PROLOG

8 1 0
                                    

Tuhan...menyintainya adalah sebuah anugerah terindah dari Mu, dalam diam dia mengetuk pintu hati, tidak banyak kata-kata pujangga darinya yang hadir hanya sekuntum senyuman dalam rangkaian puisi dengan judul diam dan sedikit pandangan penuh makna. Seperti cinta Fatimah Az-Zahra pada Ali begitulah cinta mereka.

Dia banyak menyedarkan hati ini sebuah cinta dalam diam bukan hanya cinta bisu, dari tingkah-lakunya gerak isyarat tangannya antara momen-momen paling indah buatku. Pandangan matanya disulam dengan senyuman yang jujur membuatkan hati ini bersuara, kalau begitu aku juga mahu jadi bisu biar semua tampak jujur bila hati kita bertaut, yang bersuara hanya sang hujan yang merintik jatuh ke tanah disambut rindu oleh rerumput lalu menjadi embun pagi.

Liya memerhatikan sahaja hujan yang mengalir di luar jendela, dia kemudian mendongak ke atas, tidak lama hujan mulai reda, namun dia masih disisi jendela itu bermain-main dengan titis hujan yang mengalir, dia hampir lupa ada sesuatu yang dia harus siapkan di dapur.

Ting! Bunyi loceng petanda dari ketuhar pembakar mengejutkan Liya yang sedang asyik bermain-main dengan linangan air hujan tadi. Lekas-lekas Liya berlari anak menuju ke ketuhar pembakarnya, dia kemudian mengeluarkan sedulang kek cawan kopi madu, harumnya semerbak membuatkan Liya tidak sabar untuk menikmatinya bersama suami tersayang.

Liya masih sibuk di ruangan dapur dia menyiapkan minuman petang buat silelaki yang sedang bertungkus-lumus mengecat kanvasnya sejak dari malam semalam lagi. Kasihan lelaki itu, tidurnya hanya beberapa minit sahaja, lelaki yang sangat kuat bekerja dan rajin itu tidak pernah kenal erti lelah. Tahun lalu sahaja lelaki itu baru menamatkan pengajiannya di peringkat master dan tahun hadapan pula bercadang untuk menyambung P.h.d nya. Itulah istimewanya lelaki itu di mata Liya. Rajin dan tekad, seperti mana tekadnya dia untuk melamar Liya dulu, walau seribu satu macam ujian yang melanda dia tetap berusaha.

"Aduhai! Kenangan itu sangat indah!" hati Liya berbisik senyuman manis menguntum lagi panjangsampai ke telinga dan berseri-seri naik ke muka.

Sejak minggu lalu lagi lelaki itu meminta Liya menemaninya di studio kecil yang terletak di belakang rumah mereka. Liya bukan tidak mahu, namun Liya agak kepenatan dan sering mengalami morning sickness yang teruk, namun lelaki itu cukup faham dengan keadaan yang Liya alami sekarang. Lalu dia sediakan sebuah katil kecil di suatu sudut di ruang studionya buat Liya beristirehat. Dengan harapan, Liya akan sentiasa berada di sampingnya saat dia ingin berkarya.

"Liya umpama warna dalam hidup saya, saya adalah kanvasnya, cinta kita adalah berus tanpa Liya, dan cinta kita kanvas saya kosong tanpa warna" Liya masih lagi teringat kata-kata itu, sebelum mereka diikat sebagai suami isteri 2 tahun yang lalu, ia amat mendamaikan hatinya walaupun kata-kata itu hanya dirasai dalam hati, sehingga sekarang Liya tidak akan pernah lupa.

Setelah siap minuman petang itu, Liya menjenguk sebentar lelaki yang masih sibuk dengan kanvasnya. Itulah dia, lelaki pujaan hati Liya, lama juga dia mengintai di balik jendela kayu studio itu, lelaki itu tidak sedar kedatangan sang pengintip ini. Liya tersenyum indah sambil mengusap lembut perutnya yang hampir memboyot itu.

Aku tidak pernah mengharap keajaiban berlaku setelah hujanteduh, tapi cukup sahaja bagi ku selingkar pelangi indah yang akan membuat kumenguntum senyum ~ Liya tersenyum manis sendirian.

pluviophileWhere stories live. Discover now