BAB 3

2.4K 59 19
                                    

"Yam nak mandi dengan dia orang juga, ummi." Keinginan hati Maryam suarakan kepada Puan Azlina yang manis berbaju kurung sambil menarik hujung tudung Puan Azlina sebelum digulung-gulung dengan jari telunjuk. Wajah dicomelkan supaya dapat membeli jiwa ummi.

"Tak boleh, Yam. Awak tu orang perempuan, mana boleh sesuka hati je nak mandi-mandi dengan budak lelaki. Tengok, Kak Nadiah dengan Nabila tak ada pun nak mandi-mandi ni. Awak sorang je, Yam." Memberikan alasan yang dirasakan munasabah. Iris mata yang berwarna coklat itu menatap wajah anak sebelum kornea mata dijegilkan kepada Maryam. Geram betul dia dengan perangai anak perempuan tunggalnya ini.

Maryam terus melepaskan pegangan di hujung tudung Puan Azlina. Wajah masam mencuka. Bukan main punya seronok lagi Maryam tengok Abang Alfan dan beberapa orang lagi budak lelaki mandi di bawah pancuran air yang pihak bomba gunakan. 

Seronoknya, panas-panas begini, mandi pula bawah air yang banyak, laju. Macam dekat taman tema yang selalu dia tengok di dalam cerita orang putih. Abang Alfan dengan yang lain mandi sambil gelak ketawa, siap main percik-percik air ke orang lagi. Mandi pun tak payah pakai baju.

Agak lama juga budak-budak lelaki itu mandi dengan air yang pihak bomba semburkan sebelum budak -budak lelaki itu bersiap cantik seperti di pagi hari raya pertama. Lengkap berbaju Melayunya, sampinnya, songkok lagi. Didukung di atas bahu ayah masing-masing. Berarak daripada hujung lorong ke rumah keluarga Abang Alfan.

"Kenapa dia orang duduk atas bahu ayah dia orang, ummi? Tak sakit ke bahu ayah dia orang tu? Dah besarkan kenapa kena dukung-dukung lagi?" Satu demi satu soalan meluncur keluar daripada bibir Maryam dengan wajah berkerut pelik. Maryam seorang budak yang punya rasa ingin tahu yang tinggi.

Dia tak faham sebenarnya, apa yang sedang terjadi hari ini? Kenapa budak lelaki saja yang dilayan begini? Kenapa dia dengan budak perempuan lain tak dilayan macam ni pun? Pakcik bomba pun tak ada nak pelawa dia dan budak-budak perempuan mandi sambil dijirus oleh hos besar tu. Pakcik bomba tak berlaku adil!!!

"Hari ni hari untuk meraikan Alfan dengan budak lelaki lain sebab itu dia orang dilayan macam ni. Sekali seumur hidup je Alfan dengan yang lain nak merasa semua ni." Penuh sabar Puan Azlina  menjawab satu demi satu persoalan tanpa memandang wajah anak di sisi.

"Habis bila hari untuk meraikan Yam dengan budak perempuan lain?" Soalan yang menyelubungi kotak fikiran diberikan. Sel neuron bergerak aktif hidupkan pelbagai jenis soalan.

Puan Azlina tersenyum, wajah menatap wajah Maryam di sisinya. "Masa Yam kahwin nanti jelah." Wanita yang berumur lewat 20-an itu menjawab sebelum pandangan mata kembali kepada majlis. Meriah dengan lagu-lagunya, dengan bicara daripada jurucakap majlis, seperti di majlis perkahwinan.

"Jemput makan, Lin. Layan diri jelah ya." Puan Azlina mengangguk. Faham sangat apa yang tuan rumah perlu hadap bila anjurkan sesuatu majlis. Sibuk kerana inginkan yang terbaik untuk setiap tetamu.

"Yam, makan banyak-banyak tau. Biar pipi dengan badan ni makin montel." Ustazah Nani mencubit sedikit pipi tembam milik Maryam. 

Maryam tersengih senang hati. "Okey, Ustazah Nani."

"Makan." Suruh Puan Rosnani dengan tepukan mesra di lengan Puan Azlina. Puan Azlina mengangguk sambil tersenyum.

"Seronok hari ni, ummi. Banyak makanan sedap-sedap. Yam nak makan semua ni." Tepi mulut sudah comot dengan sisa makanan ketika itu.

"Boleh, yang penting setiap makanan dan apa sahaja yang Yam ambik Yam mesti habiskan. Tak boleh tinggal sikit pun, Allah tak suka orang yang suka membazir, yang tamak. Orang tamak ni selalu rugi." Tisu dilalukan di tepi bibir Maryam.

"Errrmmm ..." Dibalas dengan deheman sahaja. Sedang menikmati rasa sedap yang mengunjungi lidah.

Maryam tiba-tiba bangun dan meja yang menempatkan makanan dituju lagi, cepat-cepat pinggan yang berada di situ di capai. Buah tembikai dan oren diletakkan sebanyak mungkin di dalam pinggan. 

Abang Please... (TERBIT)Where stories live. Discover now