“Err… betul ke Lia yang jadi calon isteri tuan?”
“Tak perlu bertuan. Panggil saya Ghib aje dah cukup. Lagipun uncle Umar dah tak kerja dengan kami. Kami dah anggap dia macam keluarga sendiri.”
Puan Suria tersenyum janggal.
“Tentang soalan mak cik tadi, ya. Saya memang nak jadikan Lia sebagai isteri saya. Saya rasa mak cik pun tahu tentang rancangan keluarga kami.”
“Ya. Memang mak cik tahu tentang rancangan keluarga Ghib. Mak cik sebenarnya takut Ghib silap orang aje. Bukan ke dulu Ghib rapat dengan Yaya. Ha! Cakap pasal Yaya, dia dah balik. Sekarang dia dah…”
“Saya datang sebab Kamilia Rose. Bukan sebab dia.”
Mati ayat Puan Suria. Lekas dia berdeham menghilangkan rasa malu. Kedua tangannya dikepal kuat. Bengang kerana Ghibran seolah-olah tidak sudi mendengar nama anaknya.
Tak lama kemudian, Kamilia muncul bersama air minuman. Dia menghulurkan air minuman kepada Puan Suria dan Ghibran. Kamilia masih berdiri tegak.
“Duduk sini,” arah Ghibran sambil memberi isyarat mata supaya Kamilia duduk di sebelahnya.
Kamilia serba salah. Melihat renungan tajam mak su, dia yakin mak su tidak suka dia berada di sini.
“Errr… tuan bercakaplah dengan mak su dulu. Saya ada kerja dekat dapur.”
Tiba-tiba Puan Suria tergelak sinis. Ternaik kening Ghibran. Pelik juga melihat orang tua ini tiba-tiba ketawa.
“Apa yang lucu?”
“Maaf, mak cik cuma rasa kelakar aje. Takkan dengan bakal suami, masih nak panggil tuan lagi.”
Kamilia tunduk menekur lantai. Bibirnya dikemam kuat.
“Dia tak biasa lagi, mak cik. Lepas kami kahwin, saya akan ajar dia untuk tukar panggilan kami. Betul tak sayang?”
Terbuntang biji mata Kamilia. Sayang? Sejak bila pula lelaki ini bertukar personaliti.
“Lia pergi dapur dulu.” Macam lipas kudung Kamilia berlari masuk ke dapur. Sampai di dapur, Kamilia bersandar di dinding. Tapak tangannya mendarat ke dada. Terasa pijar kulit mukanya mendengar perkataan sayang dari mulut lelaki itu.
Ghibran berdeham seketika. Dia sendiri tidak sedar memanggil Kamilia dengan gelaran sayang. Tujuannya hanya mahu menyakitkan hati Puan Suria. Air teh panas yang dibuat oleh Kamilia, diteguk perlahan. Sedap. Sangat menepati citarasanya. Tanpa sedar, senyuman kecil terukir di bibirnya.
Meluat Puan Suria melihat wajah berseri lelaki itu. Macamlah sedap sangat air yang dibuat oleh Kamilia.
“Saya harap, mak cik tak ada halangan untuk teruskan majlis kami.”
“Mak cik tak kisah siapa pun pilihan keluarga Ghib. Tapi mak cik tak naklah keluarga Ghib malu.” Puan Suria berpura-pura mempamerkan raut wajah muram.
Selagi perkahwinan tidak berlaku, dia perlu cuba berusaha untuk menghalang rancangan keluarga Ghibran.
“Maksud mak cik?”
“Lia tu, bukan normal,” perlahan Puan Suria menjawab.
Ghibran masih kekal tenang. Kalau tentang keadaan Kamilia yang memegang kad O.K.U, dia sudah lama tahu. Malah disebabkan kad itulah dia lebih tertarik untuk mengenali Kamilia.
Nampak sangat wanita ini sedang merancang sesuatu yang tidak baik. Ketika dia tiba di sini, dia ternampak ada lelaki asing keluar dari rumah dalam keadaan tergesa-gesa. Lebih mencurigakan lagi pakaian lelaki itu kelihatan tidak terurus. Ghibran dapat rasakan ada sesuatu yang berlaku sebelum Kamilia tiba di rumah.
YOU ARE READING
Dia Pelindung Kamilia (Sold Out)
RomansaSejak dari kecil lagi, hidup Kamilia Rose tak seindah seperti kanak-kanak yang lain. Hanya dengan Encik Umar, Kamilia dapat menumpang kasih seorang ibu dan ayah. Disebabkan ingin melindungi Kamilia, Encik Umar bercadang menjodohkan Kamilia dengan an...