BAKAL TERBIT | EBOOK
DIA cuma mampu menggariskan satu senyuman nipis bila ada mata-mata manusia memandang ke arahnya. Ada yang berikan dia senyuman nipis. Tak kurang juga ada yang memberi maksud renungan 'stay strong' kepadanya.
Nadya tarik nafas lantas dihelanya panjang. Manusia-manusia yang kini memenuhi kawasan masjid negeri sudah beransur masuk ke dalam. Majlis akan dimulakan kurang beberapa minit saja lagi. Mata Nadya tertancap pada dulang-dulang hantaran yang sedang dibawa masuk oleh dulang boy dan dulang girl. Masing-masing menyarung pakaian yang sedondon warnanya.
Oh, begitu juga dengan dia. Nadya menunduk memandang kurung moden batik berwarna krim yang tersarung di tubuh tinggi lampainya. Baju yang dipilih oleh si 'dia' untuk majlis hari ini.
"Nad, betul ni nak masuk? Mama rasa..."
"Nad okey, mama. Jangan risau." potong Nadya. Wajah Datin Akma kelihatan kelat saat ini. Nadya capai tangan Datin Akma lalu jemari mereka disulam kemas. Nadya senyum panjang. Mencuba menutup sekeping hatinya yang kini semakin retak menunggu belah.
"Jom kita masuk. Majlis dah nak mula ni. Jom..." tangan Datin Akma, Nadya tarik. Lemah anggukan kepala Datin Akma lalu langkahnya beriringan dengan Nadya memasuki masjid.
Nadya dan Datin Akma mengambil ruang di situ. Ramainya orang yang datang hari ni. Memandangkan bakal pengantin perempuan merupakan seorang yang dikenali, ramai juga pihak media yang datang merakam detik-detik bersejarah ini. Bunyi lensa dan cahaya kamera tak putus-putus dari tadi. Pandang bakal pengantin perempuan, cantiknya dia. Dengan kurung lace berwarna krim sedang duduk di atas bantal berbentuk bulat. Di tangannya, ada sejambak bunga tangan yang segar.
Pandangan Nadya beralih pula ke arah sosok seorang lelaki yang tersangat lah tampan dengan sepersalinan baju melayu berwarna krim. Bersongkok hitam dan bersamping lagi. Senyuman lelaki itu kelihatan begitu lebar. Menzahirkan bahawa lelaki itu benar-benar bahagia menanti detik untuk disatukan dengan kekasih hati. Dan Nadya, tak pernah tengok senyuman selebar itu dari dia.
"Bismillahirrahmanirrahim..."
Nadya jadi berdebar. Hatinya jadi tak tentu arah bila suara jurunikah memenuhi ruang dalam masjid negeri. Tangan Datin Akma digenggam demi mencari secebis kekuatan.
"Fareth Abrar bin Mohamad Zain... Aku nikahkan dikau dengan Intan Arina binti Eizlan dengan mas kahwinnya seutas gelang emas tunai." tangan digoncang. Kepala mikrofon kini dihala ke bibir Fareth.
"Aku terima nikahnya Intan Arina binti Eizlan dengan mas kahwinnya seutas gelang emas tunai."
"Sah?"
"Sah."
"Sah?"
"Sah."
"Alhamdulillah..."
Kepala Nadya tertunduk ke bawah. Bibirnya bergetar. Matanya terasa panas dan berair. Tak mahu terlalu beremosi, Nadya lekas mengesat hujung mata dengan tisu di tangan. Angkat kepala, Nadya melorek satu senyuman manis buat manusia-manusia yang kini memandang ke arahnya.
Nadya pandang Fareth.
Tahniah. Selamat pengantin baru... suamiku.
YOU ARE READING
The Only One | EBOOK
RomanceTak ada perempuan sanggup bermadu. Tak ada perempuan sanggup berkongsi kasih. Tak ada perempuan sanggup melihat si suami mengulit perempuan lain. Tak ada perempuan yang mampu untuk terus tabah. Selamat pengantin baru, suamiku. Sakit, bukan? Nadya se...