LANGKAH Naura terhenti tatkala beberapa orang pelajar wanita menghadang perjalanannya. Hari itu dia sendirian tanpa. Sahabatnya itu tidak hadir ke sekolah kerana demam campak."Ada apa?" Entah pada siapa ditujukan soalan tersebut tetapi satu persatu wajah yang pelbagai reaksi di depannya diteliti dengan kening berkerut.
Siapa yang tidak kenal dengan Natasya and the gang di sekolah ini? Gangster perempuan yang juga digeruni pelajar lelaki. Tetapi persoalannya, kenapa Natasya tiba-tiba menghadang langkahnya dengan wajah seribu kebencian.
"Aku tak nak cerita banyak dan tak minat nak cakap banyak kali. Aku nak kau dengar baik-baik." Natasya hentikan bicaranya di situ. Wajahnya didekatkan ke wajah Naura sehingga gadis itu terpaksa melarikan kepalanya ke belakang.
"Haris tu hak milik kekal aku dan kau jangan sesekali bermimpi untuk rampas dia!. Apa saja yang berkaitan dengan dia tidak layak sama sekali untuk kau puja termasuklah gambar dia." Nada perlahan tetapi penuh amaran keluar dari bibir mungil Natasya.
Saat itu, Naura rasa wajahnya sudah tidak berdarah. Secepat inikah berita tersebar? Rasanya, baru petang semalam dia dimalukan di depan rakan sekelas 5A1 oleh Haris Asyraf dan hari ini, Natasya and the gang sudah mengetahuinya. Dia percaya, kalau beberapa wajah di depannya ini sudah tahu, bermakna seluruh pelajar sekolah ini juga pastinya sudah tahu. Sungguh memalukan.
Sekali lagi Naura memanggung kepala, memandang empat lagi wajah lain yang bersama Natasya itu. Semuanya tersenyum sinis dan berbisik sesama sendiri.
"Nat, aku rasa baik kau beli cermin besar-besar bagi budak ni. Biar dia cermin diri dia dulu sebelum bermimpi nak ada hati pada Haris. Mungkin lepas tengok cermin tu dia akan jadi sedar diri." Saranan salah seorang dari teman Natasya yang berada di situ disambut oleh semua orang termasuklah Natasya dengan gelak besar.
Sungguh! Saat itu dia rasa terhina sekali. Buruk sangatkah dia sehingga harus diberi cermin untuk menilik diri sendiri? Dia seperti ingin mencari Haris dan memaki lelaki itu cukup-cukup. Kalau bukan kerana lelaki itu, pastinya semua orang tidak akan tahu.
Memang Haris itu sangat kacak dan menjadi pujaan ramai pelajar wanita di sekolah ini. Memang juga Natasya itu cantik dan dikatakan sangat sepadan dengan Haris. Mereka juga sering dilihat sentiasa bersama ke mana-mana saja.
Tetapi, kalau semua yang cantik pasangannya adalah yang kacak, bagaimana pula dengan yang kurang cantik sepertinya?
Ah! Memang dia sedar diri. Dia tidak langsung berniat untuk merampas Haris dari Natasya. Hatinya saja yang sudah terlanjur jatuh suka dan sering memuja. Namun, mulai saat ini, dia akan cuba menanam benih benci untuk lelaki itu.