"APA sebab awak datang ke sini?" Harraz menyoal.
Mereka berdua beriringan dari satu laluan rak yang dipenuhi makanan ke satu rak yang lain. Sesekali, Harraz menghentikan langkahnya. Membelek satu jenama biskut sambil membaca isi kandungan di belakangnya dengan teliti.
Raihana tersenyum. Entah faham ke tidak mamat ni? Yalah, semua tulisan dalam kanji.
"Kan saya ada bagitau awak yang saya nak sambung master."
"Selain tu?"
"Erm... mungkin sambil tu saya buat kerja sambilan kut? Macam awak."
"Awak tau kan susah nak kerja dekat sini. Masyarakat sini sangat berdisiplin, tak ada nak cuti sangat. Andai kata awak sakit ke tiba-tiba, awak kena datang punch card juga. Kos perubatan pun mahal. In fact, kebanyakan hospital di sini takkan treat foreign patients without proof of medical coverage. Sebab tu, awak kena standby insurance awal-awal sebelum nak ke sini supaya masalah tak timbul di kemudian hari."
"Ya, saya tau."
"Saya bukan nak melemahkan semangat awak. Saya cuma nak bagitau aje inilah realitinya. Kadangkala, realiti tak seindah yang disangka."
"Betul kata awak tu. Saya nak cuba nasib aje." Raihana menggumam perlahan.
Kalaulah Harraz tahu dia menipu, apa akan jadi agaknya ya? Raihana sedar sekarang ini, dia harus merahsiakan hal sebenar. Pandai buat, pandailah tanggung sendiri ya Raihana.
Harraz beralih memandang gadis itu seketika. Dengan mata masih terarah kepada Raihana, dia meletakkan biskut yang dipegangnya itu ke dalam bakul.
"Awak pula, kenapa awak berminat kerja di sini?"
"Ikutkan, saya tak minat pun dengan negara ni. Bahasanya pun susah nak faham. Dahlah barang-barang dekat sini semuanya serba-serbi mahal. Best lagi kalau saya dapat ofer kerja dekat UK ke, Australia ke..."
"Habis tu, kenapa awak kerja jugak dekat sini?"
"Papa saya yang suruh."
"Papa awak suruh? Awak ikut aje kata papa awak?" Raihana bertanya dengan riak tak percaya.
Harraz terdiam. Dia mencapai sekotak susu segar.
"Tak jugak. Tapi, mana yang boleh bagi kebaikan pada diri saya, saya ikutlah. Tak salah pun kan? Lambat-laun, saya akan balik semula ke Malaysia."
"Kenapa?"
"Baik saya kerja dekat sana aje. Tak lama pun. Tunggu lepas saya dah habis praktikal ni."
Raihana yang mendengar cuma angkat bahu. Hmm, kalau dia, pula lain ceritanya. Dia merasakan umi dengan abi tak pernah faham minatnya selama ini.
Ah, diorang hanya sayangkan Kak Fira aje. Kak Fira tulah, Kak Fira nilah. Lebih-lebih lagi umi. Raihana mencebik. Memang sejak dari kecil lagi dia lebih banyak memendam rasa.
"Banyak ni aje?"
"Hah, yelah. Kenapa? Ada apa-apa lagi ke yang awak nak beli?" tanya Harraz sebaik melihat Raihana menjuihkan mulut ke arah bakul.
"Kalau saya nak ni boleh tak?"
Raihana menunjukkan sekotak minuman coklat Van Houten kegemarannya yang diambil dari rak sewaktu mula melangkah masuk ke dalam Family Mart itu. Raihana buat muka comel pada lelaki itu. Gaya seperti sorang kanak-kanak yang memujuk ibunya membelikan sesuatu.
"Favourite awak ya Hana?"
"Ha'ah."
"Boleh, tapi..."
"Tapi apa?"
Harraz senyum nakal. Dia menunjukkan pipi kanannya kepada gadis itu. Raihana terpinga-pinga.
"Kena kiss pipi saya dulu. Boleh?"
"Euw... tak kuasalah! Hmm, takpelah. Tak jadi nak beli."
Raihana menjuihkan mulut. Baru saja Raihana nak meletak semula air tin itu, tangan Harraz pantas menghalang.
"Saya gurau ajelah. Ambiklah. Yang pergi letak balik tu kenapa?"
"Yes! Terima kasih Harraz." Raihana senyum.
SETIBANYA di apartmen, Raihana membantu Harraz menyimpan barang dapur yang dibeli tadi. Dimasukkan ke dalam almari kabinet.
"Harraz."
Harraz menoleh.
"Awak beli kat mana rempah kari dengan kurma ni? Satu lagi saya tengok ada makanan dari Malaysia macam sos cili, kicap ni semua. Banyak pula tu. Dengan belacannya lagi. Macam ni ha, siap ada cencaluk pulak."
Raihana bertanya pelik. Dia memegang botol cencaluk di tangannya.
"Oh, sebenarnya mama saya yang belikan."
Harraz mengambil aiskrim di atas meja makan lalu disimpannya ke dalam peti sejuk beku.
"Bila masa pulak mama awak belikan? Dia pos dari Malaysia ke?"
"Taklah. Dia ada datang sini tiga bulan lepas."
Raihana terdiam. "Mama awak datang ziarah?"
"Yup."
"Selalu ke dia datang?" Raihana mula tak sedap hati.
"Tak adalah selalu. Dalam dua atau tiga bulan sekali tu, adalah juga mama dengan papa saya datang melawat. Itu yang mama saya bawak sekali barang dapur tu semua. Senang kalau saya nak masak kat sini."
Harraz tahu mamanya sering risaukan keadaannya di rantau orang. Setiap kali ada masa terluang, mama akan mengambil cuti dan berpakat dengan papanya untuk menziarahinya di Jepun. Kadangkala, Syafiqa, adik bongsunya pun ikut sekali. Cuma sekarang saja mamanya sudah jarang datang melawat Harraz disebabkan kesibukan tugasnya sebagai pensyarah.
"Kenapa awak tak cakap awal-awal dekat saya?" Raihana meletakkan botol cencaluk lalu berpeluk tubuh.
"Lah, ada masalah ke?" Harraz memandang gadis itu.
Satu keluhan berat dilepaskan Raihana.
"Awak tak rasa satu masalah ke, kalau mama dan papa awak datang sini, tiba-tiba diorang nampak awak tinggal bersama dengan sorang perempuan? Tak ke mengamuk diorang nanti?"
"Tak ada apa nak dirisaukan. Kita bukannya buat apa-apa pun," jawab Harraz selamba.
"Kita memanglah tak ada apa-apa. Tapi, apa pulak yang mama awak fikir nanti?"
"Kalau macam tu, saya cakap ajelah hal yang sebenarnya. Apa masalahnya?"
"Awak ni kan, cakap macam senang aje. Takkan semudah tu mereka terima alasan kita? Hisy, saya tak rasa macam tu."
"Dah tu, nak buat macam mana? Takkan saya nak halau awak keluar dari sini pulak? Awak nak ke macam tu? Tempat tinggal lain pun awak belum dapat lagi," balas Harraz.
Raihana diam sejenak. Hmm, betul juga. "Tapi..."
"Awak jangan risaulah. Nanti pandailah saya cakap dengan mama dan papa saya tu. Lagipun sekarang ni, mama saya tu dah jarang datang. Tak selalu macam dulu. Nanti kita pandai sendirilah nak buat macam mana kalau mama saya bagitau nak datang ke apartmen ni."
Raihana tunduk membisu. Masih memikirkan kata-kata Harraz. Runsing pula dia dibuatnya.
"Awak okey tak ni?"
Lambat-lambat, Raihana angguk. Dia risau betul memikirkan segala kemungkinan yang bakal berlaku. Memanglah antaranya dengan Harraz tak mungkin ada sesuatu buruk yang berlaku. Harraz dilihatnya bukan jenis lelaki yang miang atau suka mengambil kesempatan. Walaupun dia sendiri baru kenal dengan Harraz.
Raihana berjanji selepas ini dia akan berusaha sehabis daya untuk mencari kerja. Tak kiralah sambilan sekalipun. Sebolehnya dia tidak mahu menyusahkan Harraz. Sampai bila dia hendak mengharapkan pertolongan Harraz?
Harraz pun ada perancangannya sendiri. Matlamatnya sendiri. Mereka tinggal bersama pun hanya sementara. Satu hari nanti, mereka berdua pasti akan membawa haluan masing-masing.
.
.
YOU ARE READING
ᴋᴜᴘɪʟɪʜ ʜᴀᴛɪᴍᴜ
RomanceKupilih Hatimu © 2020 published with DEAR NOVELS RM24 (SM) / RM27 (SS) Segalanya dirancang demi mencari ketenangan buat seketika. Tanpa diduga, Sara Raihana rupanya ditipu oleh kawan baiknya sendiri. Dia jadi buntu dan hilang arah di negara orang. P...