BARU beberapa ketika dia merebahkan badannya di atas tilam, telefon bimbitnya berbunyi. Raihana mengerutkan dahinya. Ada voice call WhatsApp dari Nailah rupanya. Baru sekarang dia ingat nak contact aku? Senyum terukir di bibirnya. Terubat kerinduannya dengan Nailah, yang dikenalinya sejak mula-mula bertemu di semester pertama dulu.
"Assalamualaikum. Hana, kau ada dekat mana tu? Aku rindukan kau."
Ceria suara Nailah di hujung talian.
"Waalaikumussalam. Aku pun rindukan kau jugak Nailah. Aku kat Jepun lagi ni..." Dia menjawab. Sudah lama dia tidak mendengar suara Nailah. Hai, rindunya!
"Lama lagi ke kau dekat sana?"
"Entah. Aku rasa tak balik dah. Kot."
"Weh, kau jangan nak buat gila boleh tak? Isy, aku risau betul dengan kau ni."
Raihana tergelak dengan kata-kata itu.
"Yang kau gelak tu kenapa? Aku serius ni wei! Baliklah Hana. Yang kau mengada pergi sana tu buat apa? Kalau kau ada masalah, kau tumpang tinggal dengan aku dulu pun tak apa."
"Hmm, tak apalah Nailah. Aku tak nak susahkan kau. Kau sorang aje yang faham masalah aku selama ni."
Memang dia banyak bercerita dengan Nailah tentang masalah yang dipendamnya itu.
"Aku tau, kau sebenarnya merajuk dengan famili kau. Kan?"
Raihana tidak membuka mulut perihal Shida yang dah menipunya. Raihana serba salah, sama ada mahu bercerita pada Nailah yang dia telah ditipu atau tidak. Sebolehnya dia tidak mahu Nailah risau.
Tidak! Aku tak mahu menyusahkan Nailah pula dengan masalah aku. Nailah pun bukanlah berduit sangat.
"Tak apalah pasal tu. Ni ada benda aku nak gosip. Kau tau tak? Baru-baru ni Izzat ada WhatsApp aku."
"Celaka punya mamat! Ha, nak buat apa dia cari kau lagi? Kau kan dah putus dengan dia." Melenting betul Nailah.
"Tulah pasal. Dia boleh mintak aku bayar balik duit dia tu. Aku cuma ikut idea kau aje suruh mintak balik duit lima ribu aku tu dulu."
Dia meluahkan. Biarlah, Nailah tahu cerita sebenar. Dia sudah tidak mampu bersabar lagi dengan bekas tunangnya itu. Sampai bila hendak bersabar? Izzat memang sudah melampau.
"Hisy, kau tak payah layanlah bekas tunang kau tu. Tak sedar diri yang dia tu berhutang. Hei, apa jenis lelakilah macam tu? Ingat kita orang perempuan ni bodoh ke? Lepas tu siap curang dengan kau lagi. Memang nak kena makan penamparlah jawabnya."
Ya, Raihana masih ingat lagi kejadian lama itu. Disebabkan itulah dia mengambil keputusan untuk memutuskan perhubungannya dengan Izzat, lelaki yang hanya tahu mengambil kesempatan.
"Salah aku ke Nailah?"
"Memang patut pun kau mintak duit kau balik dengan lelaki tu. Kau ni, baik sangatlah Hana. Tolong aje lelaki tak guna tu selama ni. Dia mintak duit berapa pun, semua kau bagi."
"Dah! Kau jangan nak salahkan diri kau pulak. Lepas ni kalau dia kacau kau lagi, bagitau aku. Hei, rasa nak cili aje mulut mamat puaka tu!"
"Nak buat macam mana Nailah. Aku terlalu sayangkan dia masa tu."
Apalah nasibnya. Sampaikan dia rasa semua orang tidak menyayangi dirinya lagi. Termasuklah keluarganya. Sudahlah bekas tunangnya itu curang. Nailah saja yang dirasakan boleh memahaminya.
"Sayang kau tu tak bertempat Hana. Hmm, kau tau, ni pasal kakak kau pulak. Tak habis-habis tanya aku pasal kau. Aku rasa kakak kau tu dah gilalah Hana. Macam psiko pun ada!"
YOU ARE READING
ᴋᴜᴘɪʟɪʜ ʜᴀᴛɪᴍᴜ
RomanceKupilih Hatimu © 2020 published with DEAR NOVELS RM24 (SM) / RM27 (SS) Segalanya dirancang demi mencari ketenangan buat seketika. Tanpa diduga, Sara Raihana rupanya ditipu oleh kawan baiknya sendiri. Dia jadi buntu dan hilang arah di negara orang. P...