RABU seterusnya. Rutin yang sama. Pukul empat petang. Di perpustakaan. Duduk di meja yang sama. Begitu juga dengan dia. Begitulah Rabu-Rabu aku yang seterusnya. Cuma kadang-kadang kedudukan kami sahaja yang berbeza.
Namun, aku masih berjaya cari tempat yang strategik untuk memandang dia. Rutin ini berterusan selama berminggu-minggu. Sehinggalah satu Rabu...
Pap!
Kepalaku yang sedang tunduk mencatat sesuatu diketuk dengan satu benda seakan-akan fail. Tidak sakit. Tapi menyebalkan. Terus aku dongakkan kepala mencari si pelaku. Aku tahu itu bukan satu kemalangan. Tetapi satu tindakan yang disengajakan.
Mataku terbuntang luas.
Eid!
Apa dia buat kat sini? Macam mana dia boleh ada kat sini?
Bola mataku yang masih terbuntang bergerak mengikut pergerakan si pelaku yang kini sudah jatuhkan duduk di depanku. Dengan selamba. Bersahaja. Sekali gus menghalang pemandanganku daripada si 'dia'.
"Kat sini rupanya kau..."
Bicara itu diluah senada.
Bibirku terkatup rapat. Liur tertelan perit. Dia tahu ke? Dia tahu ke kenapa aku selalu ke sini?
Kepala Eid menoleh ke kiri dan kanan. Meliarkan matanya ke segenap ruang perpustakaan. Bagaikan mencari sesuatu.
"Kenapa sini?" soalnya masih dengan nada yang sama.
"Hah?"
Aku pamer wajah blur.
Eid kembali menumpukan pandangan ke arahku. Membalas renungan kosongku.
"Kenapa kau selalu datang sini? Kenapa tak pergi library kita aje?"
"Nothing," jawabku senaif yang mungkin. Cuba menyembunyikan sebab sebenar.
Belum sempat Eid nak buka mulut, aku dah sambung bicara. Melontarkan soalan pada dia.
"Kau buat apa pula kat sini?"
"Cari kau," balas dia. Selamba. Jari-jemarinya mengetuk meja. Perlahan. Hujung bibirnya tersenyum nipis. Tampak sedikit nakal.
Eid gerakkan tubuh mendekat ke meja. Mendekati aku yang masih mampu beriak biasa.
"Cari sebab kenapa kau selalu tergesa-gesa nak balik lepas kelas Prof. Alagan..."
Bicaranya sengaja dileretkan dengan nada nakal. Tubuhnya dijauhkan semula. Disandar pada kerusi. Tampak santai.
"Dan sekarang bila aku dah tahu kau pergi mana, aku nak cari sebab kenapa kau selalu datang sini pula."
"Hah? Seriously? Kenapa pathetic sangat hidup kau? Suka hatilah aku nak pergi mana sekalipun," tempelakku. Sedikit hilang sabar bila mendengar bicara lelaki itu.
Eid tidak beriak. Kosong. Seakan-akan tidak terkesan dengan tempelakanku. Dia dengan selamba tarik buku nota di depanku. Matanya terarah pada catatan tulisan tanganku.
"Rajinnya. Sejak bila jadi library girl? Atau..."
Mata Eid melirik ke sekeliling sebelum dia menumpukan pandangan ke arahku.
"Ada sesuatu dekat sini yang tarik perhatian kau?" soal lelaki itu. Penuh rasa curiga.
"No!"
Laju aku menjawab.
"Aku tak jumpa apa yang special pasal library ni. Tapi aku yakin ada sesuatu yang buat kau selalu pergi sini. Ada sesuatu yang special untuk kau. Ini yang perlu aku siasat. Sebab aku tahu kau takkan bagi tahu aku."