Shah Alam, 2013
APABILA jam sudah menginjak ke angka 3.50 petang, aku mula hilang fokus pada topik kuliah yang sedang dibincangkan oleh Profesor Alagan di hadapan. Fikiran aku mula melayang ke satu wajah dan hati mula dilanda keterujaan. Tanganku perlahan-lahan mengemas barang-barang di atas meja. Bersedia untuk keluar apabila jam menunjukkan tepat ke angka empat.
Mata dilirik ke arah jam di pergelangan tangan. Merenung jarum jam yang sedang bergerak. Hati mula menghitung detik. Lima puluh enam. Lima puluh tujuh. Lima puluh lapan. Lima puluh sembilan. Dan...
"Okay, class. We'll stop here. Class dismissed."
Yes! Hatiku menjerit. Girang. Laju aku bangun dari kerusi. Beg dicapai dan disandang. Dengan pantas, kaki melangkah ke pintu bilik kuliah.
"Weh, Aurora! Kau nak pergi mana?!" jerit Phia.
Aku menoleh ke arahnya. Tanpa berhenti melangkah. Sekadar tersengih dan melambai-lambaikan tangan. Dan bila aku toleh ke hadapan semula...
Pap!
Wajah comelku tersembam ke belakang tubuh seseorang. Aroma wangian lelaki menusuk ke rongga hidung. Aku kenal bau ini. Kakiku segera berundur beberapa tapak ke belakang. Menjarakkan diri dengan lelaki yang berdiri membelakangiku.
Mataku masih tertancap pada tubuh yang berbalut T-shirt berwarna biru gelap. Tubuh itu berpusing. Menghadapku. Mataku perlahan-lahan bergerak ke atas. Dari dada bidang si pemilik tubuh, ke bahagian leher yang jelas kelihatan halkumnya, naik ke bahagian dagu yang berkumis nipis, ke bibir, hidung dan mata.
Jeda. Mata bertemu mata. Aku telan liur. Kenapa dia?
Lelaki di hadapanku kini sudah bersilang tangan ke dada. Menatapku bersama hujung bibir terherot ke kiri. Sinis. Keningnya dinaikkan. Seakan-akan menanti sesuatu daripadaku. Penjelasan? Atau ungkapan maaf?
Maaf?
Bibirku pula yang tersenyum sinis. Perkataan itu tidak mungkin akan aku ucapkan pada dia. Bukan sebab ego. Bukan juga sebab aku bongkak, angkuh. Cuma lelaki seperti dia tidak layak untuk mendengar ungkapan itu dari mulutku.
I hate him.
Itu fakta.
I despise him.
Ini juga fakta.
Jadi, untuk apa ungkapan maaf diucapkan pada lelaki yang aku benci sepenuh hati? Sia-sia.
Aku larikan pandangan ke tempat lain. Sekali gus mematikan renungan mata kami. Tanpa sepatah bicara, aku kembali melangkah. Cukup selamba. Sedikit pun tidak mempedulikan si dia yang masih merenungku.
Namun, tidak sampai lima tapak melangkah, beg sandangku ditarik. Tubuhku terdorong ke belakang. Hampir sahaja aku jatuh ke dalam dakapan dia kalau aku lambat stabilkan badan. Terus aku palingkan wajah. Pandang dia dengan pandangan yang cukup tajam. Penuh kebencian.
"Kau dah kenapa?" marahku sambil sebak rambutku yang terjuntai ke belakang.
"Kau nak pergi mana?" soalnya tanpa nada. Tidak terkesan dengan amarahku.
"None of your business," jawabku bersama jelingan tajam sebelum aku berjalan tinggalkan dia.
Kakiku melangkah laju. Dari dewan kuliah, aku menuju ke tangga. Menyelit di antara pelajar-pelajar lain yang sedang turun tangga. Dari aras empat hingga ke aras bawah. Langkah kaki aku ayun ke tempat parkir motor.
Oh, damn! Motor siapa pula yang dah block motor aku ni?
Hatiku merungut geram bila aku nampak ada motor lain di belakang motorku. Motor itu aku perhati. Macam motor mamat tu. Aku kerling nombor plat motor.