Aku keluar dewan bersama senyuman lega. Yes! Mid term test dah habis. Lepas ni, tak ada lagi muka aku dekat library tiap-tiap hari. Tak ada lagi sesi nak kena hafal teori, hafal formula. Tak ada lagi nak berjaga malam untuk ulang kaji. Tak ada. Kena tunggu musim final exam pula. Iaitu tiga bulan lagi.
"Aur!"
Langkahku terhenti. Aku berpaling ke belakang. Memandang Phia yang sedang menghampiriku.
"Kau nak terus balik rumah ke?"
Aku mengangguk.
"Budak-budak kelas kita ajak main bowling. Kau tak nak join ke?"
Kepalaku terus menggeleng.
"Aku nak balik tidur. Dah beberapa hari aku tidur tak betul."
"Alah, kita main bowling dululah. Malam nanti kau tidurlah puas-puas. Esok bukan ada kelas pun."
Tika itu, mataku tidak semena-mena bertemu pandang dengan Eid. Kami saling berpandangan. Tapi hanya buat beberapa saat. Lima saat mungkin. Eid yang melarikan pandangannya ke arah lain. Bukan aku. Aku masih memandang ke arahnya. Memandang dia yang sedang berbual dengan kawan-kawannya.
Entah kenapa aku rasa macam Eid sedang jauhkan diri dari aku. Tapi aku tak tahu kenapa. Aku tak tahu apa sebabnya. Kalau nak tahu, aku dah lama tak jumpa Eid melainkan waktu kami dalam dewan peperiksaan. Aku rasa semuanya bermula sejak Eid blah macam tu aje masa kita orang study group kat library. Tapi di manakah silapnya?
Mula-mula aku tak kesah sangat kalau Eid tak nak bertegur sapa dengan aku ke, nak jauhkan diri dari aku ke... Sumpah, aku tak kesah. Sebab kita orang tak pernah rapat. Aku kenal dia sebagai abang Lyn. Dan juga sebagai rakan sekelas aku kat universiti. Itu sahaja. Jadi, bila aku dah lama tak jumpa Eid, aku rasa ia sesuatu yang normal.
Tapi bila ada satu hari tu aku terserempak dengan Eid masa nak pergi dewan dan Eid pura-pura tak nampak aku, aku mula ambil kesah. Macam... apa salah aku? Kenapa dia blah macam tu aje? Kenapa dia tak tegur aku? Aku ada buat salah ke? Aku jadi tertanya-tanya. Dan sehingga hari ini aku masih tertanya-tanya. Sudahlah sebelum tu Eid layan aku baik giler. Ajak makanlah, ajak pergi kelas sama-samalah, bagi aku sandwichlah...
Pelik, kan?
"Aur, Aur," panggil Phia sambil mengawang-awangkan tangannya depan muka aku.
Aku tersentak. Tersedar ke dunia nyata.
"Kau dengar tak apa yang aku cakap?" soal Phia.
"Errr... apa kau cakap tadi? Sorry, aku tak berapa nak fokus."
Phia menghembus nafasnya sedikit kuat. Geram dengan akulah tu.
"Kau fikir apa sampai tak dengar apa yang aku cakap?"
Aku tarik sengih.
"Tak ada apa-apalah. Aku tengah fikir bantal peluk kat rumah aku," selorohku.
Phia sengetkan mulut.
"So, kau memang tak nak join kita oranglah ni? Gaya macam tak sabar aje nak terkam katil."
Aku menganggukkan kepala.
"Yes!"
Aku ukirkan senyum.
"Aku mengantuk sangat ni, Phia. Aku tak sabar nak balik rumah, nak tidur. Kau orang pergilah have fun."
"Hmmm, yalah... tapi semua orang pergi tau. Kau sure tak nak ikut?"
Aku menyeringai bersama anggukkan di kepala.