Tahun 2014...
TERGOCOH-GOCOH Nada berlari sambil membetulkan kedudukan tudung atas kepala bila kedengaran bunyi petikan hon motor posmen di luar.
"Ainin Nada binti Ahmad Najmi." Sekilas abang posmen itu membaca sepotong nama Nada pada atas sampul putih.
"Ya saya." Tersenyum Nada saat namanya disebut.
"Terima kasih!" tutur nada sebelum abang posmen membonceng motorsikalnya pergi. Nada tunduk memandang sampul surat di tangan. Bertambah debar di dadanya bila mana matanya terpandangkan logo yang cukup dikenalinya itu.
Nada koyak hujung sampul, lantas sehelai kertas berlipat itu dibukanya. Mata dipejam sambil bibir terkumat-kamit.
"Bismillahirrahmanirrahim..."
Mata dicelik perlahan-lahan.
Tawaran Kemasukan Ke Program Ijazah Muda Pendidikan Syariah & Undang-Undang, Universiti Al-Azhar, Mesir.
Sesaat...
Dua saat...
Tiga saat...
"Aaaarhhhh! Umi! Abah!" laju Nada berlari masuk ke dalam rumah. Selipar pun dah terpelanting entah ke mana. Sekarang ni dia betul-betul teruja! Puan Karisma tergocoh-gocoh keluar daripada dapur manakala Encik Najmi kalut keluar dari pintu bilik air. Nampak saja tubuh Puan Karisma, Nada peluk erat dengan surat di tangan.
"Umi! Akhirnya!"
"Akhirnya apa ni, Nada?" soal Puan Karisma, pelik. Lagi pelik bila anak bongsunya ini tiba-tiba datang peluk sambil menjerit.
"Ni kenapa ni?" Encik Najmi mencelah.
"Nada... Nada dapat tawaran belajar dekat Mesir! Ni, Nada baru dapat surat!" bukan main seronok lagi Nada hulur surat dalam pegangannya. Serentak Encik Najmi menempel di sisi isterinya, lantas bebola matanya bergerak-gerak memandang kertas bercetak itu. Sesaat, bibir kedua-duanya dah tercuit satu senyuman melebar.
"Alhamdulillah, anak umi. Tahniah sayang!" dahi Nada, Puan Karisma cium lembut.
"Tahniah, anak abah. Abah tumpang seronok dan bangga dengan Nada!" tubuh Nada, Encik Najmi peluk kejap. Nada kesat hujung mata yang berair. Tiba-tiba rasa syahdu dan sebak. Sungguh, penantiannya selepas tamat peperiksaan STAM tidak sia-sia. Dengan keputusan peperiksaan Mumtaz Sufi yang dia perolehi, melayakkan dia untuk menyambung pelajaran ke Mesir. Terima kasih, Ya Allah!
"Esok, kita buat kenduri kesyukuran sikit ya?" cadang Puan Karisma. Nada angguk. Sungguh dia sangat seronok!
"DAFFA, nak pergi mana tu?"
Langkah Daffa di muka pintu mati terus. Tubuh dia pusing memandang Puan Aishah yang melenggang menghampirinya.
"Keluar kejap. Nak jumpa dengan Yusri. Kenapa?"
"Takde apa lah. Jangan balik lewat sangat tau."
"Kenapa?"
Tersenyum-senyum Puan Aishah.
"Takde la, petang karang rumah Cik Ma ada buat kenduri sikit. Jom lah kita pergi eh? Lagipun, dah lama kau tak pergi tunjuk muka kat dia orang. Dia orang pulak asyik tanya pasal kau aje." Tutur Puan Aishah.
"Kenduri? Kenduri apa? Kahwin ke? Siapa kahwin? Kak Nadira? Nadim? Atau..."
"Hesy, tak lah. Bukan kenduri kahwin. Nada tu, dia dapat tawaran sambung belajar dekat Mesir. Jadi, dia orang buat lah kenduri kesyukuran sikit. Kita pergi sama-sama eh petang nanti?"
YOU ARE READING
Sir, I Heart You
RomanceDinginnya MUHAMMAD DAFFA kepada AININ NADA bermula bila si NADA membaca surat cinta di zaman monyetnya tanpa izin. Sudah lah baca surat cinta orang, NADA boleh pula mengejek dia! "Eei, geli tau Nada baca surat cinta abang ni. Baru tingkatan satu, da...