AWAL-AWAL pagi lagi, Nadya dah turun ke dapur menyediakan sarapan pagi bersama Datin Akma dan Mak Usu, pembantu rumah ini. Sejak dia melangkah masuk ke dalam banglo mewah ini lagi, Nadya gemar sediakan sarapan bersama dua manusia itu.
"Mama tengok muka Nad pucat aje ni. Mesti Nad penat. Pergi lah naik rehat kat atas. Tak payah susah-susah buat kerja kat dapur ni. Mama dengan Mak Usu boleh buat kerja-kerja ni semua," Datin Akma sentuh lembut bahu Nadya. Nadya gelak kecil lalu kepalanya digeleng perlahan.
"Takpe, mama. Nad tak penat pun. Kalau Nad tak larat nanti, Nad rehat lah." balas Nadya, berkeras mahu tetap di sini bersama Datin Akma dan Mak Usu. Datin Akma hela nafas panjang. Kesian pula dia dengan menantunya ini. Seminggu ini, emosi Nadya terdera dan terganggu dengan perkahwinan Fareth dan Arina.
Ulang-alik Nadya membawa mangkuk berisi bihun goreng dan beberapa menu sarapan lagi ke ruang makan. Tengok jam, dah pukul lapan tiga puluh pagi. Sekejap lagi turun lah pasangan pengantin baru tu.
"Morning."
Ha, baru aje sebut. Tup tup dah muncul. Memang panjang umur, pendek kaki.
Lewat ekor mata Nadya jeling kemesraan di antara Fareth dan Arina. Ya ampun, gentleman betul siap tolong tarikkan kerusi untuk Arina. Tak cukup dengan itu, dia kibas-kibas lagi kerusi takut habuk melekat dekat kerusi yang bakal diduduki isteri barunya itu. Erk.
Datin Akma muncul selang seminit. Cekap tangan Nadya menuang minuman panas ke dalam cawan.
"Sorry, I tak minum coffee. I nak fresh milk. Thanks." Arina pandang Nadya dan senyum nipis. Nadya hela nafas dalam diam. Baru selangkah dia mahu kembali ke dapur demi mendapatkan susu yang diminta Arina, lengannya ditarik. Terangkat kening Nadya memandang Datin Akma yang lekas menahan.
"Duduk, Nad." arah Datin Akma, tegas.
"Kejap, mama. Nad nak ambil..."
"Nad bukan orang gaji dalam rumah ni. Mama kata duduk." potong Datin Akma masih dalam nada tegas. Mahu tak mahu, Nadya duduk juga di kerusi kosong bersebelahan dengan Datin Akma. Sempat Nadya pandang wajah jengkel Arina yang tak suka bila Datin Akma berpihak kepadanya.
"Susu kat rumah ni dah habis. Coffee aje yang ada." tutur Datin Akma, memandang si menantu kedua. Arina kepal buku lima di bawah meja. Fareth yang menyedari aura dingin di ruang makan itu segera menenangkan si isteri di sebelah. Jemari Arina digenggam.
"You nak teh? I suruh Mak Usu buatkan." Fareth memujuk. Lambat-lambat Arina angguk kepala. Teh pun, teh lah. Asalkan bukan kopi. Apa jenis minuman yang berkait dengan kopi dia tak suka. Pahit dan buat gigi jadi kuning. Urgh!
Nadya capai senduk. Berura-ura mahu menyendukkan bihun goreng ke dalam pinggan Fareth seperti kebiasaan sebelum ini.
"Takpe, I boleh buat." Arina menepis perlahan tangan Nadya. Nadya diam dan cuma akur sambil memandang Arina melayani Fareth di meja makan itu. Nadya sabarkan hati. Begini lah hidup bermadu, Nadya. Walaupun pahit itu di skala sepuluh, kena telan juga.
"Thank you, honey." tutur Fareth mesra. Terkedu Nadya. Fareth tak pernah pun ucapkan terima kasih kepadanya berserta panggilan manja seperti yang diucapkan kepada Arina sekarang ini. Terasa pahanya ditepuk perlahan, Nadya toleh ke sisi. Hanya Datin Akma yang mengerti perasaannya sekarang. Terima kasih, mama.
NADYA duduk bersila di tengah-tengah katil. Album gambar yang disimpan rapi dalam almari dibuka. Tersungging senyuman manis di bibirnya memandang gambar-gambar perkahwinannya dan Fareth dua tahun yang lalu. Walaupun tak banyak gambarnya, tapi cukup lah untuk dijadikan kenang-kenangan.
Jemari Nadya menyentuh raut tampan Fareth. Semakin lama semakin kacak. Semakin lama semakin terserlah aura maskulinnya sebagai seorang ahli perniagaan muda yang berjaya.
Oh, mungkin ada yang tertanya-tanya bagaimana dia boleh berkahwin dengan Fareth. Jawapannya, aturan keluarga. Klise? Ya, memang klise. Arwah papa Fareth dan arwah papanya berkawan baik dari kecil. Kerana desakan dan permintaan arwah Datuk Zain ketika dia sedang sakit, Fareth bersetuju untuk dinikahkan dengan Nadya. Nadya pula, akur saja sementelah dia juga ada menaruh hati kepada Fareth sejak kecil lagi.
Berkahwin dengan Fareth tak ada lah seteruk mana. Fareth bukan spesis lelaki yang baran dan dingin bila kena kahwin dengan perempuan yang dia tak cinta. Fareth masih melayaninya dengan baik sepanjang dua tahun tempoh pernikahan mereka. Nafkah zahir dan batin tak pernah culas. Tapi Nadya yakin dan jelas tentang satu perkara. Dia bukan isteri pilihan Fareth. Perasaan Fareth padanya tidak sampai ke tahap 'cinta'. Baiknya Fareth, lembutnya Fareth padanya kerana dia adalah seorang perempuan dan seorang isteri. Itu saja.
Untuk itu, Nadya tidak menyimpan harapan setinggi gunung untuk Fareth menerimanya sebagai isteri sepenuhnya.
Nadya ingat lagi enam bulan lepas. Fareth dengan tenang dan nekadnya menyatakan hasrat untuk berkahwin seorang lagi. Pilihan Fareth adalah seorang model dan public figure yang sedang meningkat naik. Intan Arina namanya. Cantik, memang cantik. Sebab itu lah Fareth tak teragak-agak mahu menjadikan Arina sebagai isteri nombor dua.
Perasaan Nadya? Fareth takkan pernah peduli pun. Kalau dia membantah, belum tentu Fareth membatalkan niat untuk menikahi Arina. Jadi, Fareth teruskan rancangannya untuk berkahwin dengan Arina. Datin Akma pula? Wanita elegan itu pada awalnya membantah sekeras-kerasnya rancangan Fareth. Seminggu juga dua beranak itu bermasam muka. Fareth langsung tak mahu beralah dengan ibu sendiri. Yang dia mahu, Arina harus menjadi isterinya.
Tak betah melihat kedinginan dua beranak itu, Nadya tampil menjadi wanita paling kuat. Dia lah yang memujuk Datin Akma untuk mengizinkan Fareth berkahwin lagi. Dia lah yang secara sukarelanya menghulur tangan untuk memastikan majlis perkahwinan Fareth dan Arina berjalan dengan sempurna. Dia juga lah yang menyiapkan Fareth pada pagi hari majlis akad nikah akan berlangsung.
Tak pernah pun terlintas di fikiran Nadya bahawa dia akan dimadukan. Mungkin dia belum cukup sempurna di mata Fareth. Mungkin usahanya untuk buat Fareth jatuh cinta padanya tak berhasil.
"Saya sentiasa doakan kebahagiaan awak, Fareth..." monolog Nadya sendiri. Tak sedar pipi sudah dicemari cecair jernih. Makin lebat air matanya merembes keluar memikirkan nasib diri sendiri.
YOU ARE READING
The Only One | EBOOK
RomanceTak ada perempuan sanggup bermadu. Tak ada perempuan sanggup berkongsi kasih. Tak ada perempuan sanggup melihat si suami mengulit perempuan lain. Tak ada perempuan yang mampu untuk terus tabah. Selamat pengantin baru, suamiku. Sakit, bukan? Nadya se...