BAB 9

3.8K 87 26
                                    

"Abang Alfan nak pergi mana, ummi? Dengan lori semua ni?”  Maryam menyoal sambil kaki kalut-kalut sarungkan selipar. Maryam perasan juga banyak kotak di rumah Ustazah Nani. Tapi dia tak terasa nak soal kenapa banyak sangat kotak di salah satu ruang di rumah pengajarnya itu. Banyak barang dalam rumah Ustazah Nani yang dah tak ada. Ruang dalam rumah Ustazah Nani banyak yang dah lapang, sampai boleh main lari-lari sebelum mengaji.

"Ustazah Nani tak cakap ke yang dia orang nak pindah? Nadiah dengan Alfan tak bagitau apa-apa pun dekat Yam?" Tangan Maryam dipegang sebelum mereka anak beranak menghayun kaki ke rumah sebelah.

Maryam menggeleng. "Dia orang nak pindah pergi mana?"

"Ke utara sebab Ustaz Abu kena tukar tempat kerja ke sana."

"Utara tu dekat mana?"

"Dekat Malaysialah. Utara tu ada Kedah, ada Pulau Pinang, ada Perak sikit, ada Perlis."

Maryam mengangguk walaupun semua tempat yang Puan Azlina sebutkan itu dia tak tahu, tak pernah jejakkan kaki pun. "Habis, Abang Alfan nak duduk di utara yang mana?"

Puan Azlina tersenyum. Soalan awak, Yam. "Ke Pulau Pinang."

"Ohhh ... yang ada jambatan dekat atas laut tu kan? Yang ada feri, yang ada ikan lumba-lumba tu kan?"

Puan Azlina mengangguk sahaja sebagai jawapan sebelum berlalu masuk ke dalam rumah Puan Rosnani, membiarkan Maryam berada di luar bersama anak-anak Ustazah Nani dan Ustaz Abu itu. Biarlah, tak tahu bila pula Maryam dapat luangkan masa dengan mereka semua. Dengar ceritanya, rumah ini akan dibiarkan kosong sahaja, tak akan dijual dan disewakan.

"Abang pun ikut pindah juga ke?" Maryam hulurkan soalan dengan wajah naif. Budak perempuan yang memakai gaun kembang separas lutut itu beranikan diri dekati Alfan yang hanya duduk di atas bangku batu, melihat pekerja masukkan barang rumah ke dalam lori.

"Iyalah. Takkan abang nak duduk sorang-sorang dekat sini pula." Kasar sungguh nada yang Alfan gunakan untuk menjawab pertanyaan Maryam. Wajah Maryam dijeling meluat. Ada saja soalan daripada budak montel ini. Tak boleh ke kalau duduk tu tak payah nak berbual? 

"Abang boleh duduk dengan Yam. Yam kan adik abang." Ajakkan tulus Maryam dengan wajah ceria. Bersinar-sinar bebola matanya. Meletakkan harapan agar Alfan kekal berada di sisinya.

"Yam bukan adik abanglah! Abang tak nak kongsi ibu, ayah dengan Yam." Keras suara Alfan kedengaran di gegendang telinga Maryam.

Maryam terdiam. Pudar sinaran matanya. Rasa sedih mengcengkam seluruh tubuh Maryam saat itu. Jiwa seperti dirobek-robek oleh pisau yang hulunya begitu tajam.

"Kalau Yam nak tahu, satu keluarga abang semua benci dekat Yam. Sebab tu kami nak pindah jauh-jauh." Di hujung ayat Alfan melarik sebuah senyuman. Senyuman penuh sinis. Rasa macam dah lama tak tengok Maryam menangis. 

"Benci Yam? Tapi ... apa salah Yam?” Kolam mata mula terasa panas. Jantung mula mengepam darah dengan sangat laju. Nafas ditarik dalam-dalam. Cuba untuk tidak menangis di hadapan Alfan. Tidak mahu Alfan terus-terusan membencinya.

"Sebab Yam cakap banyak sangat. Lepas tu makan pun banyak. Kalau Yam nak tau abang rasa seronok sangat nak pindah. Abang tak payah tengok muka Yam lagi dah lepas ni. Meluat." Selepas berkata begitu kejam Alfan mula bangkit daripada kerusi.

Maryam pantas pegang tangan Alfan. Basah teruk dah wajah dia saat itu. "Abang tak payahlah pindah. Yam janji Yam tak cakap banyak lagi lepas ni, Yam janji Yam tak makan banyak lagi lepas ni. Tapi, abang janganlah pindah. Yam mana ada kawan lain lagi dah nak main lepas ni." Rayuan anak kecil yang begitu dahagakan kasih sayang itu dengan berbutir-butir air mata yang turun bagaikan hujan lebat. Nada suaranya kedengaran lirih tetapi tetap tak mampu buatkan Alfan jatuh simpati.

"Ish, lepaslah! Berdosa tau tak pegang-pegang tangan macam ni." Tangan ditarik kasar. Wajah Maryam ditenung tajam.

Maryam mula tersedu sedan.  "Abang janganlah pindah. Nanti Yam sunyi." Belum tahu erti putus asa, Maryam masih merayu.

"Padanlah dengan muka Yam. Dahlah, malas nak layan Yam. Bye." Terus anak lelaki itu berlalu masuk ke dalam rumah. Maryam masih lagi menangis teresak-esak di laman rumah. Rupanya Abang Alfan nak pergi jauh sebab dia cakap banyak, sebab dia makan banyak. Rupa-rupanya lagi, seluruh keluarga Abang Alfan tak sukakan dia.

Abang Please... (TERBIT)Where stories live. Discover now