GILA betul! Malam tadi Raihana tidur dalam kesejukan.
Raihana pandang heater di depannya itu dengan dahi berkerut. Puas dia cuba adjust dengan mencari satu per satu butangnya. Satu yang Raihana paling tak tahan dengan Jepun adalah cuacanya. Belum lagi kalau dia tinggal di utara. Mahu beku satu badan agaknya.
Dia melirik jam. Raihana terus bangkit dari tilamnya. Sebaik dia membuka pintu biliknya, terbeliak mata Raihana memandang Harraz yang sedang elok mengemas tempat tidurnya di ruang tamu. Tilamnya dilipat berserta selimut tebal.
Harraz menggeliat ke kiri dan kanan. Dia tersenyum pada Raihana.
Cukup menawan senyuman lelaki itu. Terserlah ketampanannya. Dengan tubuh yang tegap dan tinggi. Sebaris gigi putih bersih dan tersusun itu bagai menambah lagi daya penarik dalam diri Harraz.
Bagi Raihana, dia sememangnya beruntung kerana bertemu Harraz. Sudahlah baik hati, jenis lelaki yang ada rupa pula tu. Perempuan mana yang tak suka? Dapat juga hari-hari cuci mata.
"Morning." Suara garau itu menyapa.
Bagai nak tumbang Raihana dibuatnya. Dia pura-pura tenang.
"Emm, morning." Raihana membalas dengan segaris senyuman.
"Selesa tak awak tidur semalam?"
"Tak." Hanya itu dijawabnya.
Dahi Harraz berkerut seribu. "Kenapa tak selesa?"
"Sejuklah. Macam nak beku satu badan. Awak tak sejuk ke?"
Harraz tersenyum mendengar jawapan gadis itu. Dia menggeleng.
"Taklah. Biasa aje saya rasa."
"Ermm, awak... tidur kat sini aje malam tadi?"
"Ha'ah. Kenapa?" jawab Harraz. Beberapa biji bantal disusunnya di atas sofa.
"Saya ingatkan..." Kata-kata Raihana terus mati. Dia melihat Harraz sudah melabuhkan punggungnya dengan kedua-dua tangan melingkar di atas sofa itu.
Harraz memandang Raihana dengan kening terjongket. "Ingat apa?"
"Takde apalah," balas Raihana sebelum berlalu ke bilik air.
"Awak nak saya tidur sekali dengan awak ke?"
Kata-kata Harraz yang selamba itu menghentikan langkahnya. Raihana berpusing dengan mulut terbuka luas. Dipandangnya senyuman nakal lelaki itu.
"Kalau macam tu, kecil tapak tangan, seluas Gurun Sahara saya tadahkan."
Sengih Harraz makin melebar. Terbuntang mata Raihana memandangnya.
"Eh, tolong sikit ya. Taklah, maksud saya tadi, saya ingatkan awak tidur kat bilik sebelah ni."
"Tak kut. Bilik tu penuh dengan barang kerja. Tak kuasa saya nak tidur dalam bilik tu."
"Bermakna sekarang ni awak memang tidur dekat sinilah?"
Harraz tidak terus menjawab. Sebaliknya, dia tersenyum dengan mata yang merenung semacam ke arah Raihana.
Raihana jadi tak keruan. Dipandang Harraz yang sudah bangun daripada duduknya sambil mengangkat bantal. Hujung T-shirt putih yang dipakainya terselak sedikit menampakkan perutnya yang berotot sasa.
Terus Raihana mengalih pandang ke arah lain. Dia menelan air liurnya lambat-lambat.
"Habis? Awak nak saya tidur kat mana?" usik Harraz.
Raihana mengetap bibir. "Ah, dahlah! Malas saya layan awak."
Sakit telinganya mendengar tawa lelaki itu. Terus Raihana menuju ke bilik air untuk membersihkan diri. Ah, nama pun lelaki. Makin dilayan nanti, makin gatal lagi jadinya!
YOU ARE READING
ᴋᴜᴘɪʟɪʜ ʜᴀᴛɪᴍᴜ
RomanceKupilih Hatimu © 2020 published with DEAR NOVELS RM24 (SM) / RM27 (SS) Segalanya dirancang demi mencari ketenangan buat seketika. Tanpa diduga, Sara Raihana rupanya ditipu oleh kawan baiknya sendiri. Dia jadi buntu dan hilang arah di negara orang. P...