Naina. Jomlah," desak Tan Sri Hazman seraya menarik tangan isterinya untuk ikutnya bersama.

Akhirnya, Puan Sri Naina melayan saja. Nasib baiklah yang mengajak itu ialah buah hatinya. Jika tidak, memang sama-sama kena tumbuk macam Haries kena tadi.

Haries pula hanya tertawa halus apabila melihat Tan Sri Hazman menoleh seketika dan mengenyit mata ke arahnya.

Dia membalas kenyitan mata papanya dengan mengangkat dua jari ke arah lelaki tua yang kekal supporting dari dulu lagi. Memang Tan Sri Hazman yang sentiasa membelanya jika mamanya mengamuk seperti tadi.

Haries masuk ke dalam bilik. Pintu gelongsor itu ditarik, membenarkan angin sepoi-sepoi bahasa di luar menyerbu ruang bilik itu. Rambut hitamnya terjuntai sedikit ke dahi. Tenang tatkala angin itu menampar lembut pipi.

Tiba-tiba, mata Haries terpandangkan sesuatu di celah helaian buku milik Tan Sri Hazman. Dia mencapai buku itu. Elok saja, sebuah telefon bimbit melurut jatuh ke tangannya.

Haries pantas membuka telefon bimbit si ayah lalu sebuah rakaman video pendek dia sedang berpelukan dengan Puan Sri Naina tadi terpapar di skrin.

Gelak Haries terhambur keluar. Geli hatinya mengenangkan Tan Sri Hazman telah mencuri-curi rakam perlakuan mereka tadi. Perut yang sebu kerana asyik ketawa ditekan. Merah mukanya ketawa melihat video pendek berdurasi lebih kurang seminit itu.

Kepala Haries tergeleng-geleng perlahan. Sah, kenakalannya mewarisi daripada ayahnya sendiri dan bukan siapa-siapa lagi.


Sebab chapter sebelum ni macam sedih sangat, jadi author buatlah chapter ni gembira walaupun mula2 tadi macam sendu sangat Haries ni.

Hihi... Thanks my readers. This is specially for you and only you. Eheks... Nak bodek readers je kerjanya. Bye!

Lelaki Bertopeng Putih (HIATUS)Where stories live. Discover now