“Kamilia...”
“Ya, saya calon bakal isteri Tuan Ghibran. Kamilia Rose.”
Hampir terlepas telefon dari tangannya. Tepat anak matanya merenung wajah Kamilia. Gila! Tak mungkin ini calon menantu yang dipilih oleh keluarganya.
“Boleh kita berbincang di tempat lain. Saya tak nak tuan malu.”
“Kenapa panggil saya tuan?” soal Ghibran tidak puas hati. Walaupun marah dengan pilihan keluarganya, dia perlu bersabar.
“Sebab tuan anak bekas majikan ayah saya.”
Terus berubah wajah Ghibran. Lama anak matanya merenung wajah polos itu. Jantungnya berdegup laju.
“Uncle Umar… ayah awak?”
Kamilia berdecit halus. Boleh pula dia terlepas cakap. Tersengih-sengih dia memandang wajah Ghibran.
“Bukan… dia pak su saya. Tapi saya dah anggap dia macam ayah saya.”
Lega hati Ghibran. Setahu dia, Encik Umar hanya mempunyai seorang anak iaitu Uyaina. Selepas dia pulang dari luar negara, dia berkenalan dengan Uyaina kira-kira enam tahun yang lepas. Dari situlah dia teringat tentang budak perempuan yang ditemuinya ketika di zaman remaja.
“Tuan Ghibran!”
Ternaik bahu Ghibran. Dia berdeham perlahan.
“Panggil saya Ghib. Awak tunggu sini.”
Terpinga-pinga Kamilia ditinggalkan di situ. Dia hanya menunggu saja kelibat lelaki itu muncul. Tak lama kemudian Ghibran muncul bersama jaket kulit di tangan.
“Pakai jaket ni. Sekarang kita dah boleh masuk ke dalam.”
Bingung Kamilia. Teragak-agak dia mahu mengambil jaket tersebut. Sudahlah pakaiannya masih basah gara-gara bekerja di bahagian bahan mentah. Takut melekat pula bau hanyir nanti ke jaket Ghibran.
“Tapi baju saya…”
“Cepat pakai. Saya tak nak buang masa.”
Melihat lelaki itu sudah masuk ke dalam restoran terpaksalah Kamilia menurut. Baju itu disarungkan ke tubuhnya. Bau yang melekat di jaket itu membuatkan hati Kamilia sedikit tercuit. Wangi.
“Hishhh… kau jangan nak fikir yang bukan-bukan. Ingat sikit pesanan mak su.”
Kamilia segera menarik nafas panjang. Setelah bersedia, barulah dia melangkah masuk ke dalam restoran.
🌹
GHIBRAN masih ralit memerhati wajah gadis yang berada di hadapannya sekarang. Melihat seraut wajah tanpa solekan itu, mengingatkan dia kepada seseorang. Namun dia segera menafikan hal itu.
“Jadi awak anak saudara uncle Umar.”
“Ya, saya. Nama saya Kamilia. Panggil Lia.”
“Ehmmm… awak dan Yaya…”
“Ooo… dia kakak sepupu saya. Tuan Ghib kenal dia?” Bulat mata Kamilia.
Ghibran sekadar mengangguk. Dia mencapai gelas jus minumannya. Diteguknya beberapa kali sebelum meletakkan gelas itu di atas meja.
“Sebenarnya tuan, saya tak nak kahwin.” Takut-takut Kamilia menjelaskan tujuan dia ke sini.
Tercengang Ghibran. “Kenapa?”
“Tak ada sebab.” Perlahan Kamilia menjawab. Jujur dia juga tiada sebab untuk menolak. Tetapi teringatkan amaran mak su, dia tak berani nak melawan.
“Saya pun tak bersedia. Tapi saya terima rancangan keluarga saya memandangkan ini kali pertama daddy dan mommy saya buat permintaan.”
“Tuan kena paksa kahwin ke?” Laju Kamilia menyoal dengan riak terkejut.
Terkedu Ghibran. Tiba-tiba dia disoal begitu. Lekas dia berdeham menghilangkan rasa malu.
“Kalau macam tu, tuan beritahu keluarga tuan, kita tak boleh kahwin. Kalau tuan kahwin dengan saya, mesti tak bahagia.”
“Mana awak tahu tak bahagia? Awak boleh nampak masa depan seseorang ke?” Geram juga Ghibran. Terasa tercabar pula melihat reaksi Kamilia yang mudah menolak dirinya mentah-mentah. Teruk sangat ke dia sampai gadis itu tidak mahu berkahwin dengannya?
“Hishhh… saya bukan Tuhan. Tak baik tuan cakap macam tu. Maksud saya, tuan tak rela nak kahwin dengan saya. Macam mana kita nak kahwin? Mesti tak bahagia.”
“Masalahnya sekarang awak yang tak nak kahwin dengan saya. Bukan saya.”
Tegak terus tubuh Kamilia. Kepala yang tidak gatal digaru perlahan. Baru dia sedar tentang situasi mereka sekarang.
“Kenapa diam?”
“Err… saya… cuma fikirkan keadaan tuan.”
Ghibran tersenyum sinis. Nampak sangat gadis itu seperti mengelak.
“Beritahu saya alasan yang kukuh. Sebab apa awak tak nak terima rancangan keluarga kita?” Meja di hadapannya ditepuk geram.
Ternaik bahu Kamilia. Dia melihat ke sekelilingnya. Tebal juga muka Kamilia dibuatnya. Bukan dia tak perasan ada beberapa pasang mata sedang melihat ke arah meja mereka.
“Sebab… errr… sebab…”
“Sebab apa?” Gertak Ghibran.
“Sebab saya tak suka tuan!” Dek terlalu terkejut, terus terkeluar ayat itu. Laju dia menekup mulut sendiri.
Wajah Ghibran terus berubah. Dia berdiri tegak sehingga terjatuh kerusi yang didudukinya tadi. Perkara yang berlaku sekarang mengingatkan dia terhadap kejadian beberapa tahun yang lepas. Sebab inilah dia tidak mahu membuka hatinya kepada sesiapa.
“Dah habis cakap?”
“Ha?” Terdongak kepala Kamilia ke atas.
“Perbincangan kita dah selesai. Lepas ni jangan tunjuk muka awak depan saya lagi. Saya sendiri akan beritahu keluarga saya, kita tak serasi.”
❤️❤️
Tinggal 9 hari lagi untuk tempahan🔥
YOU ARE READING
Dia Pelindung Kamilia (Sold Out)
RomanceSejak dari kecil lagi, hidup Kamilia Rose tak seindah seperti kanak-kanak yang lain. Hanya dengan Encik Umar, Kamilia dapat menumpang kasih seorang ibu dan ayah. Disebabkan ingin melindungi Kamilia, Encik Umar bercadang menjodohkan Kamilia dengan an...