BAB 4

2.2K 54 7
                                    

Budak perempuan yang memakai seluar panjang berwarna pink itu duduk tenang di atas bangku simen, bawah pokok yang rendang. Maryam memaku pandangan kornea mata ke arah rakan-rakan sebaya yang seronok bermain sambil bergelak ketawa.

Ais krim di tangan yang semakin mencair dijilat rakus. Adalah menjadi satu kepantangan bagi Maryam kalau ais krim meleleh di tangan. Dia tak suka sebab melekit dan dalam  fikirannya saat itu, nanti encik semut akan datang bawa geng, jilat lelehan ais krim. Dia tak suka semut dapat makan percuma. Jujurnya, Maryam tak suka berkongsi makanan. Risau tidak cukup sekaligus buatkan dia dihimpit kelaparan. Lagipun, dia yang beli semua makanan ini guna duit tabungannya sendiri. Puan Azlina pun banyak kali cakap, tiada benda percuma di dalam dunia ini. Masuk tandas pun kena bayar apatah lagi untuk beli jajan.

Habis sebatang ais krim berperisa vanila itu, bungkusan plastik berisi biskut Oreo pula dibuka. Tisu dihampar di sebelah untuk letakkan krim yang berperisa vanila itu. Maryam suka makan biskut itu saja, krim dia tak suka. Terlalu manis untuk lidah Maryam.  Puan Azlina juga cakap kalau makan manis terlalu banyak nanti gigi semua jadi buruk sebab ulat makan.

Sejak peristiwa melepaskan burung itu hari, Alfan dah tak nak main dengan Maryam lagi. Kalau masa itu, Alfan tengah kutip baju yang sudah kering di ampaian dan kebetulan Maryam keluar daripada rumah, Alfan cepat-cepat lari masuk ke dalam rumah. Tak sempat Maryam nak tegur.

"Kenapa dengan Abang Alfan tu, ummi?" Pertanyaan terlontar daripada bibir  Maryam ketika Puan Azlina sedang menyikat rambut Maryam yang dilumuri dengan santan di laman rumah.

"Kenapa dengan dia?" Puan Azlina menyoal semula. Tangan masih rancak lumurkan santan ke rambut lebat milik Maryam. Rambut asli berwarna perang coklat gelap

"Yam dah tak mekap macam puntianak sekarang ni tapi Abang Alfan tu nampak je muka Yam ni dia dah lari masuk ke dalam rumah. Yam ajak main pondok-pondok pun dia dah tak nak." Bercerita sekaligus mengadu dengan mulut yang memuncung. Kecewa dengan perubahan diri Alfan yang ketara benar.

"Dia dah besar sekarang ni, dia rasa malulah tu nak main dengan Yam. Lagipun, Yam perempuan, dia lelaki. Tak elok main sama-sama. Tak manis orang tua-tua cakap,” bicara Puan Azlina sekaligus memujuk rasa hati Maryam yang disapa kesedihan. Lagi pula, budak lelaki, manalah mahunya bermain dengan budak perempuan yang mulutnya seperti bertih jagung. 

"Sebelum Abang Alfan tu bersunat, elok je dia main dengan Yam. Ummi tahu tak, waktu Yam pergi baca Iqra dekat rumah dia, dia sikit pun dia tak pandang Yam. Lepas tu, dia baca Al-Quran laju sangat, tak sempat Ustazah Nani nak tegur, tiba-tiba dia dah Sadaqallahul Azim ( صدق الله العظيم)."  Bibir yang semulajadi kemerahan itu masih lagi bercerita tentang jiran kesukaan hati. 

"Dia malulah tu dengan Yam. Biasalah, manusiakan berubah-ubah perangainya. Yam pun, janganlah selalu sangat kacau Alfan tu. Nanti dia bertambah malu." 

"Yam rasa Abang Alfan tu dah tak nak kawan dengan Yam. Alaaa ... Yam kacau dia sikit je pun. Yam tak ada abang, tak ada kakak, jadinya Yam anggap jelah dia macam abang Yam, sebab tu Yam suka kacau dia, ikut mana je dia  nak pergi. Ummi pun, kenapa bagi Yam seorang je lahir? Ummi kena bagi Yam kakak, kena bagi Yam abang. Barulah hidup Yam tak sunyi." Bukan main lagi budak berusia lima tahun itu membebel. Tubuh dipusing mengadap Puan Azlina yang masih lagi belum selesai pekerjaannya.

Terlukis senyuman nipis di bibir perempuan yang berusia 29 tahun itu. "Ewah, boleh request ya nak kakak, nak abang. Adik tak nak?" Tubuh Maryam ditolak daripada belakang mahu Maryam kekal di posisi awal-awal tadi.

Maryam geleng kepala.  Laju kepala tergeleng ke kiri dan ke kanan dengan bibir yang boleh dijadikan tempat sangkut baju. "Yam tak suka adik nanti Yam tak jadi yang paling kecik. Yam nak abang dengan kakak je."

"Tak ada kakak, tak ada abang pun tak apa, Yam. Paling penting sekarang ni, Yam ada ummi seorang je. Kenapa pentingnya ummi dalam hidup Yam?"

Maryam angkat kedua belah bahu. Terasa ada banyak jawapan yang dia boleh kasi tapi Maryam malas mahu berkata-kata. Dia lapar! Kenapa lama sangat ummi ini buat kerja? Kulit kepala pun sudah terasa gatalnya.

 "Sebab doa ummi ni, in shaa Allah ... akan selalu dimakbulkan oleh Allah. Tak ada hijab."

"Tak ada hijab tu maksudnya apa?"

"Maksudnya, tak ada tapisan … terus naik ke langit."

"Ohhh … kalau macam tu Yam bolehlah doa dekat Allah supaya Allah berikan Yam seorang abang dan kakak."

Tercetus ketawa kecil daripada bibir Puan Azlina. "Yam patut bersyukur tau sebab ada ummi. Banyak lagi kawan-kawan sebaya Yam yang tak ada ummi. Ada yang lahir dekat dunia ni, tak pernah tengok muka ummi dia, tak pernah dipeluk oleh ummi dia, tak pernah dicium oleh ummi dia walaupun sekali,” tutur lembut Puan Azlina sebelum bangun daripada duduk dan mengambil tempat di hadapan Maryam. Suka berbicara sambil menatap mata Maryam yang bercahaya. 

"Hidup dekat dalam dunia ni, Yam kena selalu bersyukur, kena selalu berterima kasih dekat Allah." Sambung Puan Azlina lagi.

Maryam tersengih. Kedua-dua tangan diangkat, ditadah. "Ya Allah, Yam bersyukur sangat ummi ada banyak duit. Ummi boleh beli baju cantik-cantik untuk Yam, boleh beli mainan macam-macam untuk Yam dan yang paling penting, duit ummi tu boleh beli banyakkk ... makanan untuk Yam. Terima kasih Ya Allah." Maryam menyapu kedua-dua tangan ke wajahnya sebelum tubuh Puan Azlina dirangkul. Sembamkan kepala yang basah di dada si ummi.

"Banyak sangat makan sampai montel. Perut tu dah buncit. Baju pun banyak dah yang tak muat."

"Sebab tu Allah kasi ummi duit yang banyak, untuk beli baju baru dekat Yam. Macam dalam cerita selalu cakap, duit bukannya boleh bawa mati pun, tak boleh bawa masuk kubur pun."

"Pandailah awak, Yam. Dah, jom masuk mandi, rambut tu kena syampu pula." Pelukan diberikan seketika cuma sebelum dirungkai.

Abang Please... (TERBIT)Where stories live. Discover now