SYAKILLA mengorak langkah ke dapur. Rambut panjang paras bahu. Rambut panjangnya dikemaskan. Menutup batang lehernya daripada menjadi tumpuan ibu dan bapa mentuanya.
Suaminya pun satu, nak jadi drakular tapi tak bertempat. Habis lehernya ditanda dengan cop-cop mohor daripada Hazril Irfan. Penuh kesan lebam-lebam di sekitar batang lehernya itu.
"Selamat pagi, mama. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?" tegur Syakilla. Tubuhnya tegak berdiri di sebelah Datin Bahiyyah yang sedang mengacau kuah lodeh di dalam periuk.
Datin Bahiyyah menoleh sekilas ke kiri. "Selamat pagi juga. Tak ada. Mama dah siapkan semua. Tinggal makan saja."
"Kalau macam tu, biar saya tolong mama bancuh air kopi tu, ya?" Tawar Syakilla. Nak ambil hati ibu mentua punya pasal. Pura-pura rajinlah, Kella.
Mengangguk tidak, menggeleng juga tidak. Diperhatikan saja tingkah Syakilla yang sedang membancuh kopi di dalam jag. Teringin juga dia nak merasa air bancuhan Syakilla.
Syakilla meletakkan jag air ke atas meja makan. Dicapai pula empat biji cawan lalu diletakkan ke atas meja makan.
Dato' Imran dan Hazril Irfan beriringan ke ruang makan. Punggung dihenyak ke meja makan. Terus Syakilla menuangkan air kopi bancuhannya ke dalam cawan Dato' Imran dan Hazril Irfan.
Cawan yang dihulurkan oleh Syakilla tidak bersambut. Hazril Irfan menuang air kosong ke dalam cawannya lalu diteguk rakus. Jangan haraplah dia nak minum air hasil bancuhan Syakilla lagi. Serik!
"Abang nanti temankan ayang ambil baju-baju ayang kat rumah Mariam, ya?" ujar Syakilla kepada suaminya. Punggungnya dilabuhkan bersebelahan dengan Hazril Irfan.
"Kau pergi sen..."
"Temankan isteri kamu tu, Hazril. Dia dah jadi isteri kamu. Layan baik-baik," tegur Dato' Imran.
"Are you crazy, pa? Memang taklah Hazril nak temankan dia. Tambah-tambah lagi pergi rumah Mariam. Papa tak faham ke perasaan Mariam?" bentak Hazril Irfan.
"Kalau kamu faham perasaan Mariam, kamu tak akan buat benda bodoh tu. Jangan nak berdebat dengan papa pasal Mariam sedangkan kamu sendiri yang cari penyakit!" Meleking tinggi suara Dato' Imran memarahi anak lelakinya.
Syakilla diam tidak berkutik. Dia sakit hati dengan suaminya. Hazril Irfan sibuk memikirkan tentang perempuan lain sedangkan mereka berdua telah bergelar pasangan suami isteri.
"Sebab dia! Dia yang perangkap Hazril!" Jari telunjuk dituding tepat ke arah Syakilla. Dadanya berombak kencang menahan marah yang semakin membuak-buak kepada isterinya.
"Hazril Irfan!" Dato' Imran menengking.
Hazril Irfan terus terdiam. Permukaan meja ditampar kuat sebelum berlalu meninggalkan meja makan.
"Pergi tengok suami kamu tu," arah Dato' Imran kepada menantunya.
"Baik, papa." Syakilla terus mengekori langkah Haril Irfan sehingga ke bilik tidur. Pintu ditutup rapat.
"Penting sangat ke perasaan Mariam daripada perasaan aku? Siapa isteri kau sekarang? Aku atau Mariam?" soal Syakilla, kasar.
Hazril Irfan berpusing tubuh menghadap isterinya. Kedua-dua belah tangannya diselukkan ke dalam saku seluar.
"Of course!. Dia wanita yang satu-satunya aku cinta. Sampai bila-bila pun aku tak akan cintakan kau," balas Hazril Irfan.
Kejam!
"Tak kisah pun." Syakilla menjelirkan lidahnya. Biarlah Hazril Irfan nampak dia macam tak kisah walhal hatinya dah pecah berderai.
"Lantak kau lah. Macamlah aku suruh kau ambil kisah," balas Hazril Irfan lagi kemudian bahu Syakilla dirempuh.
Syakilla menghantar langkah Hazril Irfan yang ingin keluar bilik itu dengan ekor mata. Terhambur keluar air matanya. Punggung dilabuhkan di birai katil.
"Jangan menangis, Kella. Jangan menangis." Syakilla pantas menyeka air matanya sebelum melangkah keluar dari bilik tidurnya.
HAZRIL Irfan memberhentikan kereta mewahnya di hadapan rumah Mariam. Satu keluhan berat dilepaskan sebaik saja kereta bekas tunangnya tersadai di situ. Dah tentulah Mariam tidak keluar bekerja hari ini.
"Jomlah, temankan aku kemas baju," ajak Syakilla. Lengan suaminya dirangkul kemas.
"Kau nak kemas, kemaslah sendiri. Dah kenapa nak ajak aku?" Hazril Irfan merentap semula lengannya.
"Habis tu, kau nak tunggu dalam kereta?" soal Syakilla.
Hazril Irfan tidak menjawab soalan itu. Hanya Syakilla saja yang dijeling berkali-kali.
Syakilla mencebik. Pintu kereta dibuka. Ditinggalkan Hazril Irfan seorang diri di dalam kereta.
Pintu rumah Mariam diketuk beberapa kali. Tidak lama kemudian, seorang wanita yang lengkap berbaju kurung berdiri di muka pintu. Wajahnya sugul tanpa reaksi.
"Aku dengan suami aku datang nak ambil baju-baju aku. Boleh aku masuk?" soal Syakilla. Perkataan suami sengaja ditekankan.
"Masuklah."
Mariam melorek senyuman kelat. Matanya sembab kerana semalaman menangis. Dia bergerak ke tepi sedikit untuk memberikan laluan kepada Syakilla.
Setengah jam melipat semua pakaiannya kemudian dimasukkan ke dalam beg baju, telinga Syakilla dapat menangkap suara orang sedang berbual. Dia kenal suara itu. Suara suaminya bersama Mariam.
Perasaan cemburu membuak-buak. Konon tak nak masuk tapi masuk juga, gerutunya dalam hati. Sakit hati punya pasal, Syakilla terus memeruk pakaiannya. Malas nak lipat cantik-cantik. Dia perlu bertindak segera sebelum suaminya semakin menggedik dengan Mariam.
"Saya tetap cintakan baby walaupun saya dah kahwin dengan Kella. Nama baby dalam hati saya tak akan pernah terganti," luah Hazril Irfan. Belakang telapak tangan Mariam dikucup lama.
"Kalau betul awak cintakan saya, awak tak akan buat benda tu dengan kawan saya, Hazril. Sepatutnya semalam kita bertunang tapi..." Air mata Mariam mengalir laju membasahi pipinya.
Hazril Irfan serba salah. Tubuh Mariam ditarik ke dalam pelukan.
Syakilla mencuri-curi pandang ke arah mereka berdua. Berombak kencang dadanya melihat adegan itu. Isteri mana yang tidak sedih tatkala suami mereka memeluk wanita lain? Namun, dia tetap mempamerkan riak biasa.
Ehem!
"Lepas rindu ke?" sindir Syakilla.
Cepat-cepat Mariam menjauhkan diri daripada Hazril Irfan. Wajahnya dah membiru. Takut, mungkin?
"Tak... Aku..." Mariam tergagap-gagap.
"Tak apa, tak payah jelaskan. Aku faham." Syakilla tersenyum. Rambutnya diselitkan ke belakang telinga.
"Abang, ayang dah siap kemas. Jom, kita balik. Tadi abang cakap abang tak sabar nak peluk ayang atas katil, kan?" Syakilla mengenakan suaminya sekali gus ingin menyakitkan hati Mariam.
"Mana ada ak..."
"Sorry, Mariam. Kami pulang dulu. Kalau kau nak tahu, bekas tunang kau ni nakal sangat semalam." Laju Syakilla memotong ayat suaminya.
Mariam memaksa bibirnya mengukirkan senyuman. Air matanya mengalir laju menjamah pipi.
"Janganlah menangis, Mariam. Mungkin kau dengan Hazril tak ada jodoh. Mungkin jodoh kau dengan lelaki lebih kaya, kan?" Syakilla mengukirkan senyuman yang agak sukar untuk dimengertikan.
Mariam tersentak. Raut wajahnya berubah. Air matanya diseka pantas dengan telapak tangan.
"Okeylah, aku dengan encik suami balik dulu. Terima kasih sudi tumpangkan aku di sini. Aku doakan kau jumpa jodoh kau," ujar Syakilla. Tangan Hazril Irfan ditarik. Dipaksa suaminya mengekori langkahnya.
Langkah Hazril Irfan dan Syakilla dihantar melalui sorotan mata. Mariam terjelepok jatuh di lantai. Semakin menggila tangisannya. Dada kirinya ditumbuk-tumbuk. Rasa sakit sekali di situ.

ANDA SEDANG MEMBACA
KERANAKU CINTA KAU [TERBIT]
RomantizmSYAKILLA IZZATI - Hidupnya penuh dengan dendam dan cemburu. Kebahagiaan yang dihidangkan oleh sahabat baiknya, iaitu Mariam membuatkan dendam dalam hatinya semakin membuak-buak. Pada masa yang sama, dia turut menyimpan perasaan kepada teman lelaki s...