Notis:
Normal font = Ayat bahasa melayu dan percakapan biasa
Italic font = Ayat bahasa inggeris
Bold italic font = Ayat dari mesej atau surat atau notis
Underline italic font = Ayat percakapan dalah hati atau monolog diri sendiri***************
DAREENA melangkahkan kakinya ke arah pintu pagar salah sebuah bangunan di kawasan tersebut. Dia memerhati sekali lagi kertas di tangannya. Alamat yang tertera pada pagar bangunan tersebut adalah sama dengan alamat yang tertera pada kertas di tangannya. Teksi yang membawanya ke sini tidak tersalah alamat.
‘Alamat ni dah betul, tapi di mana manusia? Takkan pengawal pun tak ada?’ Dareena tertanya-tanya sendirian akan ke mana semua manusia?
Sudahlah tempat itu terlalu sunyi. Apakah si dia telah tersilap memberi alamat? Tetapi, logo pada pagar bangunan inj juga sama seperti yang ditunjukkan oleh si dia sebelum ini.
‘Apakah perlu aku menelefonnya sekali lagi?’
Tanpa berfikir panjang, segera Dareena mencapai telefon bimbit di dalam tas tangannya dan mendail nombor telefon si dia. Namun, tiada jawapan.
‘Ah, lupa! Bukankah dia sudah maklumkan yang dia tidak akan membawa telefon pada malam ini?’ fikir Dareena lagi.
“Miss, how can I help you?”
Dareena tersentak. Dia agak terperanjat dengan teguran dari seorang lelaki yang berpakaian formal. Takkanlah lelaki ini pengawal bangunan ini? Melihatkan pada pakaian formal iaitu suit berwarna biru dan tertera nama pada nametag yang mana Dareena sendiri tidak berapa pandai membaca tulisan itu, dia berfikir mungkin lelaki di depannya ini bukan pengawal bangunan ini.
‘Tetapi, siapa pula dia ini tiba-tiba menegurku? Nampak macam jujur saja. Harap-harap aku tidak tersalah menilai,’ fikir Dareena.
“Oh, yes! I’m looking for a person. His name is Shen Wei,” Dareena memaklumkan. Mujur lelaki di hadapannya ini memulakan pertanyaan dalam bahasa inggeris. Tidaklah dia tergagap-gagap di sini mencari gerangan orangnya.
‘Mungkin tempat ini mewajibkan semua staf untuk fasih berbahasa inggeris,’ fikir Dareena lagi.
Lelaki tersebut terdiam seketika. Dia memandang wanita di hadapannya. Pertama kali dia melihat wanita ini setelah sekian lama dia mendengar cerita tentang wanita di hadapannya ini. Cantik. Tanpa berlengah, dia tersenyum mesra. Matanya agak bersinar ceria.
Dareena tidak pasti kenapa lelaki di hadapannya ini begitu gembira apabila dia memaklumkan akan tujuan kedatangannya ke sini. Dan wajah lelaki ini ada iras-iras seseorang yang dikenalinya. Atau mungkin dia terlalu merindui si dia sehingga melihat lelaki lain pun seperti melihat si dia. Dareena tersenyum dalam diam apabila memikirkan si dia.
“Are you Mrs. Dareena Dalisya?” Lelaki yang mungkin dalam lingkungan usia lewat 20-an itu bertanya.
Dareena menganggukkan kepala mengiakan. Namun hatinya masih berdebar apabila memikirkan akan situasi sekiranya lelaki ini ingin mengambil kesempatan atau akan mengapa-apakan dirinya. Maklumlah dengan keadaan di luar bangunan ini agak sunyi dan tidak pula ternampak kelibat sesiapa di kawasan berdekatan.
Tambahan pula, ini pertama kali dia ke sini setelah dimaklumkan oleh si dia supaya datang ke sini pada malam ini. Malah, si dia juga siap menghantar teksi peribadi ke lapangan terbang petang tadi semata-mata untuk menjemputnya. Dalam masa yang sama, hatinya juga masih tertanya-tanya bagaimanakah lelaki ini tahu akan namanya?
YOU ARE READING
Mencari cinta
RomanceSyamzi Ameer @ Shen Wei adalah anak lelaki kepada seorang wanita mualaf (yang memeluk agama islam). Sejak kecil dia tidak mengetahui bahawa nama keduanya iaitu Shen Wei mempunyai maksud yang tersembunyi sehinggalah usianya 30 tahun. Bapanya memaklum...