بِسْـــــــــــــــمِ اللّٰه الرَّحْمَنِ الرَّحِيـــم
SANG MATAHARI menyimbahkan panasnya sehingga menembusi celah-celah daun. Cuaca terasa berbahang menggigit kulit.
Larmina dan bonda melangkah menuju ke tepi anak sungai yang tidak jauh dari ladang epal itu.
Kedengaran deru air sungai mengalir tenang di samping suara dedaunan dan pepohonan hijau yang tumbuh di tepinya. Suara itu menjadi nyanyian alam. Gemeresik membelai jiwa yang dilanda sepi.
Kicauan burung jelas kedengaran riang. Bebas berterbangan ke sana dan ke sini. Sekali-sekala hinggap di atas pepohonan rendang membuat sarang.
Sang bayu menyentuh lembut wajah dan bermain di setiap helaian rambut.
Ah, sungguh menenangkan hati!
Tangan didepakan. Mata dipejam rapat-rapat lalu nafas ditarik dalam-dalam.
"Tenangnya!" Larmina meletuskan tawa kecil.
Dia suka persekitaran di ladang epal ini. Perlahan-lahan bibirnya mengukir senyum lalu pandangan mata beralih pada air sungai.
Airnya sungguh jernih sehinggakan Larmina mampu melihat dirinya pada biasan air sungai. Dia perlahan-lahan menyentuh permukaan air itu dan mengambil wuduk untuk menunaikan solat Zuhur.
Demikianlah indahnya ciptaan Tuhan buat makhluknya yang hidup buat sementara waktu sahaja di atas muka bumi ini.
Sehelai kain bersih yang sudah dibawa dari rumah dihamparkan di atas rumput yang tumbuh merumpun itu lalu solat Zuhur didirikan.
Tidak kira bagaimana keadaan ketika itu, kewajipan sebagai seorang mukmin tetap harus dilaksanakan. Kata bonda,
"Kita ni selalu bekerja keras untuk mencari rezeki sampai lalai beribadah kepada Allah. Tapi kita lupa rezeki tu bukan hanya datang dari kerja keras tetapi dari Allah."
Sejak dari umur lima tahun lagi, Larmina sudah diajar tentang solat dan serba sedikit ilmu agama oleh bonda.
Benarlah, anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya.
Rata-rata penduduk di Malverick ini bukan beragama Islam. Di kampung ini tidak ada surau mahupun masjid, yang ada cuma gereja yang masih gah terbina.
Syukur Larmina memang sudah dilahirkan sebagai umat Islam, agama fitrah yang betul lurus.
Shiu~ Shiu~
Angin yang datang dari arah bukit asyik menghelakan nafasnya yang panjang. Menyapu seluruh kampung dan rimba yang subur menghijau.
Pokok epal di ladang meliuk-liuk. Sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan. Mengikut rentak tiupan angin.
Begitu juga dengan desiran daun-daun. Menjadi lagu indah penghibur jiwa penghuni desa. Memecahkan seluruh suasana alam penuh dengan rasa ketenangan dan kegembiraan apabila dihayati.
YOU ARE READING
FREEDOM | KEBEBASAN [✓]
Short StorySeringkali atma berbisik sendiri, bertanyakan bila kesudahannya. Lelah? Memang. Penat? Itu pasti. Sesak? Selalu terjadi. Sehinggakan dia tertanya, mengapa Tuhan tidak bersikap adil kepada dirinya? Mengapa dunia ini terlampau kejam buat dia? Air ma...