TERDENGAR ketukan di pintu biliknya.
Mati lamunannya. Raihana menyeka air jernih di pipinya dengan hujung lengan baju. Sempat dia membelek wajahnya di cermin kecil yang terletak atas meja. Risau pula. Nanti apa pula yang difikirkan Harraz.
"Hana?" Suara Harraz kedengaran memanggilnya.
"Ya, kejap."
Raihana bingkas. Terus dia membuka pintu biliknya dengan wajah hairan. Dipandangnya Harraz yang berdiri di muka pintu itu dengan comforter tebal di tangan.
"Ada apa?"
"Erm, awak cakap tadi awak sejuk malam-malam kan? Ni ada selimut. Awak pakailah selimut ni."
Harraz menghulurkan selimut kepada Raihana. Lambat-lambat, Raihana mengambilnya. Tak sangka pula Harraz ingat kata-katanya pagi tadi. Ikutkan dia sekadar beritahu saja. Bukan ada niat apa pun.
"Terima kasih Harraz."
"Sama-sama."
"Awak ada selimut tak nak tidur nanti?"
"Jangan risau. Saya ada selimut lebih."
Raihana mendongak dan memandang Harraz yang berpakaian dua lapis baju itu dengan hoodie Adidas warna hitam di bahagian luar dan berseluar tracksuit.
"Awak selesa tak?"
"Ha?"
"Maksud saya, awak okey tak setakat ni erm... tinggal dekat apartmen saya ni?" tanya Harraz sambil matanya memandang tepat ke wajah gadis itu.
"Okey aje. Selesa. Tenang aje tinggal dekat sini." Raihana senyum menampakkan lesung pipitnya.
Harraz tidak sedar, lama pula dia merenung Raihana. Lekas-lekas dia mengalih pandang ke dinding bilik yang dihuni Raihana. Dia berdeham seketika.
"Baguslah kalau macam tu."
"Apa pun, terima kasih ya Harraz. Kalau tak kerana awak, dah lama saya merempat dekat luar sana."
"Pasal tu, tak ada hal pun sebenarnya. Saya ikhlas nak tolong. Tak tergamak saya nak biarkan awak dalam keadaan tengah terdesak dan susah macam hari tu."
Raihana berasa terharu bercampur sebak kerana dipertemukan dengan seorang lelaki yang baik hati dan bertanggungjawab seperti Harraz. Perempuan mana yang sanggup menolak, bila ditemukan dengan lelaki sebaik ini?
Adakah Harraz masih belum berpunya?
Raihana hendak bertanya, tapi segan pula. Mana mungkin dia terhegeh-hegeh bertanya benda yang tak patut seperti itu. Perkenalan mereka masih dikatakan terlalu awal. Nak kata kawan pun, entahlah. Mungkin paling sesuai sekarang ni mereka berdua bergelar teman serumah.
Ya, tak lebih daripada itu.
"Hana?"
"Ya?"
"Awak betul ke okey ni?" Harraz memandangnya.
"Saya okey. Kenapa?"
"Awak nampak macam baru lepas menangis. Awak sakit ke?"
"Eh, tak ada pun. Mana ada... saya menangis."
Raihana tergelak kecil. Dia cepat-cepat beralih pandang ke arah lain sambil kedua-dua tangan mengesat matanya.
Harraz kerut dahi. Dia fikir aku ni budak kecik agaknya?
"Mata ni masuk habuk tadi. Masa saya tengah nak mengemas katil tu."
Raihana beria-ia memberi alasan yang dirasakan munasabah. Sikit pun dia tidak mengendahkan senyuman Harraz. Raihana cuba berlagak tenang. Sedangkan hatinya ketika ini berdebar-debar dan tak keruan. Semuanya gara-gara Harraz!
YOU ARE READING
ᴋᴜᴘɪʟɪʜ ʜᴀᴛɪᴍᴜ
RomanceKupilih Hatimu © 2020 published with DEAR NOVELS RM24 (SM) / RM27 (SS) Segalanya dirancang demi mencari ketenangan buat seketika. Tanpa diduga, Sara Raihana rupanya ditipu oleh kawan baiknya sendiri. Dia jadi buntu dan hilang arah di negara orang. P...