BAB 10

1.2K 18 0
                                    

Selepas Alfan dan keluarganya pindah ke utara semenanjung Malaysia, Maryam demam teruk sehingga terpaksa dimasukkan ke dalam wad. Dia rindu dan semangatnya sangat rapuh. Sekeping gambar Alfan pun dia tiada. Wajah Alfan hanya terpahat di  dalam ruang memori. Begitu sekali dia sayangkan seorang budak lelaki bernama Alfansyah bin Abu Bakar.

Keadaan Maryam ketika minggu pertama di hospital agak teruk juga. Demam tidak kebah-kebah. Antibiotik daripada yang biasa-biasa dinaikkan dosnya. Doktor pun pelik kenapa demam Maryam tidak sembuh. Ujian darah, bahkan ujian daripada air tulang belakang pun normal. Disebabkan tidak tahu punca jadinya banyak kali darah Maryam diambil. Kaki, tangan Maryam bengkak, kesan dicucuk jarum penuh di tubuh.

Tubuh Maryam yang montel itu juga buatkan beberapa doktor pelatih susah nak ambil darah. Payah nak tengok urat dan setiap kali darahnya pula diambil, seluruh ruang wad akan mendengar jeritan Maryam yang kesakitan.

Ada masanya Maryam sampai meracau di dalam tidur sambil memanggil nama Alfan. Sedih hati Puan Azlina bila melihat keadaan Maryam. Dia tahu anaknya dahagakan perhatian. Selera makan Maryam juga jatuh merudum. Tak lalu nak jamah makanan kegemaran. Disua jajan pun dia gelengkan kepala. Pilu hati Puan Azlina bila Maryam menolak itu dan ini untuk makan. 

Kalau begini teruklah keadaan Maryam kerana rindukan Alfan, Puan Azlina tidak dapat bayangkan bagaimana keadaan Maryam kalau  apa-apa terjadi kepadanya. TIba-tiba Puan Azlina rasa bersyukur pula bila tiada suami, risau Maryam terluka, menanggung segunung rindu bila ayah kembali ke dunia abadi.

Boleh lihatlah badan montel Maryam dah susut sedikit dan perkara ini yang paling rungsingkan Puan Azlina. Dua minggu di dalam wad, hidup di persekitaran hospital yang penuh kuman, penyakit, berat Maryam turun hampir tujuh kilo!

Dibenarkan keluar wad pun masih lagi ada temujanji di hospital sebab doktor nak tengok berat Maryam naik dengan cantik atau tidak, kesihatan Maryam okey atau tidak. Besar ya penangan seorang Alfansyah kepada Maryam Sayyida. Tapi apa pun, Puan Azlina bersyukur sangat sebab walaupun demam Maryam tinggi, dimasukkan ubat melalui punggung pun tidak mahu turun juga suhu badannya, Maryam tidak pernah diserang sawan. 

Boleh dikatakan kes Maryam di dalam wad kanak-kanak itu tidaklah seteruk budak-budak lain. Duduk di dalam wad itu juga, Puan Azlina berkenalan dengan ramai ibu yang anak-anak mereka mempunyai pelbagai penyakit kronik. Cekal betul hati dan semangat ibu-ibu di dalam wad tersebut. 

“Sikitnya Yam makan. Nasi ni ummi letak separuh je tau. Yamkan suka ayam masak kicap yang ummi masak ni. Makanlah banyak sikit. Penat ummi duduk di dapur, berpeluh-peluh nak masakkan untuk Yam.” Tak jemu Puan Azlina memujuk puteri tunggalnya. 

Kepala Maryam gelengkan lemah. Tangan menolak perlahan pinggan yang Puan Azlina sedang pegang. “Yam dah kenyang, ummi. Yam tak nak makan lagi dah. Yam nak tidur. Yam penat, Yam mengantuk.” Lidahnya terasa kelat kerana itu banyak makanan yang dia tolak.

“Makanlah sikit Yam. Ummi masak banyak lauk tu. Kalau bukan Yam yang makan, siapa lagi nak makan? Yam tak rasa kesian sikit pun ke dekat ummi?” Puan Azlina cuba menagih perhatian Maryam pula. Manalah tau Maryam lembut hati nak menjamah lagi.

“Tak nak! Yam nak Abang Alfan. Yam rindu Ustazah Nani, Kak Nadiah, Nabila. Ummi … tak boleh ke ummi panggil dia orang pindah sini semula? Ummi cakaplah dekat Abang Alfan yang Yam dah tak makan banyak sekarang ni. Yam dah tak cakap banyak.” Pandangan mata Maryam berbalam saat itu. Kabur pandangan matanya, wajah Puan Azlina yang berada di hadapan tidak jelas kerana dihalang oleh air jernih di tubir mata.

Puan Azlina mengeluh. Pinggan yang masih ada sisa nasi dan lauk itu diletakkan di atas meja. Tubuh Maryam ditarik ke dalam pelukan. Kepala Maryam diusap. 

Sebenarnya, Puan Azlina selalu sahaja berhubung dengan Puan Rosnani di talian telefon. Bertukar-tukar cerita tapi tidak pula dia ceritakan keadaan Maryam yang sebenarnya. Puan Rosnani selalu sangat soalkan perihal Maryam, ambil berat tentang Maryam. Anak-anak yang lain pun selalu tanya bila mereka boleh berjumpa dengan Maryam. Nadiahlah yang paling rindukan Maryam. Teringat-ingat bicara Maryam yang selalu hiburkan hati. Puan Azlina berharap sangat keadaan Maryam akan bertambah baik seiring waktu. Beginilah kehidupan Maryam, setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan. Sama ada kita bersedia ataupun tidak, perpisahan itu tetap akan berlaku.

Abang Please... (TERBIT)Where stories live. Discover now