TINGKAP di tingkat dua terbuka dan langsir berterbangan ditiup angin. Melalui tingkap ternampak satu tangan halus menyelak langsir lalu mengintai ke halaman rumah melihat dua orang pegawai polis yang berdiri di tepi kereta sambil bercakap. Bibir itu tersenyum sinis. Tangan mula bermain di bibir.
Inspektor Zul memandang banglo dua tingkat rumah Razlan tidak berkelip. Seperti ada sesuatu yang menarik perhatian. Yakin yang matanya tidak silap melihat.
"Kita datang tak kena masa. Mereka langsung tak nak bagi kerjasama." Inspektor Farhat menghampiri lalu mengeluh.
"Cuba kau tengok kat sana." Jari tunjuk dihalakan ke tingkat dua. "Aku nampak ada orang mengintai kitalah. Tapi tak berapa jelas."
Inspektor Farhat kerut dahi lalu melihat ke tingkat dua. Hanya tingkap yang terbuka, tapi tiada sesiapa. Ditepuk perut kawannya. "Kau cuti hari ni, kan? Kenapa datang?"
Zul menyandar di pintu kereta sambil memeluk tubuh. Kemudian dia pandang kembali ke tingkat dua. Tiada siapa-siapa. Apa perasaannya saja tadi? "Farhat, kau tak pelik ke dengan kes ni? Suami bunuh isteri, kemudian suami tu bunuh diri. Part dia bunuh diri tu aku musykil. Dah kenapa dia nak bunuh diri?"
"Itu yang kita kena siasat sekarang."
"Aku nak cakap lebih pun tak boleh, keterangan yang kita ada sikit sangat. Apa motif suami bunuh isteri pun kita tak tahu lagi."
"Kita baru dapat keterangan pembantu rumah, tapi tak banyak. Kita kena dapatkan keterangan anak arwah. Budak tu aku nampak macam..." Farhad terjeda. Teringat budak berusia l0 tahun yang menyambut kedatangan mereka dengan jelingan tajam tadi. Apabila mahu menyapa anak itu menghempas album gambar lalu lari naik ke atas.
"Bukan senang tu. Tengok tadi, anak dia nampak kita terus lari."
"Kenapa budak tu lari tengok kita?"
Mereka saling memandang.

YOU ARE READING
"T"
Mystery / ThrillerVilla yang lama ditinggal akibat kebakaran kini dijadikan rumah anak yatim. Aiman, kanak-kanak cacat yang kematian ibu dan ayah akibat dibunuh telah datang ke villa tersebut bersama pembantu rumahnya untuk minta perlindungan.