Noh Daniel&Nur Nadia - AKHIR

709 33 5
                                    


Perjalanan yang memakan masa lebih kurang 10 jam akhirnya tiba di destinasi. Nadia membetulkan duduknya. Sedikit resah sebaik sahaja tiba di Tol Utara, Alor Setar. Nafas ditarik dalam-dalam. Tiga tahun setengah tidak pulang ke sini, beberapa perubahan kelihatan dari pandangan Nadia.

10 minit dari Tol Utara ke rumah Pak cik Salleh. Rumah kelihatan sunyi sepi seperti tiada sesiapa. Rumah juga kelihatan seperti sudah lama ditinggalkan. Salam diberikan beberapa kali namun tiada jawapan.

"Macam dah tak tinggal sini je." Suara Noh Daniel.

"Itulah. Nadia pun dah lama tak balik, lama tak call pak cik mak cik..." Nadia membalas dengan keluhan. Walaupun hatinya berdebar seribu rasa, namun jauh dalam hati dia mahu bertemu empat mata dengan mereka.

"Assalamualaikum." Satu suara menyapa mereka. Noh Daniel dan Nadia kalih memandang sambil menjawab salam.

"Mak Yah!" Nadia meluru memeluk perempuan yang agak berusia itu.

"Ya Allah Nadia, aku ingat aku dah tak boleh jumpa hang lagi dah. Hang pi mana nak oi?" Mak Yah sudah meramu air mata. Nadia dipeluk erat.

"Nadia sambung belajar la Mak Yah, bukan pi mana-mana pun." Nadia menjawab dengan senyuman.

"Ni sapa?" Mak Yah menyoal, menunjuk kepada Noh Daniel.

"Suami Nadia. Noh Daniel." Noh Daniel menunduk sedikit tanda hormat.

"Allahuakbar! Bila kahwin? Patutlah meroyan Tuan Hassan tu..." Mak Yah ketawa kemudiannya. Nadia tersenyum.

"Dekat 5 bulan dah. Alhamdulillah."

"Hang cari Salleh dengan Leha ka?" Ujar Mak Yah lagi.

"Aah Mak Yah. Mana pak cik dengan mak cik? Macam tak ada dekat rumah je..."

"Hang tak tau ka Nadia? pak cik hang dah tak dak, bulan lepas. Leha dekat penjara. Leha tikam Salleh." Nadia menekup mulutnya. Kaki terasa lembik mendengar perkhabaran itu. Mujur sahaja Noh Salleh setia di sisi, menahan Nadia yang hampir terjatuh.

"Tikam? Kenapa Mak Yah?" Noh Daniel menyoal.

"Pasai juai Irma dekat Tuan Hassan. Lepas tu nak juai Leha dekat Ah Long pulak. Leha marah sangat. Salleh balik mabuk-mabuk malam tu, terus cakap yang satgi ada orang nak ambik Leha sebab dia dah juai. Apa lagi Leha yang dok marah lagi pasai Irma terus ambik gunting tikam Salleh." Mak Yah menceritakan hal yang berlaku.

"Astagfirullahal'azim."

"Irma macam mana? Saya nak jumpa dia." Nadia kemudian menyoal. Mak Yah berwajah kelat.

"Tak payahlah jumpa dia. Hang pun tau kan macam mana keadaan bila dah jadi isteri Tuan Hassan?" Mak Yah melarang.

"Tapi kami datang nak bawa Irma keluar dari sini." Noh Daniel menambah.

"Jangan buat kerja gila. Irma dah sah jadi bini dia. Hampa dah elok berdua, tak payahlah cari bala." Mak Yah melarang. Nadia yang memahami sekadar diam. Noh Daniel berkerut dahi, tidak faham.

"Kalau didera boleh buat laporan polis. Kita guna undang-undang negara." Noh Daniel masih mencuba. Niat dia cuma mahu membantu Irma, sebagaimana kehendak Nadia.

"Memang ada undang-undang tapi bagi Mak Yah biarlah. Habuan dia. Satu kampung tau dah perangai depa satu keluarga ni. Hampa anggap ja lah ini hukuman Allah buat depa satu keluarga atas apa yang depa buat selama ni." Mak Yah menasihatkan.

"Irma dok rumah mana Mak Yah?" Nadia menyoal, tetap mahu bertemu Irma Hanani.

"Rumah Iklima. Hang ingat dak?" Nadia mengangguk. Mak cik Iklima, bekas isteri Tuan Hassan yang berjaya keluar dari genggaman Tuan Hassan. Sebelum Nadia keluar dari kampung, rumah itu masih kosong. Kiranya jika dia tidak lari dahulu, mungkin rumah itu menjadi penjara buat dirinya. Nadia mengucap syukur di dalam hati.

N & NWhere stories live. Discover now