Teaser 5

535 18 0
                                    


“Ehem...”

Tegak terus tubuh Kamilia. Laju dia menoleh ke sisi. Melihat lelaki itu muncul, senyuman lebar terus terukir di bibirnya. Pipi yang basah itu diseka laju.

“Tuan datang.”

“Kalau saya tak datang, awak nak meraung dekat sini sampai pagi esok.”

Terdiam Kamilia. Melihat raut wajah Ghibran yang tegang itu, jelas menunjukkan lelaki itu tidak senang dengan permintaan tadi.

“Saya minta maaf ganggu tuan. Tapi saya betul-betul perlukan pertolongan dari tuan.”

Ghibran merengus kasar. Dia segera duduk di hadapan Kamilia. Semasa pelayan muncul di meja mereka, Ghibran menggeleng kepala tanda tidak mahu membuat pesanan.

“Five minutes.”

Terkebil-kebil mata Kamilia.

“Masa berjalan. Cakap cepat.”

Kamilia sudah gelabah. Tak mungkin dalam masa lima minit dia perlu jelaskan semuanya. Melihat renungan tajam Ghibran, hilang terus perkara yang dirancang dalam kepalanya tadi.

“Three minutes.”

“Err... saya nak tuan jadi suami saya.” Dalam satu nafas, Kamilia berjaya berterus-terang.

“What?” Hampir tak terkeluar suara Ghibran.

“Saya...saya nak kita teruskan rancangan keluarga kita.”

Ghibran tersenyum sinis. Dia kemudian berdiri di hadapan Kamilia. Menyesal pula dia mengikut kata hatinya untuk datang ke sini.

“Awak betul-betul dah buang masa saya. Tak sangka, awak sanggup jilat ludah awak balik.”
Terpukul Kamilia. Dia sedar apa yang dilakukan dulu sangat menyakitkan hati lelaki itu. Pada masa itu dia hanya memikirkan masa depan Ghibran. Tak mungkin dia bersetuju selepas diberi ugutan oleh mak su. Tapi selepas mengetahui rancangan mak su, dia sanggup berkahwin dengan lelaki itu.

“Sekarang saya dah menyesal. Tolong sa...”

“Saya tak nak. Perempuan macam awak ni, tak layak jadi isteri saya. Kalau awak tak minta untuk batalkan rancangan keluarga kita, saya memang tak nak teruskan perkahwinan yang mengarut ni. Awak tak setaraf dengan saya.”

Bergenang tubir mata Kamilia. Terasa seolah-olah maruahnya hanya di tapak kaki lelaki itu. Tapi dia sudah tiada pilihan. Hanya ini saja cara untuk dia selamatkan diri.

“Tapi tuan...”

Tidak mahu membuang masa, Ghibran terus melangkah keluar dari kafe itu. Tercengang Kamilia. Dia segera mengejar lelaki itu dari belakang. Langkah Gibran semakin laju menuju ke kereta. Belum sempat dia membuka pintu kereta, Kamilia berdiri di hadapannya.

“Tolong saya tuan. Hanya tuan saja yang boleh tolong saya. Saya janji takkan minta tuan bertanggungjawab ke atas saya. Tuan boleh kahwin dengan saya untuk sehari saja. Lepas tu, tuan boleh ceraikan saya,” rayu Kamilia sambil menggosok kedua tangannya.
Hampir terbuntang biji mata Ghibran mendengar rancangan gila Kamilia.

“Awak memang dah gila agaknya. Hari tu awak merayu untuk batalkan perkahwinan kita. Sekarang kenapa tiba-tiba nak teruskan?” soal Gibran dengan suara celah gigi.

Terasa dirinya seperti dipermainkan pula. Nampak saja gadis di hadapannya berwajah polos. Tapi siapa sangka gadis ini juga bijak membuat rancangan bodoh di belakang keluarga mereka.

“Saya betul-betul perlukan pertolongan tuan. Saya... saya dah tak ada cara lain.”

“Keputusan saya muktamad. Saya takkan teruskan rancangan keluarga kita. Ke tepi!”

Tangan Kamilia ditarik kuat supaya dia dapat membuka pintu kereta. Jeritan Kamilia yang nyaring mengejutkan Gibran. Dalam sekelip mata saja wajah itu sudah lencun dengan air mata.

Kamilia terduduk sambil memeluk tangan kirinya. Gibran masih beriak keliru. Tak mungkin disebabkan perbuatannya tadi tangan Kamilia terseliuh.

“Jangan nak berlakon boleh tak? Takkan kena tarik macam tu pun dah melalak.”

“Sa... sakit.” Tersedu-sedan Kamilia di situ. Sejak dari tadi dia menahan rasa sakit di lengan.

Ghibran tersenyum penuh jengkel. Dia mencangkung di hadapan Kamilia. Tangan kiri gadis itu ditarik kasar. Selamba saja dia menarik lengan baju Kamilia hingga ke siku.

“Saya ta...” Mati ayat Ghibran. Anak matanya terpaku ke arah kesan lecuran di tangan Kamilia. Jelas kesan lencuran itu masih baru.
Sebaik saja anak matanya bertemu dengan anak mata Kamilia, gadis itu masih menangis.

“Tolong... tolong selamatkan saya, tuan.”

😢

Dia Pelindung Kamilia (Sold Out)Where stories live. Discover now