PERBINCANGAN di dalam pejabat Izz tamat setelah hampir dua jam berlalu dan sebuah perjanjian persetujuan ditandatangani. Nasib tak bergusti selepas komen biadab Izz tadi. Dan, Izz pula dengan sukarela menawarkan diri untuk menghantar mereka turun semula ke tingkat bawah.
Kerajinan yamg sangat tak wajar bagi Amaya tapi dia tak menghalang. Apatah lagi bila Fatihah sudah tersengih-sengih seronok. Mata pun tak lepas dari memandang Izz. Entah salin atau tidak minit mesyuarat mereka tadi. Kalau tak, siaplah dia kerjakan nanti!
Masuk ke dalam lif, mereka hanya bertiga tanpa penumpang yang lain. Sunyi sepi. Tiada yang bersuara. Sehinggalah Amaya tersentak apabila Izz tiba-tiba beranjak setapak ke arahnya. Dekat, tapi tak terlalu rapat.
Apabila kepala diangkat, wajah Izz hanya selamba. Macam tak buat apa-apa. Amaya hanya diam. Biarkan sahaja asalkan Izz tak mengganggu keamanan sejagat dia.
Dan, apabila Izz beranjak setapak lagi, kedudukan mereka kini betul-betul saling bersebelahan. Hampir bahu bertemu bahu, membuatkan Amaya tak selesa. Nak-nak pula dia yang berdiri di sebelah dinding. Lagilah rasa terhimpit.
Tapi, apa yang buat dia lebih tak selesa ialah bau perfume yang mula menusuk hidung. Tajam. Bau lelaki. Siapa lagi kalau bukan bau Izz Ishraq?
Isy, busuklah!
"Paco Rabanne Invictus."
Huh? Amaya angkat kepala. Apa dia sebut tadi?
"Perfume yang saya pakai. Paco Rabanne Invictus. Quite expensive. Wangi, kan? Tak semua perfume lelaki itu busuk." Bersuara perlahan, bahkan hampir berbisik.
Dan-dan buat wajah Amaya bertukar. Mata terus memandang Izz yang jauh lebih tinggi darinya sehingga dia terpaksa mendongak. Bukan terkejut dengan nama yang disebut tapi ayat yang keluar setelah itu.
Dia dengar? Dia ada dalam lif tadi?!
Izz senyum. "Jadi, macam mana?"
Entah kenapa, otak tak boleh nak hadam soalan itu. Macam mana apa? Macam mana bau perfume dia ke?
"Bau biasa aje." Amaya rapatkan diri dengan dinding di sebelah. Tak tahu kenapa, tiba-tiba rasa cuak sebab Izz dah dengar ayatnya dengan Fatihah tadi. Tapi rasanya tadi, dia bercakap secara berbisik aje dengan Fatihah. Isy!
Izz senyum. "Saya tak tanya pasal perfume saya."
Kening berkerut. "Habis itu?"
"Saya tanya, macam mana rasanya jumpa pengarah kacak macam saya? Saya tak pondan, tapi senang nak handle, kan?"
Dan kali ini, jantung Amaya rasa hampir gugur ke lantai. Ya Allah, berapa banyak dia dah dengar ini? Ini semua Fatihah punya pasal!
Izz ketawa perlahan. Bukan niat hendak mencuri dengar pun tadi, tapi tak sengaja terdengar Fatihah menyebut perkataan 'pengarah kacak' itu. Siapa lagi pengarah yang dimaksudkan kalau bukan dia? Dan, dia jugalah yang memberi isyarat agar pekerja-pekerja di dalam lif tadi beranjak menjauh sedikit.
YOU ARE READING
HER, COFFEE | completed ✓
Romance𝐀𝐌𝐀𝐘𝐀 𝐀𝐃𝐙𝐑𝐀 - Dia sukakan kopi. Cintakan minuman itu sehingga kini bergelar pengusaha francais kopi terkemuka, Her Cuppucino. Dan sebagaimana kopi, sebegitulah Amaya. Keras dan pahit. Tapi, Amaya bencikan kopi hitam! Jangan setitik pun ko...