AIMAN membuka pintu bilik arwah orang tuanya. Dengan jalan tempang dia melangkah masuk. Sebaik masuk mata memandang kawasan bilik seperti mencari sesuatu. Aiman bergerak ke almari. Album gambar dikeluarkan lalu dicari gambar ayah dan ibunya. Sebaik dapat dipeluk erat gambar itu.
"Rindu ibu..." Hati mula merintih kerinduan. Belum sempat bibir mencium gambar, pintu bilik terbuka. Melihat seseorang yang tersenyum melangkah masuk cepat-cepat tangan naik mengesat air mata yang tumpah.
Album gambar disembunyikan belakang badan. Tidak mahu diambil oleh orang itu.
Santi melabuhkan duduk di sisi Aiman. "Pak long dah tak ada kat dapur. Jom makan."
Aiman geleng. Kepala menunduk apabila Santi mengusap-gusap rambutnya."Aiman kenapa? Pak long marah Aiman lagi ke? Kan bibik dah cakap kalau dia marah, beritahu bibik cepat-cepat." Santi angkat dagu Aiman supaya memandangnya. Geram dengan sikap Aiman yang banyak mendiamkan diri. Tapi mahu marah, dia tidak sampai hati.
"Kenapa mak long cakap Aiman tak boleh duduk sini lagi?"
"Rumah ni kena lelong. Kita berdua kena keluar dari sini."
"Aiman nak duduk sini. Ini rumah ibu. Ibu sayang rumah ni," Aiman mula menjerit. Album dilempar ke lantai.
"Aiman, jangan degil! Kat sini dah tak ada siapa-siapa. Aiman cuma ada bibik je sekarang. Kalau Aiman sayang bibik, Aiman kena dengar cakap bibik." Santi mengusap perlahan kaki Aiman. "Bibik dah banyak berkorban untuk Aiman. Kalau Aiman nak selamat ikut bibik. Bibik tahu apa yang terbaik untuk kita."
Aiman tepis tangan Santi lalu lari terhinjut-hinjut menuju pintu."Aiman nak ke orang tahu apa yang Aiman dah buat?" Santi berdiri. Muka tegas! "Aiman selamat sekarang, biasa yang tolong?"
Aiman berhenti. Santi dipandang tidak berkelip. Gigi diketap. "Arghhh!!!"
YOU ARE READING
"T"
Mystery / ThrillerVilla yang lama ditinggal akibat kebakaran kini dijadikan rumah anak yatim. Aiman, kanak-kanak cacat yang kematian ibu dan ayah akibat dibunuh telah datang ke villa tersebut bersama pembantu rumahnya untuk minta perlindungan.