Bab 4

281 13 0
                                    

JAUH Raihana menapak ke Stesen Shinjuku mengheret begnya sebelum mengambil keputusan untuk bertemu Harraz di Ginza. Mungkin dia boleh memujuk Harraz untuk meminjamkannya wang mengikut kemampuan lelaki itu.

Lantaklah Harraz nak kata dia ni muka tak malu ke, apa ke. Nak hidup punya pasal.

Duit nak balik Malaysia pun dia tak ada sekarang ni. Ikut logik akal, memanglah tak sepatutnya dia berada di sini. Tapi nak buat macam mana? Keadaan yang mendesaknya begitu.

Raihana cukup kecewa dengan sikap Shida yang selama ini disangka baik dan boleh membantunya. Sangkanya, dia akan mendapat peluang pekerjaan di sini, seperti yang Shida janjikan. Sambil-sambil, bolehlah juga menenangkan fikiran.

Namun, hal sebaliknya pula yang berlaku.

Sampai sekarang nombor telefon Shida masih tak dapat dihubungi. Manalah dia tak tension? Sudahlah sekarang ni hidupnya ibarat macam pelarian pun ada. Diusungnya beg pakaian ke hulu ke hilir. Tak tahu hendak ke mana.

Raihana berusaha mencari bilik sewa yang murah di sekitar Tokyo. Kesemuanya berada di luar bajet kemampuannya. Sedangkan dalam poketnya sekarang tidak sampai sepuluh ribu yen. Rata-rata harga sewa bilik di Shinjuku paling kurang pun dalam 90 ribu yen.

Hmm, alamatnya mahu tidur merempat aku dekat luar lepas ni.

Diseretnya beg beroda bersaiz kecil itu sampailah akhirnya dia berdiri di depan syarikat tempat Harraz bekerja. Raihana menenangkan diri dalam kepayahan.

"HANA, awak buat apa kat sini?"

Harraz menegurnya. Riaknya sungguh terkejut. Dia nampak Raihana sedang berpeluk tubuh dan berbaring kesejukan di tepi kaki lima menghadap bangunan itu. Pucat lesi muka gadis itu.

"Eh, Harraz." Raihana lekas bangun daripada perbaringannya.

Hari sudah beransur gelap walaupun jarum jam baru menginjak ke pukul 5.00 petang. Ada beberapa orang yang menegurnya kerana boleh selamba berbaring di tepi bangunan itu tadi. Namun Raihana mengatakan dia sedang menunggu seorang kawan.

"Saja joging dekat kawasan ni."

"Jangan nak tipu saya, Hana."

Gila apa? Joging dalam cuaca sejuk macam ni. Macamlah Harraz tak nampak beg beroda di sebelah Raihana. Takkanlah berjoging sekali dengan beg pakaian habis semua diangkutnya?

"Saya... nak... jumpa awak." Raihana menjawab dengan muka tertunduk.

"Awak ada masalah ke Hana?"

Harraz kelihatan risau. Dirinya masih diselubungi syak wasangka. Namun, sebaik melihat keadaan Raihana begitu, dia jadi tidak sampai hati pula. Harraz mulai percaya gadis di depannya itu benar-benar dalam kesusahan.

"Sebenarnya..."

"Betul ke awak tinggal dekat Shinjuku?" Harraz terus memotong.

Dari hari itu lagi dia syak ada sesuatu yang tak kena dengan gadis itu sebenarnya.

"Memang sebelum ni saya tinggal dekat situ..."

"Sebelum ni?" ulang Harraz.

Raihana mengangguk.

"Sekarang ni awak tinggal di mana?"

"Err... tak tahulah."

Harraz terkejut. Ditenungnya dalam-dalam anak mata gadis itu. Hairan sungguh dia. Pertama kali dalam hidupnya, dia bertemu dengan seorang gadis yang amat pelik. Di tengah kota metropolitan Tokyo pula tu dalam banyak-banyak tempat yang ada di dunia ini.

ᴋᴜᴘɪʟɪʜ ʜᴀᴛɪᴍᴜWhere stories live. Discover now