“Apa yang awak cakap ni?”Sedar yang dia sudah terlepas cakap, segera Puan Suria memaniskan wajahnya. Habislah dia kalau lelaki itu berasa curiga dengannya.
“Saya cuma tanya aje. Itu kan, hak arwah anak saudara saya. Saya mestilah nak yang terbaik untuk dia.”
Berbulu telinga Encik Umar mendengarnya. Terbaiklah sangat. Macamlah baru hari ini dia kenal isterinya.
“Puan jangan risau. Kami takkan abaikan segala wasiat arwah. Apa yang terkandung di dalam wasiat ini kami akan ikut. Lebih-lebih lagi arwah memang tak ada sesiapa lagi. Jadi lebih mudah untuk menguruskan harta arwah. Selepas anak arwah berusia 18 tahun, dia sendiri yang akan memegang simpanan miliknya sendiri kecuali aset yang lain.”
Hampir sejam berbual, barulah peguam itu beredar. Bukan main gembira lagi Puan Suria.
“Nasib baik abang bawa budak tu balik. Budak tu memang bernilai untuk kita. Banyak juga jumlah yang kita akan dapat setiap bulan.”
“Kita?” sindir Encik Umar.
Puan Suria menjeling geram.
“Betullah saya cakap. Kan kita yang jaga budak tu. Abang ingat bagi budak tu makan guna air liur.”
“Abang cuma nak ingatkan awak. Itu harta anak yatim. Jangan dibuat main. Abang tak benarkan awak gunakan budak tu untuk kepentingan sendiri. Faham.”
Mencebik bibir Puan Suria. Ada saja katanya dibantah. Tiba-tiba terdengar suara Kamilia menangis. Mereka berdua bergegas masuk ke dalam bilik. Tak lama kemudian, Uyaina turut menangis.
“Anak mak lapar ya. Kejap, mak bagi susu ya.” Puan Suria terus menyusukan Uyaina.
Encik Umar cuba memujuk Kamilia. Tapi tangisannya semakin nyaring. Selepas Puan Suria menyusukan Uyaina, dia meletakkan anaknya di atas katil.
“Awak susukan Lia.”
“Ha?”
“Susukan budak ni.”
“Tak nak saya.”
Panas hati Encik Umar melihat sikap isterinya yang melampau.
“Ooo… awak tak nak susukan dia tapi duit dia awak nak pulak. Kalau macam tu, lebih baik abang cari orang lain untuk susukan Lia. Biar orang tu yang dibayar untuk jaga anak saudara abang ni.”
Bulat mata Puan Suria. Terus dia mengambil bayi itu dari tangan suaminya. Terpaksalah dia menyusukan Kamilia.
“Ingat… Kamilia dah jadi amanah kita. Abang tak benarkan awak buat perkara yang bukan-bukan. Kalau tak, abang sendiri akan serahkan budak tu ke rumah anak yatim.”
Sengaja Encik Umar mengugut. Hanya ini saja caranya untuk mengelak Puan Suria menganiaya anak saudara mereka. Dengan perasaan marah yang masih bersisa, dia melangkah keluar dari bilik itu.
🌹
Kombo ni pun ada tp terhad untuk 20 set shj. Nak single atau kombo blh. Suri hati encik serius ready stock.
YOU ARE READING
Dia Pelindung Kamilia (Sold Out)
RomanceSejak dari kecil lagi, hidup Kamilia Rose tak seindah seperti kanak-kanak yang lain. Hanya dengan Encik Umar, Kamilia dapat menumpang kasih seorang ibu dan ayah. Disebabkan ingin melindungi Kamilia, Encik Umar bercadang menjodohkan Kamilia dengan an...