Prolog

11.1K 264 6
                                    

"AKU nak kau keluar dari rumah ni sekarang!" Teriak Puan Rafizah ke arah anak tirinya.

Gelengan Raihana yang lemah itu dipandang bak tiada perasaan.

"Umi, Hana minta maaf."

"Kau ni anak yang menyusahkan tau tak? Dahlah aku hantar kau pergi belajar, kau boleh pula gagal. Dasar bengap! Kau tengok si Fira tu. Kan elok aje belajar sampai ke luar negara. Habis belajar terus dapat kerja bagus. Tak ada nak menyusahkan aku."

"Sudahlah tu Jah! Yang kau nak marah sangat Hana ni kenapa? Dah memang takde rezeki tu. Agaknya adalah benda lain yang Allah nak bagi."

Nek Wan tidak sedap hati memandang amukan Puan Rafizah terhadap cucunya.

Puan Rafizah tak mempedulikan teguran emaknya.

"Memalukan aku aje! Dahlah tak jadi menikah dengan budak Izzat tu. Mana aku nak letak muka aku ni? Cuba kau jawab."

Tengkingan itu lantang kedengaran.

Raihana jadi pilu mendengarnya. Bukan dia minta jadi begini. Sudah takdir ketentuan Ilahi nasibnya tersurat begitu. Izzat sendiri mengaku curang. Bekas tunangnya itu memutuskan perhubungan di saat mereka hampir hendak menikah.

Manalah hendak disorokkan muka?

Semua orang tahu yang dia bakal mendirikan rumah tangga dengan lelaki yang merupakan rakan satu pengajiannya. Usianya dengan Izzat sebaya saja. Baru menginjak ke 22 tahun.

Walau usia perkenalan mereka tidak sampai dua bulan, Izzat nekad memperisterikannya di awal pengajian mereka. Tanpa soal selidik, Raihana terus bersetuju. Itu silapnya.

Izzat bukan saja berlaku curang, malah turut menipunya dengan meminjam sejumlah wang yang banyak. Berkali-kali dia cuba menghubungi Izzat, namun tiada jawapan. Akhirnya, Raihana mengugut akan memberitahu teman wanita Izzat berkenaan penipuannya. Barulah Izzat terkial-kial membayar semula hutangnya.

"Ini nasib baik abi dengan kakak kau tak ada dekat rumah. Kalau tak, hei... aku tak taulah. Aku nak bapak kau tu tau yang kau ni memang anak tak guna. Faham?"

Raihana menahan tangisan. Kegagalannya dalam peperiksaan sampai ke pengetahuan umi akhirnya. Raihana tak mampu menyorokkan hal tersebut. Dia sedar yang sejak mula pengajian di tahun pertama lagi pencapaian akademiknya kurang memuaskan.

Bukanlah kerana dia ini kurang pandai. Dia tidak berminat dengan jurusan yang dia ambil sambil lewa saja. Minat sebenarnya pada bidang kesusasteraan dan bahasa Jepun sejak di bangku sekolah lagi.

Pernah sekali dulu dia cuba memohon universiti di Jepun. Yang berjaya ke sana hanya salah seorang kawannya. Permohonannya pula tidak berjaya. Daripada tidak melakukan apa-apa langsung, akhirnya dia meneruskan juga pengajian di sebuah kolej swasta.

"Hah, kau tunggu apa lagi? Nah, bawa keluar semua barang kau ni. Aku tak hingin nak tengok muka kau tu lagi. Dah, pergi!"

Puan Rafizah menolak-nolak bahu Raihana yang menahan sebak. Beg pakaian Raihana yang berada di atas almari dicampak ke arahnya.

Nek Wan begitu terkejut dengan tindakan Puan Rafizah yang dirasakan keterlaluan. Berbuih mulutnya menegur, Puan Rafizah buat tidak peduli. Macam bercakap dengan tiang saja.

"Kau jangan nak halau cucu aku ni sesuka hati. Aku tak izinkan dia keluar dari rumah ni!" Kuat suaranya.

Raihana menggeleng. "Takpe Nek Wan. Jangan risaukan Hana ya. Hana boleh jaga diri."

Dia akur jua. Fikirannya sekarang teringatkan Nailah. Mungkin aku boleh menumpang tinggal di rumah Nailah buat sementara sampai hati umi sejuk kembali. Lepas tu aku akan cuba pujuk umi supaya terima aku semula.

Panggilan berkali-kali Nek Wan tidak diendahkan. Dia berlalu dari situ. Laju air matanya menitik. Hatinya cukup terluka. Ikutkan, Raihana ingin mencari ketenangan daripada memikirkan masalah yang melanda dirinya ketika ini.

Raihana teringatkan Shida yang dikenali semasa sekolah dulu, yang berjaya menyambung pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda di Jepun.

Beberapa bulan lalu, Shida telah berjanji dengannya untuk menghabiskan masa percutian di Tokyo sepanjang tempoh bercuti semester. Mulanya, dia menolak. Maklumlah, semua orang tahu yang Tokyo merupakan bandar termahal dengan kos sara hidup tinggi.

Namun, Shida beria-ia memujuknya. Shida berjanji untuk membantunya mencarikan peluang pekerjaan di sana. Raihana cuma perlu menyediakan pasport saja. Selebihnya, Shida sendiri yang akan uruskan. Segala-galanya, daripada kemudahan penginapan, visa, tiket kapal terbang pergi dan balik yang ditempah secara online sampailah jadual itinerari percutian mereka.

Menurut Shida, segala urusan visa boleh diuruskan selepas ketibaannya nanti. Dia hanya perlu datang sebagai pelancong saja. Lagipun, untuk apa dia risau? Shida kan ada dan dia akan tinggal bersama-sama dengan temannya itu. Dia percayakan kawannya itu.

Raihana ada juga membuat sedikit persediaan untuk ke Jepun. Dia tekad menggunakan sebahagian duit simpanannya dan wang yang telah dibayar semula oleh Izzat sebagai belanjanya nanti. Dia juga telah membayar duit pendahuluan seperti yang diminta Shida.

Shida menge-melkannya tiket kapal terbang ke Osaka sebaik saja dia membayar wang tersebut. Menurut Shida, tiket AirAsia ke Osaka lebih murah berbanding Tokyo.

Sebab di Jepun, bila masuk saja peak season, waktu sibuknya berbeza mengikut daerah. Jadi harga pun berbeza. Kebetulan ada promosi sedang dijalankan oleh syarikat penerbangan terkemuka itu. Lebih menjimatkan. Raihana pula hanya menurut. Raihana hanya akan memberitahu Nailah saja rancangannya itu. Yang lain-lain tidak tahu pun tidak mengapa. Biarlah. Dia benar-benar merajuk hati dengan keluarganya, terutama umi yang seakan membencinya.

Yang penting dia dapat melupakan segala masalah yang melanda. Itu yang lebih difikirkannya.
.
.


ᴋᴜᴘɪʟɪʜ ʜᴀᴛɪᴍᴜWhere stories live. Discover now