Noh Daniel&Nur Nadia Part 17

534 23 0
                                    

Noh Daniel menyembunyikan senyumannya. Apabila Nadia memandang ke arahnya dia seriuskan kembali wajahnya. Apabila Nadia tidak pandang, senyuman kembali terukir. Hatinya terlalu gembira, gembira dengan berita itu!

"Awak tak perlu risau, awak jangan fikirkan pun. Saya boleh uruskan." Nadia bersuara setelah lama mendiamkan diri. Nadia takut, takut melihat wajah Noh Daniel begitu. Marah? Tertekan? Nadia tidak dapat mentafsirkan.

"Boleh tak kalau awak yang jangan fikir lebih-lebih?" Nadia terdiam. Serius dan tegas sahaja suara Noh Daniel. Seperti Noh Daniel yang pertama kali dia kenal dahulu. Noh Daniel yang melihat Nadia melangkah lambat-lambat di belakangnya membuatkan dia menarik tangan Nadia dan terus menggenggam erat. Noh Daniel menarik Nadia supaya berjalan seiring dengannya.

"Awak fikir terlalu jauh untuk orang lain sampai awak lupa nak fikir tentang diri awak sendiri." Tutur Noh Daniel membuatkan Nadia memandang tidak berkelip. Apa yang dimaksudkan Noh Daniel? Kata-kata itu terlalu dalam untuk Nadia fikirkan ketika itu. Genggaman tangan dieratkan. Mereka berdua berjalan seiringan ke kereta. Tiada bicara. Tiada kata. Hanya hati yang menuturkan segala-galanya. Ketika itu ada mata yang memandang, penuh kebencian dan marah. "Jaga kau Nadia!"

Usai solat Jumaat di Masjid berdekatan, Noh Daniel memandu kereta pulang ke rumah. Banyak yang didoakan sepanjang di dalam rumah Allah. Semuanya untuk dia dan Nadia.

"Ya Allah, kiranya keputusan yang aku putus dengan petunjuk Engkau berikan adalah keputusan yang terbaik yang pernah aku lakukan. Terima kasih Allah. Semoga aku mampu menyinarkan bahagia buat Nur Nadia, isteri yang Engkau hadirkan dalam hidupku. Amin Ya Rabbal'alamin."

Nadia mencari-cari beg pakaian yang diletakkan di penjuru dapur pagi tadi. Jam sudah menginjak ke jam 4 petang tetapi dia belum lagi bersiap. Periuk-periuk diangkat, mencari begnya yang tidaklah besar mana. Sesekali Nadia mengeluh.

"Cari apa?" Noh Daniel yang telah lengkap berbaju melayu ungu menegur, setelah melihat Nadia terbongkok-bongkok di dapur.

"Beg baju saya." Ujar Nadia.

"Abang dah bawa naik ke bilik." Nadia memandang dua kali ke arah Noh Daniel. Seakan tidak percaya dengan apa yang didengar. Silap kut?

"Dah pergi naik cepat. Dah lewat ni." Tegur Noh Daniel setelah Nadia masih tercegat di situ memandangnya tidak berkelip mata.

"Okay, saya... saya naik dulu." Nadia sudah gagap-gagap, tertangkap asyik memandang suaminya. Laju sahaja kaki di atur naik ke bilik. Hampir dua bulan tidak ke mari. Sepanjang Noh Daniel tiada, Nadia mengelakkan diri untuk datang ke sini. Kalau datang pun dia tidak masuk ke bilik Noh Daniel lebih selesa bersama Nuha dibiliknya. Masuk sahaja ke bilik, mata Nadia tertancap ke arah jubah Abaya yang tergantung di bidai tingkap. Ungu berbunga merah jambu. Kakinya terus sahaja melangkah mendapatkan jubah itu. Tangannya menyentuh perlahan. "Cantik." Detik hatinya sehingga sebuah senyuman terukir di bibir.

"Pakailah. Untuk sayang." Suara yang menjengah di bilik itu mengejutkan Nadia yang berada dalam lamunan. Nadia kalih memandang. Tak salah telinganya mendengar? Sayang?

"Untuk saya?" Tangan Nadia menunjuk ke dirinya. Takut tersalah mendengar.

"Ya. Abang beli untuk sayang. Pakailah. Tudung ada dalam almari. Abang tak pandai gosok tudung tu sebab tu tak gantung sekali." Ujar Noh Daniel dalam senyuman tak lekang. Nadia dihampirinya. Pandangan Nadia ketika itu telah kabur dek air mata. Betul, telinganya tidak salah mendengar. Tapi kenapa? Hati Nadia masih meragui. Setelah sebulan lebih tidak bertemu dan berhubung, kolam hatinya sudah kering.

"Lah... kenapa diam pulak ni? Sayang?" Noh Daniel menarik tubuh Nur Nadia supaya memandang ke arahnya. Air mata Nadia sudah mengalir laju sebaik sahaja Nadia memejamkan matanya. Tubuhnya terhenjut-henjut dek tangisan yang kian menjadi-jadi. Noh Daniel kaget namun terus sahaja tubuh Nadia ditarik ke dalam pelukan. Rindu. Noh Daniel rindu akan Nur Nadia. Pelukan kian erat dan hangat dengan kerinduan. Nadia menangis lagi.

N & NWhere stories live. Discover now