Bab 3

280 9 0
                                    

SAYU anak mata Encik Umar memandang kelibat Kamilia. Bukan main ceria lagi wajah itu ketika bermain di taman. Jika di rumah, pasti Kamilia lebih suka berdiam diri.

Keluhan terlepas dari bibirnya. Sudah hampir setahun dia cuba membantu Kamilia. Dia masih berharap ada keajaiban yang berlaku sepanjang Kamilia dirawat oleh pakar kanak-kanak. Ternyata Kamilia memang disahkan mempunyai masalah pembelajaran.

Atas nasihat doktor dan guru kelas Kamilia, dia perlu memohon kad OKU untuk Kamilia. Menitis air matanya saat terpaksa berbuat demikian. Kamilia yang tidak tahu apa-apa sekadar menurut saja arahannya untuk mengikutnya ke Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Maafkan aku, Kamal. Aku dah cuba yang terbaik untuk Kamilia.”

Encik Umar pandang ke arah langit. Dia berdoa agar diberi kekuatan untuk terus menjaga Kamilia. Selama setahun ini, hubungannya bersama Puan Suria semakin dingin. Malah sudah acap kali isterinya ingin menuntut perpisahan.

“Umar…”

Tersentak Encik Umar. Dia toleh ke sisi. Terus dia berdiri tegak sebaik saja terpandang seniornya ketika bersekolah menengah. Dia pernah menjadi adik angkat kepada lelaki itu.

“Dafi.”

“Ya, aku lah ni.” Mereka saling berjabat tangan. Makin lebar senyuman Encik Umar. Tak sangka mereka berjumpa di sini setelah hampir 17 tahun terputus hubungan. Encik Ghadafi melanjutkan pelajaran ke luar negara selepas tamat belajar di sekolah menengah.

“Kau buat apa dekat sini? Termenung jauh aje.”

“Aku temankan anak aku. Tu dia…” Jari telunjuk Encik Umar di halakan ke arah Kamilia.

Encik Ghadafi duduk di sebelah Encik Umar. “Comel anak perempuan kau. Dah besar. Berapa tahun umur dia?”

“Dia anak saudara aku. Tapi aku dah anggap dia macam anak kandung aku. Dah sembilan tahun umur dia.”

Encik Ghadafi mengangguk faham. Mereka kemudian berbual tentang kehidupan masing-masing. Tersenyum Encik Umar mendengar kehidupan Encik Ghadafi yang semakin berjaya. Lelaki itu tua lima tahun darinya. Semasa dia tinggal di rumah anak yatim, keluarga Encik Ghadafi selalu menghantar sumbangan makanan ke sana.
Encik Umar turut menceritakan kisah hidupnya yang bermasalah selepas dibuang kerja. Gara-gara sibuk menguruskan masalah Kamilia, dia kerap mengambil cuti.

“Jadi sekarang kau tak ada kerja?”

Encik Umar menggeleng perlahan. Disebabkan dia kerap mengambil cuti untuk rawatan Kamilia, dia akhirnya diberhentikan. Sudah sebulan dia masih mencari pekerjaan.

“Kalau macam tu, kau nak kerja dengan aku?”

Laju Encik Umar menoleh ke sisi. Wajahnya jelas kelihatan terkejut.

“Kerja apa?”

“Sebenarnya syarikat aku baru aje beberapa tahun beroperasi. Kebetulan aku memang perlukan seseorang untuk uruskan bahagian stok. Kalau kau sudi, kau boleh kerja dengan aku.”

Tak berkelip mata Encik Umar.

“Tapi jawatan tu kecil aje. Maaflah kalau tawaran tu…”

“Aku sanggup. Aku tak kisah berapa pun gaji dia asalkan aku ada sumber pendapatan.”

Tersenyum Encik Ghadafi. Bahu rakan baiknya itu ditepuk perlahan. Dia kagum melihat Encik Umar yang sanggup menjaga anak saudaranya.

“Ini kad aku. Nanti kau boleh datang ke pejabat aku.”

Makin lebar senyuman Encik Umar. Syukur dia akhirnya dapat mencari pekerjaan yang lebih baik. Tiba-tiba tubuhnya dipeluk oleh seseorang. Tersenyum Encik Umar melihat wajah Kamilia yang berpeluh itu.

Dia Pelindung Kamilia (Sold Out)Where stories live. Discover now