Sudah seminggu berlalu sejak kejadian di gelanggang bola keranjang. Sudah seminggu juga Eid dingin dengan aku. Tak pandang. Tak bercakap. Buat-buat tak nampak aku. Aku tak kesah pun. At least, dia tak ada kacau aku lagi. Dan hati aku pun tak sakit bila kena kacau. Satu minggu yang aman. Kalau berterusan macam ni pun aku tak kesah.
Sungguh.
Cuma... Aku tak faham apa yang dia marah sangat dekat aku. Pasal Lyn? Pasal Sein? Tapi bukan aku yang ajak Lyn pergi situ. Lyn pun dah jelaskan dekat dia. Dah tu, dia marah pasal apa? Apa yang dia tak puas hati? Dia boleh aje berbaik dengan Lyn. Tak ada pun nak dingin dengan Lyn lama-lama macam ni. Malam kejadian dia orang dah berbaik. Dah tu, aku? Apa salah aku?
Aku. Cuma. Tak. Faham.
Itu sahaja. Aku tak kesah langsung dia nak ignore aku. Sumpah.
Tapi sampai bila dia nak elakkan diri dari aku? Malam ni kita orang akan jumpa juga. Esok Lyn akan balik ke London. So, malam ni famili aku akan makan malam bersama famili Lyn. Famili di sini bermaksud aku, papa, mama, Uncle Hairi, Auntie Sue, Lyn dan Eid.
Lima minit sebelum kelas bermula, mataku tertancap ke arah Eid yang baru tiba. Cepat-cepat aku larikan pandangan. Dia pun tak pandang aku. Aku tumpukan perhatian ke arah lain. Ke arah nota-nota di depanku.
Tiba-tiba...
Dari ekor mata, aku nampak Eid berhenti di tepi meja. Aku terkaku. Tak sangka dia akan berhenti kat tepi meja aku. Entah kenapa, aku tak berani angkat kepala. Menunduk aje. Hanya perhati dari ekor mata.
Eid letak sebuah bekas makanan di atas meja aku dan tanpa sepatah kata, kembali menyambung langkah. Aku kerling bekas makanan yang Eid letak. Hati aku dilambung tanda tanya.
Kenapa bekas makanan yang Lyn bagi kali ni simple? Tak ada balutan furoshiki pun.
Lagi satu, kenapa Lyn tak bagi masa aku jumpa dia pagi tadi? Kenapa dia pass pada Eid? Lyn sengaja nak suruh abang dia pass dekat aku ke? So that we can have an interaction. A little, at least.
Argh, lantaklah. Yang penting pagi ni aku ada breakfast. Sejak Lyn manjakan aku dengan bekal-bekal makanan dia, perut aku ni asyik minta diisi aje setiap pagi. Dulu tak ada pula. Tak breakfast pun, tak ada hal. Acah-acah intermittent fasting gitu.
Aku capai bekas makanan di hujung meja. Mata aku membulat. Wow! Lyn macam tahu-tahu aje aku nak sandwich wanpaku. Semalam aku baru aje share resipi sandwich ni kat Facebook. Konon hujung minggu ni nak buat. Kononlah.
Tangan aku laju mencapai telefon. Klik!
Thank you for the sandwich.
Kau nampak aku share resipi ni kat FB ke?
Aku nampak Lyn tengah online. Dan tak lama kemudian, perkataan online bertukar kepada typing...
Aku tunggu gadis itu balas WhatsApp.
Aku memang nampak kau share resipi tu.
Tapi... Mana kau dapat?
Aku terkesima.
Bukan kau yang bagi aku ke?
Dan jawapan Lyn membuatkan mata aku terbuntang besar.
Tak. Aku tak bagi kau apa-apa pun.
Aku kan dah lama tak bagi kau bento box. Malas.
Mana kau dapat?
Bibirku terketap rapat. Takkan Eid yang bagi aku sandwich ni?